Ulangtahun kemerdekaan ke 60, 72 dan 52 adalah masing-masing milik Malaysia, Indonesia dan Singapura dan tidak dapat dinafikan ketiga-tiga angka tersebut yang telah pun melangkaui setengah adalah satu usia yang dianggap sudah cukup matang bukan sahaja bagi sebuah negara tetapi juga rakyatnya.

Sebab itu juga lazimnya sambutan hari kemerdekaan digunakan sebaik-baiknya untuk memperingati bagaimana negara berkenaan mencapai kemerdekaan kerana biasanya proses yang dilalui adalah amat perit sekali.

Kritikal juga hari tersebut digunakan untuk memperingati bukan sahaja perkara yang dianggap sebagai sejarah tetapi juga cabaran dan ancaman yang sedang dihadapi supaya iktibar yang diperolehi mampu menguatkan lagi jati diri rakyat dan negara tersebut.

Umpamanya sebagai salah satu acara menyambut hari kemerdekaan ke 71 tahun lepas, pemerintah Indonesia telah menenggelamkan 60 buah kapal nelayan asing yang telah ditahan kerana mencerobohi perairan maritim mereka.

Niatnya mudah iaitu untuk mempamerkan kepada rakyat Indonesia bahawa kerajaan mereka tidak akan berkompromi apabila berhadapan dengan isu kedaulatan yang diceroboh dan rakyat menghargai komitmen kerajaan mereka.

Begitu jua pemerintah Singapura saban tahun menggunakan sambutan kemerdekaan untuk memperingati rakyatnya tentang betapa pentingnya untuk bersatu terutama sekali dengan menekankan dalil Singapura dikelilingi oleh negara lebih besar.

Ungkapan titik merah kecil yang pernah dilabelkan oleh pemimpin sebuah negara terhadap Singapura untuk memperlekehkan republik itu telah digunakan sebagai pembakar semangat sambutan hari kemerdekaan.

Malaysia yang sedang menyusuri sambutan bulan kemerdekaan bermula 16 Ogos hingga 16 September juga tidak terlepas mengambil peluang supaya rakyat tidak terleka dengan kemakmuran yang sedang dikecapi hingga menjadi alpa terhadap ancaman yang terbit dari dalam dan luar negara.

Tetapi malangnya bagi Malaysia berbeza dengan Indonesia dan Singapura, kadang kala perbezaan ideologi politik menghalang sambutan dilakukan secara menyeluruh untuk setiap lapisan masyarakat. Bibit-bibit perbezaan ideologi politik yang mencacatkan sambutan bulan kemerdekaan mula kelihatan pada sambutan ke 55 apabila ada pihak yang mempertikaikan logo, tema dan lagu kemerdekaan.

 

Mencabar

Kerajaan pembangkang negeri Pulau Pinang, Kedah. Kelantan dan Selangor seolah-olah mahu merayakan sambutan dengan cara masing-masing kerana pada anggapan mereka perayaan peringkat nasional adalah propaganda kerajaan persekutuan. Begitulah halnya apabila ideologi politik telah mengaburi maksud sebenar sambutan kemerdekaan.

Tetapi pada waktu yang sama ketika Singapura menyambut hari kemerdekaan ke 47, tidak timbul langsung isu parti pembangkang yang cuba memboikot atau menjejaskan sambutan hari kemerdekaan mereka. Tidak timbul isu pembangkang dari Parti Pekerja (WP) atau Parti Perpaduan Nasional (NSP) memboikot sambutan kerana ia dianjurkan oleh pemerintah dari Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Memandangkan cabaran dihadapi Malaysia ketika ini lebih mencabar jika hendak dibandingkan beberapa tahun sebelum ini, maka amat penting sambutan kemerdekaan dijadikan asas dalam memperteguhkan jati diri rakyat Malaysia demi mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Lazimnya peristiwa tragedi akan secara semula jadi memperkukuhkan kesepaduan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan tetapi di Malaysia sebaliknya berlaku. Umpamanya ketika pengganas menyerang Lahad Datu pada 2013, ada pihak yang mempersoalkan kesahihan kejadian tersebut seakan-akan cuba menuduh kerajaan yang merencanakan semua itu.

Kemakmuran dan kestabilan yang dinikmati selama 60 tahun tidak datang bergolek tanpa perancangan oleh kerajaan yang memerintah. Paling membimbangkan adalah ancaman tersirat yang ujud tanpa di sedari kehadirannya. Fenomena Arab Spring terutama sekali yang melanda Tunisia, Mesir, Libya dan ketika ini Syria bukan berlaku secara spontan tetapi ada perancangan sebalik tabir yang dilakukan secara teliti.

Begitu jua dengan perbalahan di antara beberapa negara Teluk walaupun tiada tanda nyata ujud campur tangan pihak ketiga tetapi agak pasti ia tercetus disebabkan oleh pemangkin yang berasal dari pihak yang mahu menyaksikan dunia Arab terus bergolak.

Paling membimbangkan sekali adalah ancaman dalaman yang sedang dihadapi kerana ia begitu sukar dikesan dan disedari penularannya sehinggalah apabila sudah terlanjur. Akibat perbezaan ideologi politik, perkara yang mampu menggugat keselamatan negara dipandang remeh.

Isu sensitif seperti agama sengaja diperguna hanya untuk meraih manfaat politik. Sebab itu diandaikan jati diri rakyat pada ketika ini dalam mempertahan kedaulatan dan maruah negara dari terus di cabar adalah begitu rapuh sekali kerana begitu terpengaruh dengan faktor ideologi politik yang berbeza.

Jika rakyat Malaysia masih tidak mahu mengenepikan ideologi politik terutama sekali dalam bulan merdeka ini maka senario seperti ini tidak mungkin dapat membantu benteng pertahanan negara.

- PENULIS adalah Geostrategist Perdana School and Geospatial Institute, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).