Naib Canselor Universiti Malaya (UM), DATUK DR. IR. ABDUL RAHIM HASHIM berkongsi pandangan bersama wartawan Utusan Malaysia, ASHRIQ FAHMY AHMAD di pejabat beliau baru-baru ini.

Baginya, cabaran tersebut diibaratkan sebagai satu anjakan paradigma untuk universiti melihat kembali peranan mereka dalam era kepesatan teknologi masa kini.

PERANAN UNIVERSITI MASIH RELEVAN?

Itu merupakan satu persoalan yang sering bermain dalam kalangan mana-mana pentadbir universiti. Sememangnya kita tahu ada graduan yang keluar dari universiti, masih mempunyai kekurangan dari segi komunikasi, pemikiran kritikal dan sebagainya.

Landskap industri dan sektor pekerjaan hari ini berkembang begitu mendadak terutama melibatkan teknologi tinggi. Persoalannya, adakah peranan universiti ini masih relevan atau pun tidak?

Kalau dilihat dari konteks Malaysia, kita masih memerlukan kepakaran daripada graduan untuk membangunkan negara.

Oleh demikian, apakah peranan universiti dengan adanya landskap sebegitu? Adakah graduan menepati kriteria yang ditetapkan dunia pekerjaan hari ini?

Dari segi sahsiah, cabaran memang banyak, sangat mencabar bukan sahaja kepada UM malah universiti-universiti lain.

Kelebihan setiap universiti semakin lama semakin tipis, persaingan semakin hebat kerana saat ini kita sudah memiliki hampir 20 universiti awam dan 70 hingga 80 universiti swasta.

FOKUS PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Universiti hari ini perlu mengeluarkan graduan yang lain daripada lain. Apa yang patut kita lakukan adalah fokus kepada pengajaran dan pembelajaran dari segi tawaran kursus. Kita tidak mahu terus stereotaip.

Contohnya, sebagai graduan Akademi Pengajian Islam (API), mereka boleh pergi ke pelbagai sektor industri dengan mengambil bidang-bidang lain. Jika mereka ikuti program syariah, mereka boleh mix and match dengan disiplin akademik lain seperti bidang sains.

Apabila graduan tadi memasuki dunia pekerjaan, dia akan memiliki ilmu pengetahuan lebih luas.

Dia tidak sahaja tahu selok-belok hukum agama, malah boleh dihubungkaitkan isu agama dengan sains. Oleh yang demikian, lapangan pekerjaan yang mereka boleh ceburi adalah pelbagai.

Kita di UM membuka peluang-peluang tersebut. Contoh lain, mereka yang ambil kursus bahasa Sepanyol, kita tidak mahu apabila mereka melangkah keluar dari universiti, cuma bekerja sebagai penterjemah bahasa atau profesion berkaitan kursus yang mereka ambil sahaja.

MODUL LATIHAN INDUSTRI DIPERHEBAT

Kita ada terima maklum balas berkenaan kadar masa program-program latihan industri. Ada yang kata lapan bulan masih tidak cukup dan enam bulan adalah jangka masa paling minimum.

Oleh yang demikian, kita perlu membina satu modul atau program bersesuaian dengan keperluan tersebut.

Salah satunya kita kena ada mobiliti ke luar negara kerana apabila mereka pulang ke tanah air semula, ada perubahan ketara dari segi keyakinan diri dan sahsiah.

Jika boleh, kita mahu 100 % pelajar dapat peluang ke luar negara. Kelebihan mereka yang menyertai program itu adalah memperoleh dua ijazah sekali gus.

Contoh, kalau ambil ijazah bahasa Jerman, mereka berpeluang menjejakkan kaki ke negara tersebut, duduk enam bulan hingga setahun.

Bila balik dapat dua ijazah, satu daripada UM dan satu lagi universiti tersebut.

Yang mustahak bukan ijazah yang diterima sebenarnya, sebaliknya kebolehan mereka bertutur dengan baik dalam pilihan bahasa yang diambil sekali gus pembangunan sahsiah diri pelajar dapat ditingkatkan, keyakinan diri, cara mereka melihat dunia luar. Ia boleh ibaratkan seperti kill two birds with one stone.

KEBOLEHPASARAN GRADUAN

Kita mahu adakan program-program yang bukan sahaja berdasarkan disiplin asas tetapi lebih umum, jadi mereka boleh pergi ke mana-mana sektor pekerjaan.

Saya ambil contoh bidang kejuruteraan yang memiliki pelbagai disiplin ilmu seperti kimia, kejuruteraan mekanikal. Kita boleh adakan satu program kejuruteraan umum agar mereka boleh masuk mana-mana sektor.

Jika kita lihat mana-mana bidang perusahaan kecil sederhana (SME), mereka tidak kisah apa bidang yang diambil oleh graduan, asalkan mereka boleh selesaikan apa juga isu yang dihadapi pihak industri.

Dari segi fokus kajian dan pembangunan (R&D), sekarang adalah masanya bagaimana mahu menyerlahkan lagi peranan universiti. Salah satunya menerusi setiap penyelidikan yang kita lakukan, ia mestilah memberi impak kepada masyarakat.

USAHA PERTINGKAT RANKING UNIVERSITI

Kita akan terus mempertingkatkan kualiti dan penambahbaikan secara berterusan. Kita tidak mahu ranking kita jatuh semula.

Turun naik itu biasa, namun jika sudah berada di tahap ini, kita (UM) perlu berusaha lebih gigih untuk meningkatkan ranking tersebut atau mempertahan kedudukan sedia ada.

Kita akan adakan pelbagai program biarpun menghadapi pelbagai kekangan dan cabaran terutamanya dari sudut kewangan. Jadi bagaimana kita nak menentukan ada penambahbaikan secara berterusan?

Kita memerlukan sokongan yang kuat dan padu daripada Kementerian Pendidikan (Pendidikan Tinggi). Kalau kita bandingkan dengan universiti-universiti lain yang menyerlah, kita juga memerlukan dana-dana untuk program tertentu agar dapat bergerak ke arah lebih baik.

Jika diberikan dana secukupnya, kita akan buktikan kita akan jadi lebih baik daripada sekarang. Kita sekarang sudah well proven to others, jadi sudah banyak kejayaan telah dikecapi.

Sememangnya kerajaan menggalakkan agar setiap universiti tidak lagi terlalu bergantung kepada dana yang diberi malah perlu berdikari.

Namun jika kita terlalu menumpu kepada program mengumpul dana (mencari wang), dikhuatiri fokus dan fungsi universiti itu sendiri akan terpesong.

Natijahnya adalah kepada pemegang taruh universiti iaitu para pelajar itu sendiri, oleh yang demikian ia perlulah diseimbangkan.