Tindakan penyelamat diraja ini jelas membuktikan kuasa lanjutan atau kuasa residual diraja masih berkesan dan diperlukan di saat-saat keterlanjuran sesetengah pihak dalam mengurus kehidupan, mengaplikasi ilmu agama dan demi pentingnya budaya serta nilai-nilai tinggi kehidupan masyarakat di­letakkan pada tempatnya.

Kritikan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin terhadap titah Sultan Johor yang dilaporkan di media tanggal 10 Oktober 2017 amat mengejutkan. Mujurlah pandangan Zamihan yang keterlaluan itu telah disusul dengan permohonan maaf daripada beliau.

Kelihatan dalam peristiwa ini dua orang Raja Melayu lantas tampil berperanan bertindak mencegah sesuatu perkara atau peristiwa yang jika berterusan akan memporak-perandakan keharmonian kaum di negara ini. Jika titah Sultan Johor dan Sultan Selangor tiada, barangkali akan muncul berbagai-bagai langkah dan olahan lanjutan yang menjurus kepada keadaan yang lebih eksklusif bagi sesetengah pengamal pelampau.

Ada sesetengah pihak beranggapan, termasuk individu yang boleh dianggap pakar dalam perunda­ngan, kononnya tiada mudaratnya jika perniagaan seperti laundret atau kedai dobi dikhaskan hanya untuk Muslim lantaran tindakan itu adalah suatu pilihan dan keputusan bisnes atau perniagaan biasa.

Wajarkah ‘keputusan bisnes’ seperti ini diberi galakan atau diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)? Tentu tidak wajar kerana ini akan menggalakkan perbuatan diskriminasi dalam masyarakat pelbagai kaum.

Pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau mana-mana Majlis Agama Islam di negeri-negeri bukan mudah untuk menyambut olahan seperti ini sebagai batil atau lantas bertentangan dengan Islam.

Dalam ucapan Zamihan di Masjid Di Raja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong Shah Alam, beliau ada menyebut istilah-istilah yang boleh ditakrif sebagai mengeji masyarakat bukan Islam jika pakaian mereka dicuci mesin basuh milik Muslim. Para pendakwa undang-undang mungkin boleh melihat perkara ini dari sudut hasutan ke arah memecahbelahkan masyarakat melalui kata-kata dan imbasan.

Isu yang juga ditimbulkan ialah apakah nas atau punca sahih yang beliau boleh gunakan bagi mencapai keberhasilan hujahnya dari sudut halal batilnya pendapat beliau. Sedangkan dua orang tokoh mufti lantas menyanggahi pendapat Zamihan? Istilah impurities atau ‘najis’ yang dianggap boleh melekat pada fabrik pakai­an individu bukan Islam adalah sangkaan sahaja.

Dalam Islam sangkaan tidak boleh dijadikan sebagai kenya­taan. Sebaliknya jika hujah bahawa najis sedia ada pada pakaian bukan Muslim, ini akan membawa kepada pelbagai sangkaan remeh yang boleh mengeliru dan menyesatkan. Ini adalah kerana ia bukan sabit dengan makanan yang boleh dicerakin sebagai halal atau haram.

Sebaliknya kain baju atau pakaian adalah bahan sosialisasi atau bahan interaksi kemasyarakatan. Misalnya duit atau not kertas RM10 yang sudah lusuh - beribu-ribu individu tentu telah meme­gangnya sebelum sampai ke tangan seseorang Muslim.

Mungkinkah duit kertas itu pernah digelumangi impurities atau ‘najis’ yang dimaksudkan itu? Peluh siapa, tangan siapa dan percikan bahan apa yang mungkin te­lah terlekat pada duit itu sebelum ia dipegang oleh seseorang Muslim?

Kalau kereta terpakai pula, siapakah yang pernah duduk dan berpeluh di atas kusyen kereta itu sebelum seorang Muslim membeli dan menggunakannya?

Bagaimana pula karpet kereta salun terpakai? Cecair apa yang mungkin pernah tersimbah di atas karpet itu? Perlukah pula ada kompleks jualan kereta terpakai untuk Muslim sahaja?

Mungkin ada pula yang cuba mempertahankan senario laund­ret Jalan Junid Muar itu begini; menentukan khidmat laundret itu untuk Muslim adalah hanya satu pilihan perniagaan. Seseorang boleh mengehadkan siapa boleh jadi pelanggannya.

Pendekatan ini bertentangan dengan akibatnya. Akan bertambah berpecahkah masyarakat Malaysia dengan larangan atau penghadang itu? Jika jawapannya ialah positif maka menjadi kewajipan pihak berkuasa yang mengeluarkan lesen perniagaan berkenaan memajmukkan pendekatan - iaitu sesuatu kedai dobi atau mesin basuh awam itu hendaklah juga bagi khidmat semua kaum.

Keadaan dan senarionya cukup banyak dan merumitkan jika trend laundret untuk Muslim ini terus-menerus diberi galakan. Masyarakat Malaysia akan kian lama kian sempit vista sosiobudaya atau risiko sosialisasinya.

Sebaliknya jika sesuatu laundret sudah mula dikelaskan sebagai hanya untuk Muslim maka akan mulalah bercambah gerai, kedai roti, restoran, kedai jahitan, klinik perubatan, teksi, bas, bekalan sayur-mayur, tandas awam dan sebagainya hanya untuk Muslim. Sekian ramai pula anak-anak bukan Muslim di sekolah kebangsaan mungkin dikeluarkan dari premis sekolah semata-mata ada larangan ‘sekolah vernakular Muslim sahaja’.

Penularan ini pasti berlaku. Bak kata pepatah lama - lulus jarum lulus kelindan. Akhirnya Malaysia boleh jadi kacau-bilau kemasyarakatannya. Islam yang dikenali dunia sebagai agama keamanan dan keharmonian akan membawa wajah antitoleransi, sempit dan surut ke belakang. Risiko hak asasi kemanusiaan juga mungkin menjadi ‘kandang jarang’ bagi negara yang baharu hendak menjayakan Transformasi Nasional 50 (TN50).

Menghargai kembali peranan diraja Johor dan Selangor, mungkin kini rakyat yang cintakan kesederhanaan dan keharmonian kaum melalui Islam melepaskan nafas panjang. Ini adalah kerana adanya usaha penyelamat daripada kedua-dua ketua agama Islam itu.

Tentunya Jakim antara lain-lain jabatan, mempunyai tugas yang lebih mencabar selepas ini. Beribu-ribu kini yang hafaz al-Quran. Kebingungan umum kini tertumpu kepada persoalan bagaimana Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah boleh dibakar sedemikian cara? Bagaimana surau dan masjid kebanyakannya masih kotor tandasnya?

Bukankah perkara-perkara ini lebih menuntut tindakan setimpal? Hafiz ayat-ayat suci satu hal.

Menterjemahkan hafalan kepada kehidupan murni dan budaya tinggi adalah soalan lain. Mungkin di sinilah masalahnya.

TAN SRI DR. RAIS YATIM ialah Penasihat Khas Sosiobudaya kepada kerajaan.