Begitupun, di sebalik bayangan tersebut terserlah sisi menarik sehingga mampu mencuri hati penonton dari segenap lapisan umur dan masyarakat.

Ia dibuktikan sendiri menerusi kejohanan Rentap Night yang diadakan di Kompleks Muhibbah Taman Nirwana, Ampang bulan lalu apabila pertarungan tersebut mendapat tempat di hati peminat muda mahu pun tua daripada pelbagai latar belakang.

Pengarah Teknikal Rentap Night, Fairul Ezly Ramli berkata, beliau tidak menyangka pe­nganjuran sulung itu mendapat sambutan menggalakkan sehingga menarik kira-kira 2,000 penonton pada malam tersebut.

“Objektif utama kami selain melahirkan bakat baharu, kami mahu memperkenalkan sukan tempur ini di Ampang terma­suk mendekatkannya kepada masyarakat.

“Sebab kita sedia maklum apabila dengar sahaja muay thai, orang pasti terfikir ia satu pergaduhan dan ganas. Sebenarnya tidak kalau kita sudah menyediakan kemudahan keselamatan dan sebagainya,” ujarnya.

Dianjurkan oleh Phoenix Muay Thai Centre, Rentap Night mempertandingkan tujuh piala kejuaraan dan penonton disajikan dengan aksi perlawanan tinju Muay-Thai yang secara teknikalnya mengikut sistem kalah mati.

Setiap perlawanan akan dijalankan sebanyak lima pusi­ngan dan setiap pusingan berlangsung selama tiga minit.

Program Rentap Night me­nyaksikan penyertaan golongan belia lingkungan 18 tahun keatas yang mewakili Kelab Muay-Thai sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Mengulas lanjut, Fairul berkata, faktor utama kejohanan itu menarik ribuan penonton kerana mereka ingin melihat sendiri bagaimana pertarungan berlangsung.

“Mungkin selama ini dia ha­nya dapat tengok di televi­syen, jadi apabila dapat tahu ada pertandingan muay thai di kawasan terdekat, mereka teruja untuk menyaksikannya.

“Kita dapat lihat kanak-kanak di bawah jagaan ibu bapa, Cina, India dan Melayu semua seronok menyaksikan pertarungan ini.

“Ia seakan satu acara berskala kecil yang menghiburkan sesebuah komuniti setempat,” katanya lagi.