Populisme digerakkan ini, yang boleh dicirikan dengan wacana pembahagian antara “rakyat yang mewakili segala kebaikan” dengan “elit yang korup” dan terlalu berkuasa, sehingga menafikan kehendak rakyat.

Mesej populis ini menumpukan pada satu tema utama, yakni kezaliman dan kerosakan oleh elit yang menyebabkan “rakyat” ditindas dan menderita. Elit yang korup ini diletakkan sebagai satu-satunya yang menghalang rakyat daripada memperoleh apa yang sepatutnya.

x

Asas inilah yang membina slogan dan sentimen populis tetapi kabur maknanya (atau terlalu luas ruang tafsirannya) seperti “kedaulatan rakyat” dan pelbagai slogan yang menggunakan nama rakyat.

Gelombang populisme yang telah dimulakan dan bergerak tanpa kawalan ini akhirnya membantu kemenangan Pakatan Harapan, tetapi memberi kesan amat buruk kepada budaya politik, budaya ilmu, dan kesejahteraan masyarakat secara umumnya.

Gabungan pembangkang ketika itu, yang kelihatan amat kuat keazamannya untuk memberikan gambaran paling buruk terhadap parti kerajaan pada masa itu, Barisan Nasional (BN) diketuai UMNO, telah mengeksploit segala keresahan orang ramai yang sebahagiannya berdepan cabaran kos hidup.

Maka, secara simplistik dikemukakan bahawa negara sedang menuju kehancuran dan perlu diselamatkan daripada elit penguasa yang menindas, pada masa sama rakyat perlu segera dibebaskan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikatakan ‘memiskinkan’ rakyat.


ANCAMAN CHINA?

Naratif antielit ini dipersembahkan dengan nada yang cemas, menuntut tindakan segera dan kepatuhan pada satu mesej yang bersepadu, dengan menolak parti gabungan BN yang diletakkan sebagai elit yang utama.

Mesej ini sentiasa disuburkan dan dikukuhkan dengan maklumat-maklumat, sama ada benar, separuh benar atau palsu sama sekali, supaya perhatian orang ramai dan keyakinan pada naratif yang dibina itu kekal dapat dieksploit.

Minggu lalu, projek Bandar Malaysia, satu daripada banyak projek besar yang diletak­kan dalam naratif ancaman China terhadap kedaulatan negara, diumumkan akan diteruskan, berita yang disambut baik oleh Kedutaan China di Kuala Lumpur.

Anca­man China ini, yang disimpulkan dengan dakwaan mudah “menjual negara kepada China,” satu lagi mesej yang berkesan digunakan dalam kempen mengemukakan elit pemerintah negara sebagai korup.

Elit pemerintah didakwa menerima imbuhan dana China yang masuk melalui pelaburan projek-projek infrastruktur, dan dibayar dengan “menjual kedaulatan negara,” dengan merujuk kes-kes di negara dan lokasi bermasalah seperti Sri Lanka.

Kini, setelah hampir setahun menguasai pentadbiran negara, China sebagai kuasa ekonomi dan politik yang juga rakan dagang penting negara terbukti tidak dapat disimpulkan dengan mudah sebagai satu ancaman semata-mata.


GEOPOLITIK

Geopolitik persaingan kuasa besar China dengan Amerika Syarikat, yang semakin sengit seiring dengan perjalanan projek mega Belt and Road memerlukan lebih daripada kempen menakut-nakutkan, apatah lagi sekadar untuk memuaskan hati pemimpin dan kelompok sendiri.

Selain isu Bandar Malaysia, terbaharu pasukan keselamatan Malaysia menerima kapal misi pesisir buatan China, tanpa sebarang isu ditimbulkan berhubung aset persenjataan negara dibuat oleh syarikat China.

Kempen populis antielit untuk membina keyakinan menolak BN ini turut disertai sekali dengan cadangan-cadangan dasar dan tindakan memperbaiki keadaan dengan langkah-langkah yang tentu sekali populis, termasuk penghapusan tol, bayaran pinjaman pendidikan, pengurangan harga bahan bakar, dan sebagainya sebagai apa yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat yang selama ini dihalang oleh elit yang didakwa itu.

Semua janji ini menepati naratif yang dibawa, iaitu pelaksanaan dasar yang antielit, bertujuan menga­gihkan kemak­muran kepada rakyat terbanyak, walaupun maksud rakyat terbanyak itu tidak ditakrif dengan jelas.

Pada masa sama cadangan-cadangan yang menyebelahi kepentingan rakyat ini dijaja sepanjang kempen, penerangan yang sama berhubung sumber pendapatan negara dan peraturan serta perjanjian berkaitan sengaja didiamkan.

Pengundi yang menerima dan mempercayai mesej-mesej populis ini meletakkan harapan sepenuhnya agar janji itu dilaksanakan, tanpa menyedari implikasi lain melibatkan hasil negara dan perjanjian sedia ada.

Kejayaan kempen populis itu terletak pada mesej yang mewarnakan elit kerajaan BN dengan bertentangan sama sekali dengan kebajikan rakyat, sesuatu yang jauh lebih mudah disuarakan oleh pembangkang berbanding kerajaan yang mentadbir dan melaksanakan dasar.


GAMBARAN SALAH, MENYELEWENG

Walaupun diakui wujud kelemahan dalam kerajaan BN, kempen populis PH telah memberi gambaran salah yang amat menyeleweng, pada masa sama meletakkan kerajaan BN sebagai ancaman kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Malangnya, kini sebagai kerajaan, gabungan parti PH meneruskan strategi populis mereka dengan menggunakan retorik pembangkang, meletakkan diri mereka sebagai masih diancam, strategi yang biasa digunakan oleh parti-parti populis apabila akhirnya menjadi kerajaan.

Menurut Cas Mudde dan Christobal Rovira Kaltwasser dalam Populism: A Very Short Introduction, retorik yang dikemukakan kini ialah mereka masih digugat oleh kuasa sebenar yang akan terus mengkhianati kehendak rakyat. Tafsiran baharu elit ini meletakkan mereka sebagai wakil kehendak rakyat tetapi disabotaj oleh kuasa di belakang tabir, sebagai alasan menjelaskan kegagalan mereka sebagai kerajaan.

Akibatnya, penyokong mereka dan pihak yang mudah ditipu akan terus termakan kempen mereka, semasa pembangkang dengan agenda menjatuhkan kerajaan BN, dan kemudian sebagai kerajaan yang berdepan pelbagai masalah.

Budaya politik ini sedang disaksikan kesan buruknya, apabila wacana politik dikuasai oleh sifat populis dan ramai merasakan tuntutan-tuntutan yang semata-mata untuk kepentingan peribadi masing-masing sebagai keperluan yang wajib dipenuhi oleh kerajaan.

Satu contoh kesan buruk wacana populis ini ialah cukai barangan dan perkhidmatan yang semata-mata dikemukakan sebagai cukai yang mencuri pendapatan rakyat, tanpa melihat keperluannya dalam membina hasil negara yang akhirnya disalurkan kepada pelbagai keperluan.

Kecenderungan memberikan jawapan yang mudah tetapi salah kepada pelbagai persoalan yang rumit tidak membantu pemahaman yang benar tentang politik, yang bukan semata-mata persaingan kuasa dan personaliti tetapi juga pengurusan dan pentadbiran negara.

Pentadbiran negara tidak dibina dan dipandu oleh slogan populis yang simplistik, tetapi memerlukan pemahaman terperinci pelbagai bidang dari pelbagai sudut.

Populisme yang telah mendominasi politik negara kini perlu ditangani gelombangnya, demi memastikan pembinaan negara ini dibina oleh akal yang waras dan bukan ditentukan oleh politikus oportunis yang meletakkan kuasa dan kepentingan diri mengatasi segalanya.

PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.