Penulis berharap persidangan ini dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai medan untuk menyuarakan pendapat dan membangkitkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam atau berbincang secara terbuka terhadap isu-isu yang menjadi tumpuan rungutan atau masalah rakyat.

Lazimnya, DUN Pahang bersidang sebanyak tiga kali setahun namun ia boleh diadakan pada bila-bila masa jika terdapat perkara-perkara penting yang perlu dise­gerakan seperti pindaan kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang atau seumpamanya.

Berbeza dengan hampir kese­mua negeri lain, blok kerajaan di dalam DUN Pahang kali ini masih dibentuk oleh wakil-wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) selepas parti itu menang 25 daripada 42 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRU-14, 9 Mei lalu. Pakatan Harapan pula memperoleh sembilan kerusi DUN manakala Pas mendapat lapan kerusi.

Kesemua 42 Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Pahang berkenaan mengangkat sumpah jawatan pada 2 Julai lalu di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik semula, Datuk Seri Ishak Muhamad.

Ishak yang dilantik buat kali pertama pada Julai 2013 akan dibantu oleh ADUN Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar yang turut dilantik semula sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN.

Selain perdebatan, antara per­kara menarik untuk diteliti dan disaksikan dalam sidang DUN Pahang kali ini adalah kemunculan ADUN Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan yang pertama kali menduduki kerusi Menteri Besar.

Gaya kepemimpinan dan pende­katannya yang berbeza jika diban­dingkan dengan Menteri Besar terdahulu pasti membawa kelainan dalam suasana persidangan DUN Pahang yang mana BN tidak lagi mempunyai majoriti dua pertiga. Se­belum ini, beliau merupakan antara Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) kanan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Mu­da Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Sains Politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Wan Rosdy, 60, yang bergelar ADUN Jelai sejak 2004 merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri pada penggal lepas. Pengalaman dan pengetahuan da­lam politik serta pentadbiran dijang­ka memberikan beliau kelebihan untuk berbahas atau menjawab isu atas kapasiti ketua pentadbir kerajaan negeri baharu.

Kehadiran sosok Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai wakil rakyat yang tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar pasti turut mencuri tumpuan. Sepanjang empat penggal menjadi Menteri Besar Pahang sejak 1999, ADUN Pelangai itu ‘mencipta’ pelbagai warna dalam perjalanan sidang DUN Pahang de­ngan gaya dan pendekatannya.

Namun, sebagai seorang ahli politik berpengetahuan luas dengan menjadi wakil rakyat sejak 1986, Adnan tentunya tidak akan ‘duduk diam’ dan blok kerajaan pasti ‘lega’ dengan kehadiran beliau di dalam Dewan.

Dalam pada itu, suara Pas di blok pembangkang dalam DUN Pahang kali ini lebih kuat apabila mempunyai lapan wakil rakyat berbanding dua orang pada penggal terdahulu.

Awal-awal lagi mereka sudah me­ngumumkan akan membawa usul supaya hari Jumaat dijadikan hari cuti untuk Pahang. Usul tersebut pernah dibentangkan dalam persidangan penggal lalu namun ditolak. Antara usul lain yang bakal dibentangkan adalah tentang pemberian lot tanah kepada rakyat di Pahang.

Sementara itu, kemunculan sem­bilan ADUN Pakatan Harapan da­lam blok pembangkang tidak seperti sebelumnya kerana pentadbiran kerajaan Pusat kini dikuasai pakatan berkenaan. Situasi itu dijangka mendorong mereka untuk lebih berani dan lantang bersuara.

Biar apa pun situasi yang berlaku dalam persidangan kali pertama selepas PRU-14 ini, tujuan untuk membincang, membangkit dan memutuskan pelbagai isu demi kepen­tingan rakyat wajib didahulukan.

Berikan kerjasama penuh sepanjang persidangan yang dapat membantu membawa Pahang ke peringkat lebih cemerlang. Sepertimana pesanan Yang Dipertua DUN Pahang supaya berbahas dan bertukar fikiran dengan profesional. Pamerkan peribadi mulia, integriti dan kematangan dalam memberikan idea bernas serta pandangan yang baik.