Lebih menarik lagi apabila resolusi itu diusulkan oleh Malaysia yang disertai New Zealand, Venezuela dan Senegal. Wakil Tetap negara ke PBB waktu itu yang kini Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim berkongsi kisah gembira ini
kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH ketika ditemui di Wisma Putra, Putrajaya

Bagaimana titik awal usul Resolusi 2334 ini digerakkan?

RAMLAN: Draf resolusi ini pada asalnya diperkenalkan oleh Mesir sebelum ditarik balik akibat tekanan Israel dan anggota pentadbiran baharu Donald Trump. Ketika itu, Menteri Luar kita (Datuk Seri Anifah Aman) berada di New York untuk hoskan jamuan bagi memberi penghargaan kerana tamatnya Keanggotaan Tidak Tetap Malaysia dalam Majlis Keselamatan (UNSC).

Di situ Wakil Tetap Palestin berjumpa beliau dan memohon komitmen Malaysia untuk terus membentangkan resolusi ini de­ngan sokongan Venezula, New Zealand dan Senegal.

Bukankah detik itu dikatakan ‘masa amat genting’ ketika Malaysia sendiri akan menamatkan keanggotaan Tidak Tetap Majlis Keselamatan?

Ya, ada baki tujuh hari sahaja (22 Disember hingga 31 Disember 2016). Tapi perlu diingatkan sebab Majlis Keselamatan tidak akan ada lagi mesyuarat menje­lang Krismas (25 Disember). Pihak Sepanyol yang menjadi pengerusi Majlis Keselamatan nak tamatkan aktiviti sebelum waktu Krismas.

Tanggal 22 Disember itu ialah tarikh yang paling penting untuk kita mendapatkan satu resolusi. Itu saat yang genting dan sebab itu Malaysia dengan ketegasan Menteri Luar telah bagi jaminan kepada wakil tetap Palestin untuk teruskan usaha tersebut. Ketika itu saya jelaskan exceptional circumstances require bold action and exceptional measures. This is anything but a normal situation. Iaitu walaupun masa itu suntuk tapi keadaan yang luar biasa memerlukan tindakan luar biasa juga.

Apa formula yang digunakan untuk menggarap resolusi ini?

Formula-Arria iaitu mesyuarat tidak formal mengenai keadaan di Gaza, perlindungan untuk rakyat Palestin dan kawasan penempatan haram Israel. Sebanyak tiga kali formula ini digunakan iaitu pada 20 Julai 2015, 6 Mei 2016 dan 4 Oktober 2016.

Yang terakhir kita telah membawa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Israel sendiri yang menentang dasar-dasar kerajaan mereka. NGO-NGO ini mewakili golongan sederhana Yahudi yang tidak setuju dengan dasar radikal dan menindas rejim itu terhadap rakyat Palestin. Sepanjang penglibatan Malaysia dalam Majlis Keselamatan, kita sentiasa mendapat panduan dan nasihat daripada Menteri Luar (Anifah) macam mana menco­rakkan pendirian Malaysia dalam pelbagai isu yang bersabit tuntut­an dan bidang kuasa.

Resolusi 2334 ini tidak mungkin diluluskan tanpa komitmen Amerika Syarikat, mengapa tiba-tiba kuasa besar itu ‘tunduk’?

Semasa resolusi ini dibentangkan, Amerika jelaskan kenapa mereka mengambil pendirian berkecuali. Iaitu setelah puas berusaha memujuk Israel sejak lima pentadbiran Amerika yang lepas lagi dengan memberi jaminan kepada Israel untuk mempertahankan kepentingan dan kedaulatannya.

Namun Israel mengambil satu tindakan yang tidak membantu dalam usaha mencari perdamai­an. Tindakan ini bertentangan dengan usaha yang dilakukan kumpulan yang dianggotai Rusia, Amerika, Kesatuan Eropah yang jelas mengutuk berleluasanya dasar penindasan dan penempatan haram di Palestin.

Datuk sendiri selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas PBB menyiasat amalan Israel menggugat hak asasi rakyat Pa­lestin, apa penemuan dan bukti yang ditemukan?

Penemuan ini amat menyedih­kan daripada testimoni rakyat ­Palestin yang tertindas umpama­nya di Gaza. Antaranya, peralatan binaan tidak boleh dibawa masuk disebabkan kemusnahan yang dilakukan Israel. Proses pembinaan begitu perlahan. Ramai rakyat Palestin tidak mempunyai tempat berteduh. Terpaksa cari khemah atau karavan sebab tiada sambungan elektrik dan terhad. Anak-anak berkeliaran di kawasan perumahan yang musnah.

Ada penduduk penempatan haram sanggup membakar rumah dengan anak kecil yang masih ber­ada dalam rumah tersebut.

Askar Israel menembak sewenang-wenangnya rakyat Palestin yang membantah kekejaman mereka. Ada yang ditahan tanpa perbicaraan. Jenazah ­rakyat ­Palestin dimasukkan dalam peti sejuk sehinggakan keada­an mayat sudah beku dan tidak boleh disemadikan secara Islam. Dari testimoni inilah kami dapati kekejaman ini terlalu berleluasa. Dan rintihan ini perlu dibela.

Hairan, tiadakah kuasa veto yang mengekang Resolusi 2334 ini?

Tidak ada satu kuasa veto pun yang memveto, kerana itu resolusi ini diluluskan. Dalam isu Pa­lestin, empat kuasa veto (Rusia, China, Perancis dan Great Bri­tain) tidak pernah menggunakan kuasa vetonya. Cuma Amerika Syarikat (satu lagi kuasa veto) yang menentang untuk memveto resolusi yang tidak memihak kepada kepentingan Israel. Dalam konteks ini selama 36 tahun PBB tidak mempunyai resolusi ini ke­rana Amerika akan menyuarakan ketidakpuasan hati atau menggunakan kuasa veto mereka.

Namun dalam Resolusi 2334 ini, pihak Amerika malah mem­bisikkan pada saya bahawa mereka agak hairan kenapa Mesir harus akur pada tekanan diberikan Israel. Sebelum resolusi ini dibentangkan, saya menerima banyak panggilan dari negara Arab yang tidak puas hati tentang bagaimana Mesir diberikan tekanan yang kuat dan minta Malaysia meneruskan resolusi ini.

Apa impak daripada resolusi ini?

Untuk menggesa Israel hentikan penempatan haram dan jangan menidakkan kepentingan Palestin. Jadi, resolusi ini mendesak Israel untuk tidak merampas tanah-tanah Palestin secara berleluasa dan mendesak tindak-tanduk Israel ini diawasi oleh Setiausaha Agung PBB.

Setiap resolusi ini mengikat dan Israel tidak boleh kata untuk tidak mahu mematuhinya. Biarpun dalam ucapannya selepas itu dengan angkuhnya mengatakan tidak menghormati resolusi ini, tetapi yang sebenarnya resolusi ini mengikat dan harus akur.

Kalau tidak akur, terpulang kepada Majlis Keselamatan untuk memikirkan apakah tindakan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan Israel mematuhi resolusi ini.

Situasi ini sama dengan resolusi yang kita lakukan terhadap Korea Utara kalau melanggar resolusi, maka Majlis Keselamatan akan kenakan sekatan yang lebih keras. Dalam Resolusi 2334 ini, pihak Majlis ini mempunyai kaedah bagi memastikan resolusi yang diluluskan dalam konteks 14-0 ini dipatuhi.