Di sana mereka akan mendalami ilmu agama dan akan sedar serta menginsafi diri. Akhirnya kembali menjadi orang yang berguna kepada masyarakat sekiranya mereka cepat menyesuaikan diri.

Kebiasaannya mereka ini akan memaafkan sesiapa sahaja yang telah menjatuhkan hukuman dan menyumbat mereka ke dalam penjara. Kerana itulah ‘hadiah’ terbaik kepada mereka untuk memperbaiki kesilapan diri dan pulang kembali ke pangkal jalan.

Namun, sekiranya pelaku yang disumbat ke dalam penjara kerana dianiaya dan bukannya disebabkan kesilapan diri sendiri, kemungkinan besar mereka tidak akan memaafkan kerana penga­niayaan itu telah mengheret keturunan mereka turut sama dihina.

Satu sahaja perkara yang ma­suk akal berkenaan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim memaafkan Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Anwar telah insaf dan berterima kasih kepada Dr. Mahathir kerana memenjarakan beliau atas kesalahan yang telah dilakukannya.

‘Reformasi’ adalah laungan untuk membela seorang pe­mimpin yang telah dianiaya yang juga merupakan pemimpin yang dijunjung dan diagungkan oleh lebih puluhan ribu orang kira-kira 20 tahun dahulu. Kita dapat lihat ketika perhimpunan di Masjid Negara serta di segenap atas jalan raya, penyokong-penyokong yang membela Anwar kerana teraniaya oleh diktator ini. Saban hari dan minggu di Dataran Merdeka pastinya akan ada demonstrasi haram. Ada yang ditangkap dan bermandi water cannon dan ‘menikmati’ rasa gas pemedih mata.

Ini semua perlu dijelaskan kepada pendukung reformasi. Cerita dongeng yang Anwar hebahkan kepada mereka bahawa konspirasi menjatuhkan beliau adalah tidak benar. Segala pertuduhan yang disabitkan kepada Anwar ketika itu adalah benar belaka.

Hanya atas dasar ini sahaja, Anwar akan memaafkan Dr. Mahathir kerana Dr. Mahathirlah yang telah menginsafkan Anwar selayaknya.

Kepada pendukung gerakan reformasi, perjuangan anda sudah dirompak oleh Anwar dan keluarganya. Niat suci murni perjuangan pada ketika itu mahu mengejar keadilan dan mendapat pahala kerana mempertahankan orang yang dianiaya telah ditipu oleh mangsa perjuangan mereka.

Perjuangan reformasi sudah terkubur dan sudah tidak ada lagi yang perlu diperjuangkan. Diktator yang difikirkan berdosa terhadap Anwar selama ini kini bergelar hero kepada Anwar dan keluarganya.

Anwar telah mendapat keinsafan, anda sebagai pendukung gerakan reformasi masih berdosa kepada rakyat Malaysia dan anggota keselamatan negara.

Negara ketika itu dihina bukan sahaja oleh kamu, malahan masyarakat antarabangsa yang terpengaruh oleh gerakan reformasi turut mengutuk undang-undang negara.

Pembangunan negara terganggu dek gerakan reformasi. Rakyat ketakutan dan tidak yakin serta malu mengakui diri sebagai rakyat Malaysia dek kerana laungan reformasi yang kononnya mangsa tidak diadili sebaiknya.

Berdosanya gerakan reformasi kepada rakyat Malaysia tidak boleh diampunkan selagi mereka tidak kembali kepada memperbetulkan keadaan dan segala apa yang telah pelbagai pihak lontarkan penghinaan kepada negara berdaulat ini.

DATUK RAZLAN MUHAMMAD RAFII ialah Ketua Pemuda Barisan Nasional Wilayah Persekutuan.