Matlamat mereka satu, iaitu memecahkan rekod himpunan pemain gendang terbesar bukan sahaja di India malah di dunia.

Khol adalah sejenis gendang yang mempunyai dua permukaan. Alat yang diperbuat daripada tanah liat ini berasal dari utara dan timur India. Bertempat di sebuah padang di Titabar, baru-baru ini, peserta dalam lingkungan usia antara 11 dan 80 tahun berhimpun dengan berpakaian tradisional negeri Assam lengkap dengan penutup kepala seperti serban.

Kehadiran sejumlah 14,833 peserta berjaya direkodkan dengan setiap orang memakai nombor penyertaan bagi menjayakan acara bersejarah berkenaan.

Acara itu dipantau oleh Abhijit Baruah seorang pemegang rekod dunia berlari sejauh 150 kilometer dalam tempoh 23 jam dan 19 minit.

Acara itu kemudiannya dirasmikan oleh Ketua Menteri Assam, Tarun Gogoi yang bertindak memukul khol sebagai simbolik kepada permulaannya.

Ia diikuti oleh pukulan gendang khol oleh kira-kira 15,000 peserta selama 15 minit, kali pertama berjaya dilakukan di India.

Kejayaan itu bukan sahaja memecahkan rekod di India malah dijangka memecahkan rekod dunia.

Klip rakaman persembahan itu kemudiannya diserahkan Abhijit kepada panel Guinness Book of Records untuk dinilai dan direkodkan.

Persembahan permainan alat perkusion terbesar di dunia pernah mencatat rekod di Hong Kong pada Julai 2002 apabila seramai 10,102 orang bermain peralatan itu mengikut rentak selama enam minit.

Mengulas penganjuran majlis itu, Tarun memuji usaha penganjur kerana ia bukan sahaja memecahkan rekod dunia malah membawa seni yang diperkenalkan pengasasnya, Sankardeva ke pentas dunia.

''Malah agak mengharukan kerana golongan belia di negeri ini akhirnya kembali untuk mengangkat warisan budaya mereka, sekali gus mewujudkan satu tempat khas di dunia bagi tradisi kebudayaan negeri," katanya.

- AGENSI