Jika saya perlu berusaha, bolehkah ustaz memberi beberapa cara yang saya boleh usahakan untuk menambah ketinggian saya mengikut Islam.
* Ahmad, Perak.

UKE: Biasalah manusia ada yang tinggi dan ada yang rendah. Tidak perlu rasa rendah diri dengan keadaan fizikal diri sebab Allah SWT mencipta manusia dengan kebijaksanaan-Nya.
 Apa yang penting ialah bagaimana meninggikan keyakinan anda dan bukan meninggikan badan anda. Keyakinan boleh datang dengan penguasaan ilmu, kemahiran dan kebolehan yang Allah kurniakan digilap sepenuhnya oleh anda.
 Anda perlu ketahui apa kelebihan anda yang patut anda gilap dan daripada situ lahirnya keyakinan dan penghormatan.
 Anda juga perlu banyak lakukan senaman di samping berbangga dengan apa yang dianugerahkan Allah kepada anda. Jadikan orang lain sebagai inspirasi dan jangan duk ambik pusing dengan cercaan dan usikan orang.
 Setiap orang ada kelebihan yang Allah bagi dan anda carilah kelebihan itu.
 

Ungkapan sempurna baca Yasin

Apakah ungkapan sempurna sebelum baca surah Yasin bagi tujuan niat sedekah kepada arwah ibu dan bapa saya?
* Tam, Segamat.

UKE: Yang paling penting ialah pastikan bacaan Yasin itu betul tajwidnya, kemaskan sebutan hurufnya, bacaan dengan tartil dan betul wakaf intida’nya. Itu yang penting.
 Bab anda hendak sedekahkan bacaan itu kepada arwah, maka terpulanglah apa bentuk niat anda. Allah Maha Mengetahui. Sebut saja “Ya Allah hamba-Mu ini bermohon agar pahala bacaan Yasin ini dihadiahkan kepada...”  Itu pun boleh dah. Yang penting baca surah Yasin itu betul-betul.
 

Bayar hutang atau sedekah?  

Saya letak gelang tangan saya di ar-Rahnu disebabkan mahu membeli sebidang tanah. Baru-baru ini saya mendapat sedikit wang hasil tanah itu. Saya berhasrat membeli al-Quran untuk disedekahkan kepada adik-beradik saya. Mana yang lebih baik, membeli al-Quran untuk disedekahkan atau membayar hutang di al-Rahnu?
* Sa, Selangor.

UKE: Kedua-duanya bagus. Menebus gadaian pun bagus supaya anda bebas daripada bebanan hutang dan perasaan. Hadiahkan al-Quran pun bagus dan tidak mahal pun harganya tetapi nilainya sangat tinggi kerana al-Quran adalah mukjizat yang sangat hebat.
 Memberi hadiah kepada orang sangat digalakkan dalam Islam kerana akan mengeratkan silaturahim dan menambahkan kasih sayang serta ingatan. Saya ucapkan tahniah kepada anda kerana memilih sistem gadaian ar-Rahnu dan tidak memilih gadaian berbentuk riba.

 Cenderamata bentuk kincir angin haram?  

Apakah cenderamata berbentuk kincir angin dari Belanda dianggap bentuk salib dan boleh disimpan di rumah?
* Ingin Tahu, Seremban.

UKE: Kincir angin bukanlah salib. Boleh anda simpan di dalam rumah. Kincir angin, kincir anginlah. Janganlah nanti huruf “T” pun dikatakan salib.