Revolusi telefon bimbit telah menarik minat ramai orang, dengan fungsi dan kelebihan terbina membuatkan peralatan itu diminati ramai. Tambahan pula sekarang harga untuk memilikinya tidak lagi seperti dahulu.

Justeru, hampir setiap orang dalam pelbagai lapisan masyarakat mempunyai telefon bimbit sendiri sebagai medium komunikasi. Tidak kira sama ada peranti mahal atau murah, yang penting boleh berkomunikasi dengan mudah.

Sebelum kewujudan telefon bimbit, pada 1907 majalah Punch telah menerbitkan karikatur dilukis oleh Lewis Baumer yang membayangkan pada tahun tersebut seorang lelaki dan wanita bercakap antara satu sama lain menerusi telefon tanpa wayar.

Sejarah penggunaan telefon mudah alih te­lah bermula sejak 1908 lagi. Seperti dilaporkan sebuah syarikat di London, USWithc Limited, Amerika Syarikat menjadi negara pertama yang mempatenkan telefon tanpa wayar.

Pada tahun tersebut, Profesor Albert Jahnke serta Oakland Transcontinental Aerial Tele­phone dan Power Company mendakwa mencipta sebuah telefon tanpa wayar.

Walau bagaimanapun, mereka tidak mengeluarkan telefon tersebut dan telah dituduh menipu.

Pada 1918 pula, sebuah syarikat kereta api di Jerman telah menguji sistem telefon tanpa wayar untuk kegunaan komunikasi tentera di Berlin dan Zossen.

Kemudian, satu percubaan umum telah dilakukan pada 1924 juga oleh syarikat kereta api untuk meng­hubungkan Berlin dengan Hamburg.

Selepas percubaan tersebut dilakukan, syarikat Zugtele­phonie A. G. telah diasaskan pada 1925 untuk membekalkan peralatan telekomunikasi untuk kegunaan sistem kereta api.

Sejak peralatan tersebut diaplikasikan, sistem kereta api Deutsche Reichbahn dan perkhid­matan Mail German yang menghubungkan Berlin dengan Hamburg telah menjadi sebuah pengangkutan kelas pertama.

Pada 1926, seorang artis Karl Arnold telah melukis watak kartun yang membayangkan orang ramai menggunakan telefon bimbit. Kartun itu telah diterbitkan oleh majalah Simplicissimus.

Revolusi penggunaan telefon mudah alih mula tercetus dalam Perang Dunia Kedua dan banyak digunakan dalam ketenteraan seperti komunikasi radio dua hala, namun ia menggunakan tenaga elektrik yang banyak.

Kemudian, pada 1946, telefon mudah alih mula dihasilkan oleh syarikat telekomunikasi AT&T. Telefon tersebut mempunyai peranti asas dan digunakan oleh kebanyakan pemandu teksi sebagai alat komunikasi radio dua hala.

Alat tersebut merupakan sebuah telefon yang dipasang dalam kereta (teksi) tanpa memerlukan sambungan kabel seperti telefon rumah, tetapi memerlukan peranti asas untuk menyambungkan dengan pengguna lain dan liputannya sangat terhad.

Dunia semakin berkembang, selepas melihat telefon jenis itu sukar untuk digunakan secara umum, pada 1973, Motorola mengeluarkan telefon bimbit tanpa memerlukan peranti asas sebagai stesen penghubung.

Justeru, pada 3 April 1973, Motorola mencipta telefon bimbit pertama iaitu Motorola DynaTAC oleh Naib Presidennya, Martin Cooper. Tetapi, masih belum digunakan secara umum.

Tidak lama selepas itu, Jepun menjadi negara pertama memulakan langkah drastik yang mencetuskan penggunaan telefon bimbit besar-besaran apabila syarikat Nippon Telegraph and Telephone (NTT) mengeluarkan telefon mudah alih.

Kemudian pada 1981, syarikat Nordic Mobile Telephone (NMT) telah melancarkan sistem liputan telefon bimbit pertamanya di Denmark, Norway, Sweden dan Finland.

Sejak itu, Generasi Pertama (1G) berfungsi automatik sepenuhnya yang pertama telah dihasilkan dan liputan capaian jaringan telefon bimbit diperkenalkan.

Dalam masa sama, Motorola mengeluarkan Motorola DynaTac yang menjadi telefon bimbit pertama diluluskan oleh Persekutuan Suruhanjaya Komunikasi (FCC) di Amerika Syarikat pada 1983.

Telefon bimbit terus berevolusi dengan kemajuan teknologi hingga wujud syarikat pengeluar telefon bimbit gergasi seperti Nokia, Blackberry, Sony Ericsson, Samsung dan Apple iPhone.

REVOLUSI telefon bimbit dalam masa 70 tahun daripada sebuah telefon bimbit kepada telefon pintar. – BAREKLIFTRUCKS.CO.UK