MOHAMAD ZAHIR ABDUL KHALID
MOHAMAD ZAHIR ABDUL KHALID

Pengumuman itu disambut penuh syukur oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor setelah perjuangannya sejak sekian lama menjadikan Pangkor bebas cukai akhirnya menjadi kenyataan. Maka tertunailah juga manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Ketika kerajaan negeri giat memperincikan pelaksanaan bebas cukai di Pangkor, persoalannya adakah penduduk Pangkor sudah bersedia untuk menghadapi status bebas cukai? Paling penting bagaimana mereka mendapat manfaat maksimum daripada pelaksanaan barangan yang bebas cukai?

Dalam hal ini, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid meminta penduduk Pangkor me­ngambil tahu tentang pelaksanaan bebas cukai di pulau itu.

Menurutnya, penduduk harus mempunyai ilmu dan maklu­mat mengenai apa manfaat yang mereka bakal raih dari segi pendapatan, peluang pekerjaan malah ruang perniagaan yang boleh mereka sertai.

Katanya, mereka perlu me­ngambil tahu apa yang bakal wujud di Pangkor dan rebut peluang pengisytiharan itu untuk mening­katkan taraf hidup mereka.

“Penduduk Pangkor perlu mem­persiapkan diri dengan impak pelaksanaan bebas cukai ini dari segi peluang pekerjaan dalam pelancongan, peruncitan, pergudangan dan pelabuhan yang sudah tentunya akan rancak.

“Janganlah pula buat tak tahu apa yang akan berlaku dan yang paling penting saya nasihat supaya berhati-hati kerana harga tanah akan naik, jangan fikir nak kaya cepat, ingat masa depan anak dan cucu,” katanya.

Lambat laun ciri-ciri bebas cukai di Pangkor bakal kelihatan apabila pulau itu digazetkan kelak untuk pelaksanaan bebas cukai. Adakah Pangkor bakal setanding Pulau Langkawi yang sudah sekian lama bertaraf bebas cukai?

Dalam hal ini, Mohamad Zahir berkata, perkara itu akan diperincikan menerusi perbincangan dengan Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN). Ini kerana kerajaan negeri mempunyai beberapa permintaan supaya beberapa barangan dibuat pengecualian cukai.

“Selain itu, kalau bebas cukai dilaksanakan, kawasan yang mana di Pangkor atau adakah melibatkan sebahagian Lumut juga bebas cukai.

“Dari segi pelaksanaan, kita ada contoh Pulau Langkawi. Mana-mana amalan yang baik kita boleh ambil, kita belajar daripada kesilapan lepas yang kita boleh elak, jadi hasilnya akan lebih baik.

“Saya percaya apabila digazetkan sebagai bebas cukai, dalam tempoh dua atau tiga tahun, impak bebas cukai akan dirasai kerana Pangkor sudah mempunyai infrastruktur yang akan menyokong pelaksanaan bebas cukai,” katanya.

Seperti mana Langkawi yang mempunyai Lembaga Pembangunan Langkawi atau LADA, badan sedemikian juga akan diwujudkan di Pangkor supaya pembangunan, proses pelaburan dan pertumbuhan ekonomi dapat dipusatkan dengan lebih pantas.

Badan khas untuk pembangunan Pangkor ini nanti akan memastikan impak bebas cukai di Pangkor turut dinikmati di kawasan sekitarnya seperti di Lumut dan Manjung.

“Menjadi hasrat kita status bebas cukai ini akan membantu meningkatkan ekonomi, mewujud peluang pekerjaan dan pendapatan yang berkualiti serta limpahan ekonomi untuk Lumut, Pangkor dan negeri Perak,” kata Mohamad Zahir.

Dalam pada itu, pengisytiharan tersebut dicemuh pembangkang kerana atas alasan kenderaan, alkohol dan rokok tidak dikecualikan cukai. Pembangkang mendakwa, sedangkan tiga barangan itu seringkali diharapkan pengunjung dapat dibeli menggunakan manfaat bebas cukai.

Dalam hal ini, Mohamad Zahir berkata, adalah keputusan yang baik apabila rokok dan alkohol tidak dikecualikan cukai atas pelbagai alasan. Pertamanya, bagi mengelak penduduk tempatan mengalami kejutan budaya jika kedua-dua barangan tersebut dijual terlalu murah.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan supaya pelaksanaan bebas cukai tidak memberikan impak sosial terhadap penduduk di Pangkor.

“Dari segi lain, rokok dan arak adalah ‘sin tax’ atau cukai berdosa, jadi kita terima hakikat ini perkara yang mendatangkan kemudaratan,” katanya.