Kebenaran menyaman sebuah negara asing sudah lama terkandung dalam perundangan Akta Kekebalan Kedaulatan A­sing (FSIA) dan diperhalusi dengan Akta Keadilan Menentang Penaja Keganasan (JASTA) yang digubal pada awal September lepas. JASTA agak lebih terperinci kerana disasarkan khas peristiwa sera­ngan 11 September kerana bukan sahaja kerajaan asing boleh di saman tetapi juga individu atau agensi yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Arab Saudi juga boleh disabitkan jika disyaki terlibat dengan serangan tersebut.

JASTA begitu menarik perhatian bukan sahaja kerana percanggahan pendapat di antara pentadbiran Presiden Barack Obama dan Kongres tetapi juga perundangan tersebut sebenarnya tidak ber­asaskan fakta tetapi hanya bersandarkan tuduhan konspirasi yang tidak pernah dibuktikan kebenarannya.

Rang Undang-undang JASTA telah diluluskan oleh Dewan Senat AS pada Mei lepas dan di­ikuti kelulusan Dewan Perwakilan pada September. Oleh kerana wujud percanggahan pendapat di antara Kongres dan White House, Barack Obama telah menggunakan kuasa veto presiden untuk membatalkan kelulusan RUU tersebut.

Namun beberapa hari lepas Kong­res AS telah menolak keputusan veto Obama dan peristiwa ini dianggap sebagai satu tamparan dalam pentadbiran dua penggal beliau kerana ini adalah pertama kali kuasa veto beliau ditolak oleh Kongres. Sebelum veto JASTA Obama telah menggunakan sebanyak 11 kali kuasa eksekutif tersebut dan kesemuanya tidak mampu ditentang oleh Kongres.

Paling mengaibkan adalah asas JASTA tidak kukuh dan banyak berkisar kepada dalil penglibatan kerajaan Arab Saudi dalam membantu dalang serangan September 11. Sememangnya tidak dapat di­sangkal 15 daripada 19 pengganas yang terlibat dalam serangan tersebut adalah rakyat Arab Saudi tetapi tidak pernah dibuktikan penglibatan langsung kerajaan negara tersebut.

Malah jawatankuasa dianggotai oleh ahli Kongres AS yang menjalankan siasatan terperinci peristiwa serangan pada 2002 melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan 911 juga gagal mengemukakan bukti yang menjurus penglibatan secara langsung sama ada individu atau agensi yang berkaitan dengan kerajaan Arab Saudi.

Pada awalnya oleh kerana 28 muka surat daripada keseluruhan laporan tidak dihebahkan, terdapat andaian bahawa keka­ng­an sengaja dibuat untuk melin­dungi pembabitan kerajaan Arab Saudi. Tetapi setelah menerima tekanan, pada Julai lepas Kong­res AS telah menghebahkan ke­seluruhan laporan tersebut tanpa sekatan dan ternyata kandungan 28 muka surat tersebut tidak ada kena-mengena dengan pemba­bitan kerajaan Arab Saudi.

Tidak dapat dinafikan tindakan Kongres menolak kuasa veto Obama adalah berkaitan dengan suasana politik tempatan kerana pada November ini sebahagian besar mereka akan berhadapan dengan pilihan raya Dewan Senat dan Perwakilan. Sudah agak pasti mana-mana ahli politik yang ditafsirkan tidak bersimpati dengan mangsa serangan September 11 tidak akan dapat meraih simpati politik pengundi.

Tetapi adalah tidak adil bagi Arab Saudi dijadikan kambing hitam semata-mata memenuhi kehendak dan selera politik tempatan AS. Tidak menjadi hal jika terbukti secara sahih sesebuah negara terlibat secara langsung membiayai aktiviti pengganas kerana landasan perundangan antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu umpamanya terbuka luas untuk digunakan.

Iran umpamanya pernah satu ketika terpaksa melalui beberapa fasa sekatan antarabangsa kerana dituduh terlibat membantu kumpulan yang ditafsirkan sebagai pengganas seperti Hizbullah di Lebanon. Tetapi oleh kerana tafsi­ran pengganas adalah begitu longgar sekali maka timbul pendapat bertentangan mengenai siapakah pengganas itu sendiri. Kerajaan Syria Bashar al-Assad umpamanya menuduh kumpulan pemberontak yang cuba menggulingkan kerajaan beliau sebagai pengganas sedangkan kumpulan ini turut dibantu oleh AS. Maka menggunakan logik JASTA, rakyat Syria sebenarnya boleh menyaman kerajaan AS kerana terlibat dalam aktiviti membantu kumpulan pengganas.

Begitu jua dengan peristiwa penerbangan MH17 yang telah dibuktikan dengan sahih ditembak jatuh oleh kumpulan pembe­rontak Ukraine, maka logik JASTA juga membolehkan keluarga mangsa mengemukakan saman terhadap kerajaan Rusia kerana Moscow adalah pembekal senjata peluru berpandu tersebut.

Jika hendak digunakan contoh yang lebih ekstrem, secara logik­nya juga keluarga mangsa pesawat MH370 boleh menyaman kerajaan AS kerana terdapat teori konspi­rasi menjurus kepada penglibatan agensi perisikan negara tersebut dalam misteri kehilangan pesawat berkenaan sehingga kini tidak diketahui secara sahih apa yang sebenarnya menimpa MH370.

Tetapi agak sukar untuk diberi sedikit ruang untuk memboleh­kan dua kuasa besar dunia ini di saman oleh orang awam kerana permainan geopolitik global sama sekali tidak akan memungkinkan perkara sedemikian berlaku.

JASTA sebenarnya telah mencabar kedualatan sesebuah negara tetapi lebih mengecewakan dengan menggunakan alasan mencari keadilan, negara yang dianggap tidak mempunyai pe­ngaruh mencorak geopolitik global begitu mudah sekali dijadikan mangsa. Jika Arab Saudi yang dianggap rakan akrab AS boleh diperlakukan sedemikian rupa, apatah lagi negara yang lebih kecil dan ini termasuk Malaysia boleh dipergunakan oleh kuasa besar demi melangsungkan agenda politik mereka.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).