Sesuatu yang pasti, ada dalam kalangan sekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ‘makan hati’ apabila terpaksa akur kepada formula 14-10-10-2 yang diguna pakai di negeri Jelapang Padi ini.

Formula pembahagian kerusi DUN itu memperlihatkan si bongsu dalam Pakatan Harapan iaitu PPBM akan bertanding di 14 DUN, PKR dan PAN masing-masing 10 kerusi manakala DAP dua kerusi.

Kejayaan PPBM bertanding lebih banyak kerusi DUN Kedah sudah pasti menimbulkan rasa tidak senang namun hanya mampu memendam rasa supaya rakyat di negeri ini tidak menghidu gabungan rapuh dalam Pakatan Harapan diketuai DAP.

Malah Pengerusi PKR Kedah, Dr. Azman Ismail sendiri mengakui pembahagian kerusi Pakatan Harapan Kedah itu hanya selesai dalam ‘inverted commas’.

Bagi ‘Abang Ngah’ dalam pakatan itu, masih terdapat perbincangan dan terbuka dengan idea-idea berhubung fomula yang diguna pakai di Kedah kerana masing-masing belum sain untuk memuktamadkan keputusan tersebut.

Membaca kenyataan ini, ia tentunya membawa maksud isu berkenaan masih belum selesai sepenuhnya apabila sekutu PPBM itu masih menaruh harapan untuk bertanding lebih kerusi.

Sebaliknya PAN Kedah seperti biasa mahu mengambil sikap mengalah dengan si bongsu demi menampakkan wajah Melayu dalam Pakatan Harapan.

Tidak sukar untuk menilik bahawa keputusan tersebut dibuat semata-mata untuk mengaburi mata rakyat Kedah khususnya pengundi Melayu, PAN terpaksa merelakan PPBM mendapat kerusi DUN terbanyak supaya mereka tidak dikatakan barua kepada DAP.

Ribut dalam cawan mereka harus disembunyikan walaupun hakikatnya air semakin berkocak ke luar terutama menjelang pilihan raya umum nanti.

Namun persoalannya, benarkah ribut ini dalam Pakatan Harapan Kedah ini sudah reda?

Mampukah pemimpin PKR yang selama ini mengintai jawatan Menteri Besar melupakan keinginan tersebut?

Apatah lagi gerakan PKR untuk menawan Kedah kerana kerusi mengidam kerusi MB sudah lama.

Pastinya, tidak semudah itu untuk mengalah.

Ada sumber dari PKR Kedah memberitahu, bahawa walaupun parti itu bersetuju dengan pembahagian kerusi DUN itu namun itu tidak bererti calon Menteri Besar nanti adalah dalam kalangan pemimpin PPBM.

Katanya, PKR masih yakin bahawa mereka lebih berpengaruh dari PPBM di Kedah dan mampu menang lebih banyak kerusi berbanding parti lain dalam Pakatan Harapan.

Lantas siapa mengatakan bahawa pertelagahan antara parti dalam Pakatan Harapan Kedah ini sudah selesai? - UTUSAN ONLINE