Jika kegiatan dan perancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu tidak mendatangkan sebarang kerugian kepada umat Islam, maka kegiatan tersebut sepatutnya diteruskan setelah memperbaiki beberapa kelemahan yang wujud.

Perkara berkaitan dengan urusan amar makruf (menyeru ke arah kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) adalah salah satu tuntutan Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Kecuaian terhadap urusan ini boleh merosakkan kewibawaan agama Islam dan umatnya. Tidak dinafikan bahwa kerajaan dan umat Islam dalam negara ini amat prihatin terhadap amar makruf tetapi perkara berkaitan dengan nahi mungkar masih lagi berada dalam tahap yang kurang memuaskan.

Dalam suasana umat Islam terutamanya remaja yang berada dalam kehausan kerohanian dan permasalahan moral membimbangkan, maka umat Islam perlu menangani permasalahan ini secara serius. Kekerasan bukan cara paling ideal untuk mengendalikan keruntuhan moral dan gejala kemaksiatan. Dalam keadaan tertentu tindakan tegas walaupun kurang disenangi oleh golongan tertentu perlu dilaksanakan supaya gejala kemaksiatan dan kemungkaran tidak berleluasa.

Sikap ibu bapa yang memberi kebebasan kepada anak-anak tanpa batasan dan kurang prihatin terhadap kegiatan anak-anak di luar rumah antara punca yang boleh menyebabkan ramai remaja terlibat dalam kegiatan tidak bermoral dan maksiat.

Tambahan pula proses globalisasi yang terlalu pantas menguasai dunia yang maju dan membangun maka Malaysia secara tidak langsung menjadi sebuah menjadi negara metropolitan yang menjadi tumpuan masyarakat dunia untuk melaksanakan pelbagai kegiatan jenayah dan kemaksiatan. Kebanjiran pelacur asing di negara ini menjadikan Malaysia negara transit kepada pelacur dan sindiket antarabangsa.

Remaja Islam juga tidak terkecuali melibatkan diri dalam kegiatan tersebut. Paling membimbangkan ialah kegiatan pelacuran atau dikenali sebagai pelayan pelanggan (GRO) menjadi salah satu mata pencarian kepada wanita Islam walaupun mereka berada di menara gading. Kelab malam dan tempat-tempat hiburan liar sudah menjadi tumpuan remaja Islam berhibur tanpa menghiraukan identiti mereka sebagai umat Islam. Ini adalah realiti kehidupan remaja Islam dalam negara ini terutamanya di bandar-bandar besar dalam negara ini.

Berdasarkan kepada fakta ini maka tindakan secara serius dan tegas amat diperlukan bagi membendung kegiatan maksiat dan gejala moral daripada berleluasa. Undang-undang syariah berkaitan dengan hal ehwal keperibadian umat Islam perlu dilaksanakan secara tegas supaya umat Islam memahami bahawa corak kehidupan mereka amat berbeza dengan masyarakat bukan Islam.

Tugas utama umat Islam ialah bekerjasama dengan pihak berkuasa membendung kegiatan maksiat supaya kegiatan tersebut tidak menjadi tradisi masyarakat Islam dalam negara ini. Oleh itu bekerjasama dan bersatulah bagi membendung kegiatan maksiat dan mungkar supaya umat Islam dalam negara ini dirahmati oleh Allah.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).