AZMI HASSAN
AZMI HASSAN

Tujuannya bagi memastikan langkah-langkah berkesan disediakan terhadap risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan melibatkan penggunaan mata wang digital serta meningkatkan ketelusan aktiviti mata wang digital di negara ini.

Menerusi dasar itu, institusi pelapor iaitu pengurup wang digital tertakluk dan perlu mematuhi dasar tersebut, mengisytiharkan butiran transaksi kepada BNM dan mematuhi peruntukan Akta Syarikat 2016 termasuk keperluan untuk diperbadankan dan didaftarkan.

Namun, dasar tersebut tidak bermakna BNM mengizinkan, mengesahkan, melesenkan atau menyokong mana-mana entiti yang terlibat dalam perkhidmatan pertukaran mata wang digital. Ini kerana BNM tidak pernah mengiktiraf mata wang lain selain Ringgit.

Di Malaysia, hanya mata wang yang dikeluarkan dan dikawal oleh Akta BNM 2009 dan Bahagian III Akta BNM 1958 diiktiraf sebagai mata wang sah.

ZAKARIAH ABDUL RASHID
ZAKARIAH ABDUL RASHID

Seksyen 20 Akta BNM 1958 menyatakan hanya BNM yang boleh mengeluarkan mata wang di Malaysia. Ini bermakna, apa jua bentuk mata wang yang dikeluarkan oleh pihak lain adalah tidak sah diperlakukan di negara ini.

Tindakan BNM mengeluarkan dasar itu mungkin tidak disenangi sesetengah pihak tetapi ia amat perlu untuk kepentingan awam.

Secara logiknya, tidak ada keperluan untuk menggunakan mata wang digital bagi melakukan transaksi elektronik kerana terdapat pelbagai kemudahan tersedia seperti kad kredit, kad debit, PayPal dan pemindahan wang atas talian.

Hanya mereka yang mahu merahsiakan apa yang dijual dan dibeli akan menggunakan mata wang digital. Maka tidak hairanlah kebanyakan mata wang digital mudah digunakan untuk aktiviti haram melibatkan dadah, seks dan barangan terlarang lain.

Tersirat

Sebahagian besar pemilik mata wang digital bukan golongan pengguna tetapi pelabur yang mahu meraih keuntungan apabila harga aset digital itu meningkat.

Menurut Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan, mata wang kripto khususnya Bitcoin menjadi popular kerana penggunanya mahu transaksi kewangan dilakukan tanpa pemantauan pihak penguasa kewangan sesebuah negara.

Katanya, oleh sebab transaksi Bitcoin tiada pemantauan oleh mana-mana bank pusat maka transaksi berlaku secara tersirat atau rahsia.

“Besar kemungkinan transaksi tersebut melibatkan urusan yang tidak sah seperti jual beli dadah. Faktor jenayah ini juga menyebabkan penggunaan Bitcoin penuh risiko,” katanya.

Walaupun Bitcoin sebagai mata wang digital yang paling dikenali dan banyak diguna pakai kerana banyak premis perniagaan menerima pakai mata wang digital itu, tidak semestinya ia kalis risiko.

Malah, bagi Azmi, Bitcoin sebenarnya mempunyai risiko jauh lebih tinggi berbanding mata wang konvensional. Ini kerana nilai Bitcoin ditentukan oleh banyak mana transaksi dibuat iaitu bilangan pengguna.

Maksudnya lagi banyak pengguna, maka nilai Bitcoin akan melonjak naik seperti yang berlaku beberapa minggu lalu. Berbanding nilai mata wang konvensional, nilainya bergantung kepada asas ekonomi negara yang mengeluarkan mata wang tersebut.

“Sebab itu, ketika mula diperkenalkan, nilainya cuma beberapa sen tetapi ketika memuncak jumlah penggunanya, ia mencapai sehingga AS$12,000 bagi satu Bitcoin. Tapi sekarang nilainya menjunam begitu banyak menjadikan Bitcoin tidak stabil.

“Mereka yang melabur dalam Bitcoin boleh diibaratkan melakukan spekulasi yang berisiko tinggi,” kata Azmi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, mata wang digital mempunyai banyak kelebihan tetapi ia tidak dipanggil sebagai wang kerana fungsi wangnya belum jelas.

Antara fungsi wang ialah alat pertukaran, unit ukuran nilai, penyimpan nilai, diterima ramai dan bayaran tertunda.

“Wang menjadi wang apabila ia diterima ramai. Walaupun Ringgit adalah legal tender (wang sah) di Malaysia, belum tentu ia sah diperlakukan di negara luar. Dahulu di negara-negara tertentu, rakyat mereka lebih suka memegang dolar daripada mata wang sendiri.

“Dolar Amerika Syarikat (AS) adalah contoh wang bersifat sejagat. Peniaga di negara-negara yang bermusuh dengan AS pun menerima pembayaran menggunakan Dolar AS daripada pelancong,” katanya.

Menurut Zakariah, ramai orang terlibat dalam pelaburan mata wang digital kerana ia tidak dikawal oleh mana-mana bank pusat, sebaliknya ditentukan oleh teknologi blockchain. Ciri-ciri tersebut menjadikan mata wang digital bersifat spekulasi kerana sangat mudah dimanipulasi oleh pasaran.

“Kalau rakyat sudah menerimanya dan terlibat dalam transaksi Bitcoin, maka BNM sebagai penguasa kewangan mahu tak mahu terpaksa terlibat sama. BNM perlu mengawal selia mata wang digital bagi mengelakkan orang ramai terpedaya dan mengalami kerugian.

“Namun, saya menasihatkan orang awam supaya menjauhkan diri daripada terlibat dengan pelaburan mata wang digital kerana banyak ketidakpastian dan nilainya yang tidak menentu,” katanya.

Meskipun ada pihak menyamakan mata wang digital dengan pelaburan hartanah, tetapi ia juga mempunyai persamaan dengan skim pelaburan cepat kaya atau lebih dikenali sebagai skim Ponzi sempena nama penipu terkenal pada 1920-an, Charles Ponzi. Ada penganalisis kewangan mengatakan pelaburan mata wang digital ibarat skim Ponzi yang berlaku secara semula jadi.

Dalam skim Ponzi, pelabur awal akan membuat duit hasil pelaburan daripada pelabur-pelabur baharu dan cerita keuntungan itu akan menarik lebih ramai orang. Hakikatnya, keuntungan diperolehi adalah semata-mata daripada wang pelabur-pelabur baharu.

Selagi skim tersebut mampu menarik ramai pelabur baharu, ia akan bertahan untuk satu tempoh yang lama. Apabila skim itu sudah tidak lagi mampu menarik pelabur baharu, pada masa itulah ia akan “meletup”.