Di Pahang, salah satu program besar pada tahun ini adalah penganjuran Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP17). Majlis Pengisytiharan TMP17 disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuantan pada 20 Januari lalu.

Sebagai sebuah negeri yang mempunyai kepelbagaian­ produk pelancongan, sektor berkenaan menjadi salah satu teras menjana ekonomi Pahang yang mana limpahannya turut dinikmati penduduk.

Negeri terbesar di Semenanjung tanah air ini sememang­nya terkenal dengan produk ikonik pelanco­ngan seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Bukit Fraser, Cherating, Pulau Tioman dan Taman Negara Kuala Tahan. Usaha dan komitmen Kerajaan Negeri Pahang menerusi kerjasama baik daripada Kerajaan Pusat dan disokong pelbagai agensi berkaitan nampaknya membuahkan hasil bagi meningkatkan pendapatan serta jumlah kehadiran pelancong.

Penganjuran TMP17 menyaksikan kerajaan negeri memperoleh pendapatan sebanyak RM7.48 bilion sehingga September lalu. Jumlah kedatangan pelancong juga meningkat iaitu kira-kira 13 juta orang bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 9.3 juta orang pelancong tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Samsudin berkata, bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini, rekod kehadiran pelancong dicatatkan meningkat sebanyak 20.4 peratus iaitu 11.29 juta orang berbanding tempoh sama pada tahun lepas seramai 9.2 juta pelancong.

Jumlah itu tidak termasuk kehadiran dua juta pelancong lagi yang dikenal pasti menginap di rumah-rumah tumpangan, apartment persendirian dan inap desa tidak berdaftar yang terdapat di seluruh Pahang.

“Mengikut statistik, pelancong China direkodkan ­paling ramai berkunjung ke Pahang dengan 804,415 orang dalam tempoh berkenaan diikuti Singapura 691,603 orang, Indonesia (200,416 orang), Jepun (131,679 orang), India (80,649 orang), Thailand (54,994 orang) dan negara-negara lain,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, baru-baru ini.

Pelaksanaan promosi berkesan dan strategi menyediakan berpuluh-puluh acara menarik sepanjang tahun ini dilihat sebagai antara pencetus kepada peningkatan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Antaranya, pertandingan memancing Cabaran Royal Billfish di Rompin, Kuantan Century Ride di bandar Kuantan, Pahang Bike Week di Taman Gelora, Kuantan dan Pertandingan Mengenal Burung (Bird Race) di Bukit Fraser, Raub.

Langkah menawarkan nombor pendaftaran kenderaan khas VIP sempena TMP17 yang mana jualannya diuruskan pihak dilantik kerajaan negeri pula menyaksikan kutipan hasil sebanyak RM10.3 juta atau 1,903 unit nombor dibida dan dimiliki orang ramai.

Jumlah itu adalah nilaian kasar sebelum ditolak kos pengendalian dan bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST). Berikutan kejayaan penganjuran TMP17 yang mencapai matlamat dan sasaran Kerajaan Negeri Pahang untuk menambah kedatangan pelancong seterusnya meningkatkan perbelanjaan mereka di negeri ini, program Revisit Pahang 2018 akan diperkenalkan.

Menurut Mohd. Sharkar, pelancaran Revisit Pahang dijangka dalam tempoh terdekat bagi meneruskan promosi Pahang sebagai negeri indah, selamat dan seronok dikunjungi.

“Kita akan putuskan kemudian tarikh untuk pelancaran Revisit Pahang kerana tujuan kita untuk meneruskan program ini bagi memastikan momentum kedatangan pelancong ke Pahang dikekalkan,” ujarnya.

Dengan menyediakan pelbagai destinasi menarik dalam pelbagai cita rasa pengunjung, Revisit Pahang dilihat bukan sahaja terus membantu menjana ekonomi ne­geri, malah pemain industri pelancongan seperti pengusaha inap desa dan hotel mendapat manfaatnya.

Pada masa sama, kehadiran pelancong ke negeri ini pastinya menjanjikan kunjungan berbaloi menerusi percutian ke destinasi menarik, kemudahan dan aktiviti serta acara antarabangsa yang disediakan sebagai pengisian Revisit Pahang 2018. Justeru, jangan lupa catatkan program ini sebagai salah satu aktiviti yang perlu dilakukan dalam diari tahun baharu 2018.