Keinginan menukar pemerintah adalah berasaskan kepada keazaman untuk melakukan reformasi terhadap pentadbiran negara yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan. Tulisan ini sedikit sebanyak cuba menyentuh salah satu sudut yang menuntut perubahan demi menjanjikan kebertanggungjawaban dan ketelusan pemerintah dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat.

Pasca PRU-14 sering kali diberi gambaran bahawa keputusan pilihan raya sebulan yang lalu adalah kerana pengundi nekad ingin menjatuhkan kerajaan terdahulu atas alasan terlalu banyak salah urus dalam pentadbiran. Namun begitu, fungsi pilihan raya sebenarnya lebih besar daripada itu.

Harapan pengundi dan rakyat seharusnya secara kolektif adalah ingin melihat pemerintahan dan pentadbiran yang lebih baik dengan perubahan positif bagi memberikan keselesaan kepada rakyat sama ada dari segi fizikal dan spiritual. Tuntutan reformasi bagaimanakah yang dingini sebenarnya?

Komitmen yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perjumpaan pertama dengan penjawat awam pada 21 Mei antara perkara yang ditekankan adalah bagaimana perlunya pemisahan atau pengasingan kuasa antara tiga cabang utama pemerintahan iaitu legislatif, kehakiman dan eksekutif.

Menurut beliau, pengasingan kuasa ini adalah penting bagi mewujudkan sistem semak dan imbang yang berkesan. Pemerintah seharusnya sentiasa beringat dalam pembuatan keputusan kerana mereka perlu sedar ia sentiasa diperhatikan oleh rakyat.

Melihat kepada kritikan yang sering dihalakan kepada pemerintahan dan pentadbiran negara sebelum ini, kewibawaan ketiga-tiga cabang pemerintahan negara memerlukan satu perubahan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

Memandangkan kita tidak mengamalkan pengasingan kuasa yang sepenuhnya, seharusnya, kuasa eksekutif perlu dihadkan bagi mengurangkan campur tangan dalam cabang-cabang lain terutama badan kehakiman.

Pengalaman pengaruh eksekutif dalam penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan akta tertentu seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri sebelum ia dimansuhkan seharusnya dijadikan pengajaran.

Selain itu, semenjak mengalami krisis kehakiman pada tahun 1987, badan ini dilihat semakin dipengaruhi oleh badan eksekutif. Ini menimbulkan kesangsian rakyat dan mereka mudah dipengaruhi dengan persepsi-persepsi negatif apabila melibatkan perbicaraan kes-kes berprofail tinggi yang mempunyai kaitan dengan politik.

 

Pembaharuan

Maka inilah peluang terbaik untuk melakukan pembaharuan bagi melakukan perubahan melalui kekuatan politik yang ada. Walaupun telah ada usaha ke arah itu namun, di bawah rejim yang sama, ia tidak mampu untuk dileraikan dengan elemen-elemen kosmetik. Untuk mengatakan mereka tidak serius dan tidak ikhlas adalah tidak adil.

Tetapi, dengan beberapa tindakan yang janggal seperti perlantikan Ketua Hakim Negara yang disambung kontraknya dan jawatan tertentu dalam badan kehakiman dan perundangan meletakkan usaha tersebut kembali kabur di mata rakyat.

Inilah masanya untuk memberi peluang berdasarkan merit dan senioriti hakim-hakim yang sedia ada. Nama-nama hakim yang telah lama berkhidmat, berpengalaman dan senior perlu diberi perhatian dalam perlantikan ke jawatan tertinggi. Ia adalah penting bagi menjamin ketelusan dan kebebasan badan kehakiman.

Apa yang kita saksikan dalam sebulan pemerintahan PH ini, kesediaan mereka untuk berunding dalam perlantikan tertentu seperti jawatan Peguam Negara menjadi satu kayu ukur untuk perlantikan seterusnya bagi jawatan-jawatan utama.

Kalau sebelum ini, perlantikan jawatan seperti Peguam Negara ini walaupun ada kontroversinya tetapi tidaklah ia menjadi perbicangan hangat dalam segenap lapisan masyarakat sehingga mampu mencetuskan konflik. Namun, kali ini ia menjadi satu polemik dalam masa yang singkat dengan pelbagai pandangan diketengahkan dan terdapat penentangan terhadap cadangan perlantikan.

Walau bagaimanapun, kenyataan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan pihak Istana Negara telah meredakan keadaan dan menunjukkan peranan yang dimainkan oleh eksekutif dalam mendokong sistem beraja di negara ini. Secara positifnya, keprihatinan rakyat dalam isu ini telah menunjukkan kematangan berpolitik dengan sentiasa mengambil berat terhadap setiap tindakan dan keputusan pemerintah tetapi kita sangat mengharapkan agar setiap perbicangan khususnya dalam media baharu dilakukan dengan beradab.

Reformasi badan eksekutif perlu melihat kepada keperluan semasa agar setiap dasar dan program yang digariskan oleh pemerintah dapat mencapai matlamatnya secara maksimum.

Perancangan Dr. Mahathir untuk melakukan perubahan kepada badan eksekutif dengan mengecilkan saiz Kabinet pada permulaan ini merupakan satu langkah boleh dipuji.

Ia mungkin dapat memberikan lebih kebebasan kepada pihak menteri begitu juga kepada penjawat awam yang merupakan pelaksana utama. Kakitangan awam mempunyai pengalaman yang luas dalam melaksanakan dasar-dasar negara. Mereka perlu diberi peluang yang lebih bebas dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada eksekutif.

Seperkara lagi, melihat kepada pengalaman sebelum ini, bagi memperkasakan eksekutif, penguasaan parti dalam pemerintahan juga perlu diberikan perhatian. Pengaruh parti politik khususnya parti pemerintah dalam urusan kerajaan perlu dihapuskan.

Sekiranya ia mampu dilakukan, ia memberi petanda bahawa politik penaungan yang dibina oleh UMNO dan Barisan Nasional bakal berakhir. Namun sekiranya parti pemerintah sekarang mengikut acuan lama, maka tidak hairan ia akan membentuk satu penaungan baru yang menjadikan amalan politik wang akan tumbuh kembali.

- Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pengurusan dan Pengajian Polisi, UiTM Pahang.