Hujan lebat turut menyebabkan jarak penglihatan pemandu semakin menurun dan air yang bertakung di jalan raya menyebabkan kenderaan sukar dikawal.

Terdapat dua faktor utama yang perlu diambil kira pemandu ketika memandu sewaktu hujan iaitu kondisi kenderaan dankaedah pemanduan selamat. Bunga tayar berfungsi untuk mengalirkan air yang terperangkap di antara tayar dan permukaan jalan raya.

Oleh itu, tayar kenderaan mestilah dalam keadaan baik dan tidak botak kerana air hujan boleh mengurangkan kadar geseran antara tayar dan permukaan jalan raya. Jika bunga tayar haus ia mampu mengakibat kenderaan tergelincir atau hilang kawalan.

Seterusnya bilah pengelap cermin kereta mestilah berfungsi dengan baik dan harus diperiksa terlebih dahulu sebelum memulakan pemanduan di musim hujan. Fungsi utama alat ini adalah untuk mengelap air hujan di cermin utama untuk membantu mengembalikan jarak penglihatan yang selamat.

Jika alat ini gagal berfungsi sebaiknya, berhentilah di tempat selamat dan jangan meneruskan pemanduan. Ini kerana memandu dalam keadaan jarak penglihatan sangat minima meningkatkan risiko berlaku kemalangan.

Pastikan semua lampu kenderaan berfungsi dengan baik. Ini kerana jarak penglihatan yang terhad sewaktu hujan menjadikan lampu yang terdapat pada kenderaan menjadi panduan utama untuk membaca pergerakan kenderaan lain.

Lampu utama hendaklah sentiasa di pasang sewaktu hujan dan elak memasang lampu kecemasan kerana ia boleh mengelirukan kenderaan lain. Lampu kecemasan hanya dipasang jika berlaku kecemasan seperti kereta rosak.

Kaedah pemanduaan juga perlu disesuaikan dengan keadaan waktu hujan. Elakkan memandu dengan laju kerana ia boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan. Pemandu juga perlu menjaga jarak di antara kenderaan lain.

Jangan ekori kenderaan dihadapan terlalu rapat kerana dalam keaadan jalan basah keberkesanan sistem brek kenderaan akan menurun seterusnya menambah masa diambil untuk kenderaan berhenti dari saat brek ditekan.

Hujan lebat boleh menyebabkan air bertakung di atas permukaan jalan seterusnya mencetuskan keadaan hydroplaning. Keadaan ini berlaku bila tayar kenderaan seakan terapung di antara takungan air dan permukaan jalan raya.

Ini menyebabkan pemandu hilang kawalan ke atas kenderaan dan mengakibatkannya terbabas. Oleh itu elakkan melanggar lopak air dan jika terpaksa melalui jalan ditakungi air pastikan dalam kelajuan perlahan dan sentiasa berwasapada.

Hujan bukanlah faktor tunggal berlakunya kemalangan tetapi risiko pemanduan di waktu hujan perlulah diambil kira. Faktor-faktor yang dinyatakan di atas sebenarnya boleh dikawal dan perlu dititik beratkan sewaktu memandu di musim hujan.

Dengan pengawalan faktor tersebut, risiko kemalangan dapat dikurangkan seterusnya menjamin pemanduan selamat di waktu hujan.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Johor, Kampus Pasir Gudang.