Mangsa dikatakan mengalami kecederaan parah pada organ dalaman seperti buah pinggang, hati, usus serta tulang rusuk kiri dan kanan patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul. Bapa mangsa sudah pun didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh anak perempuannya itu.

Satu lagi kes dera yang menjadi tumpuan ramai berlaku di Bukit Mertajam melibatkan seorang amah warganegara Indonesia yang dipercayai didera sehingga mati. Ketika diselamatkan terdapat kesan lebam pada bahagian kepala dan muka mangsa selain cedera di lengan dan kedua-dua belah kaki sehingga bernanah dipercayai ter­kena air panas. Menurut saksi, mang­sa dibiarkan tidur bersama anjing di luar rumah sejak lebih sebulan lalu dan dipercayai tidak diberikan makanan mencukupi.

Penderitaan tersebut ba­gai­ma­napun berakhir apabila amah berusia 21 tahun itu meninggal dunia kira-kira pukul 4.45 petang, 11 Februari lalu tidak sampai 24 jam selepas diselamatkan. Rentetan daripada dua kejadian itu seorang warga emas berusia 60 tahun ditahan dan didakwa di mahkamah atas tuduhan mendera, mengabaikan dan mendatangkan kecederaan ke atas mangsa. Anaknya juga ditahan dan didakwa menggaji pekerja a­sing tanpa pas kerja yang sah.

Kes-kes seperti ini kebanyakannya lewat diketahui polis. Ketika ‘diselamatkan’ mangsa sudah berada dalam keadaan parah, tenat dan menunggu mati. Ada yang meninggal selepas sehari dua dimasukkan ke hospital, sebahagian lagi bertarung nyawa berminggu-minggu atau berbulan-bulan untuk hidup. Kalaupun hidup, mangsa dera selain me­ngalami kecacatan fizikal kekal, psikologi yang tidak lagi harmoni dan trauma sepanjang hayat.

Apa yang selalu didengari setiap kali berita-berita dera seumpama itu muncul, saksi akan muncul dan bercerita macam-macam. Ada yang mendakwa mende­ngar mang­sa seringkali dimarahi, mendengar tangisan, teriakan atau lolongan kesakitan yang tidak berpenghujung. Mangsa juga seringkali dilihat se­perti buruh paksa, bekerja sepanjang hari, kurus ke­ring, murung, kelaparan, ketakutan dan ba­­nyak me­nyen­diri.

Jiran terde­kat mungkin su­dah lama mendengar atau menyaksikan apa yang berlaku di atas tetapi mereka sekadar mende­ngar sahaja. Mereka tidak berani menegur atas dasar tidak mahu ‘menjaga tepi kain orang.’ Apatah lagi kalau jiran sebelah rumah hidup dalam dunia tersendiri, tidak pernah menyapa atau bermasyarakat, simbol masyarakat yang semakin individualistik.

Dalam keadaan persekitaran hidup yang semakin mencabar dengan pelbagai tekanan termasuk kejadian jenayah setiap minit dan saat, masih relevankah pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang, jagalah tepi kain sendiri?’. Apakah hanya kerana mahu berpegang kepada prinsip tidak mahu mencampuri urusan orang lain termasuk jiran tetangga, masing-masing sekadar melihat apa sahaja jenayah yang berlaku di depan mata. Oleh kerana terlalu berpegang kepada pepatah tersebut, semua orang sudah tidak ‘berasa’ apa-apa apabila mendengar atau melihat sesuatu yang tidak kena sedang berlaku berhampiran mereka.

Justeru perlakuan mendera ke atas ahli keluarga terutama bayi dan kanak-kanak sudah dianggap perkara biasa dan tidak ada apa-apa pun manakala perbuatan menyeksa pembantu rumah pula dilihat sebagai satu hak mutlak majikan ke atas pekerjanya. Kalaulah setiap orang mempunyai deria cakna dan prihatin, kejadian-kejadian seperti itu sudah pasti akan dilaporkan kepada pihak berkuasa. Sekurang-ku­rangnya polis boleh datang menjenguk atau menyiasat sama ada laporan itu benar atau palsu. Kalau benar, satu dua nyawa sudah pasti boleh diselamatkan.

Sanggupkah kita memekakkan telinga daripada mendengar rintihan dan tangisan anak-anak yang diseksa atau didera? Tergamakkah kita memejamkan mata daripada melihat pembantu rumah atau amah yang tidur bersama seekor anjing di luar rumah sambil mengerang kesakitan? Di manakah rasa belas kasihan dan konsep ambil peduli dalam masyarakat kita?

Berdasarkan apa yang berlaku ini dalam beberapa situasi, pepatah tersebut tidak begitu relevan lagi pada masa. Pepatah ini amat relevan apabila digunakan secara melampau bagi tujuan mengorek rahsia kehidupan peribadi orang lain, membuka dan menyebarkan aib mereka terutama jiran terdekat. Dalam konteks kepedulian terhadap perlakuan buruk atau jenayah yang berlaku di hadapan mata, pepatah ini tidak boleh digunakan. Demi kebaikan bersama, sesekali ‘jagalah tepi kain orang, jaga juga tepi kain sendiri’.