Zain adalah bekas Ketua Pengarah Penyiaran.

Banyak yang masih ingat dengan Cikgu Limau Kasturi dan terbayang watak Allahyarham Harun Salim Bachik yang memberikan lakonan yang melekat di hati penonton. Malah secara tiba-tiba selepas drama itu disiarkan, nama Kampung Limau Kasturi di Gua Musang dan pedalaman Kelantan menjadi sebutan.

Cikgu Limau Kasturi merupakan cebisan kisah benar masyarakat di Gua Musang. Difahamkan watak lakonan Harun Salim Bachik adalah salah seorang guru yang ketika itu masih mengajar di Kampung Limau Kasturi. Skrip yang kuat diganding pula lakonan hebat, hasilnya terus diingat hingga kini.

Guru itu terpaksa mendepani satu realiti hidup yang baharu apabila dipindahkan ke kampung Limau Kasturi. Kepayahan dan kemunduran berada di sekelilingnya. Tetapi di dunia baharu itu dia mendapat semangat apabila berdepan dengan anak bangsa yang menagih kemajuan dan pendidikan.

Menerusi drama itu, Zain mengingatkan kita kepada sesuatu yang banyak orang lupakan. Guru sebagai penjana masyarakat berpendidikan terpaksa menempuh segala macam kesukaran melampaui kerjayanya sebagai guru. Apatah lagi semua kita pernah mendapat tunjuk ajar dan ilmu daripada mereka yang bergelar guru.

Demikianlah sebuah drama kecil dengan latar sosialnya tersingkir tetapi memberi kesan yang besar. Cikgu Limau Kasturi menyimpang jauh daripada segala macam imej korporat yang sengaja diada-adakan dalam drama Melayu sejak dulu hingga kini dan mungkin selamanya kalau tidak diubah.

Masyarakat kita sebenarnya ketandusan dengan drama-drama yang menyingkap realiti sosial seperti ini. Tetapi banyak penerbit dan peneraju stesen televisyen menggemari drama yang riuh rendah dan kilau kemilau yang mendapat sambutan.

Cuma tertanya-tanya kenapa sejak akhir-akhir ini sudah tidak ada drama yang bercorak begini di televisyen kita? Kenapa drama-drama yang menyentuh hal-hal kemanusiaan dan pembangunan insan sudah hilang dan diganti dengan karya-karya picisan yang sekadar eskapisme?

Peneraju stesen televisyen wajar memikul tanggungjawab sosial seimbang dengan tuntutan pengiklanan. Kejayaan sesebuah karya drama tidak wajar diukur dengan rating yang kemudiannya dijadikan petunjuk untuk pengiklan. Dengan kadar apresiasi yang rendah dalam kalangan penonton, rating tertinggi hanya menunjukkan itu sebuah drama yang buruk. Ia terbukti buruk apabila dinilai menerusi rating oleh penonton yang berselera buruk.

Menjadikan Cikgu Limau Kasturi sebagai tanda aras kecemerlangan pemikiran tidak bermakna drama bercorak korporat tidak berpeluang menjadi terbaik. Tetapi sangat jarang drama korporat yang berlambak di televisyen terbaik pemikiran.

Sebahagian besar mempromosi kehidupan yang tunggang langgang keluarga korporat atau billionaire Melayu. Imej korporat hanya latar tetapi isinya tentang skandal, tipu daya dan nilai-nilai yang membuatkan orang takut untuk menjadi ahli korporat yang berjaya.

`Sampah-sampah’ begini tidak perlu dibiarkan memenuhi siaran televisyen kita. Sesetengah dalam kalangan karyawan ada kecenderungan untuk memperagakan karya yang baik seperti Cikgu Limau Kasturi. Tetapi terhenti apabila karya begini tidak selari dengan selera peneraju di stesen televisyen. Penerbit pula sebahagiannya hanya cari makan kemudian menjadi kurang berfikir akibat terlebih makan.

Adakah ini menunjukkan penerbit dan peraju televisyen era Cikgu Limau Kasturi mundur pemikirannya kerana menyiarkan drama begitu? Atau sesetengah penerbit dan peneraju stesen sekarang hanya operator yang dicucuk hidung oleh pengiklan?