Persediaan Malaysia terutamanya atlet-atlet negara te­lah bermula sejak berakhirnya Sukan SEA lalu. Persediaan kali ini bukan setakat melibatkan aspek sukan tetapi juga penekanan terhadap aspek ke­selamatan.

Isu keselamatan tidak pernah dikompromi oleh kerajaan Malaysia. Petugas-petugas keselamatan akan menjalankan tanggungjawab mereka sepenuh hati sepanjang penganjuran KL2017 terutama semasa upacara perasmian dan penutup temasya sukan yang menggamit perhatian seluruh penduduk Asia Tenggara.

Malaysia sejak sekian lama menjadi tumpuan negara-negara Asia Tenggara. Dikenali sebagai negara yang paling pesat membangun selepas Singapura, segala kemudahan sukan yang disediakan diakui bertaraf dunia. Kepesatan ekonomi Malaysia membantu kerajaan memajukan bidang sukan Malaysia.

Pembangunan sukan Malaysia telah melahirkan ramai atlet-atlet dan jagoan bertaraf antarabangsa. Sukan lumba basikal, terjun dan silat adalah antara acara sukan yang telah melahirkan atlet terbilang antarabangsa rak­yat Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, acara olahraga juga dijangka menjadi tumpuan memandangkan beberapa rekod baharu kebangsaan telah berjaya dipecahkan kebelakangan ini oleh atlet-atlet muda negara, misalnya acara pecut 100 meter dan 200 meter lelaki.

Tidak hanya tertumpu pada sukan tradisi seperti badminton, dijangkakan lebih ba­nyak emas akan diperoleh dalam acara sukan yang selama ini dikuasai negara lain. Sema­ngat juang dan keyakinan yang tinggi dalam kala­ngan atlet negara dibantu oleh sokongan rakyat Malaysia, maka tidak mustahil pungutan emas sebanyak 111 bakal direalisasikan di penghujung temasya KL2017.

Kebetulan pula ketika ini, pelbagai acara sempena bulan sambutan Hari Kebangsaan ke-60 sedang rancak diadakan, maka semangat kesukanan disulami dengan semangat patriotisme berjalan seiring bagi meningkatkan semangat atlet-atlet negara membawa kibaran bendera Malaysia di temasya KL2017.

Ayuh! Sokonglah atlet-atlet Malaysia. Sasaran 111 emas tidak mustahil dicapai. Malah, lebih dari itu, atlet-atlet negara mampu menyumbang emas kepada Malaysia jika semangat ini diteruskan tanpa kenal erti putus asa. Jadikan temasya sukan KL2017 yang terbaik.

Terbaik bukan setakat Malaysia bergelar juara ke­seluruhan KL2017 tetapi juga menjadi juara sebagai tuan rumah terbaik buat atlet-atlet negara lain yang mewakili penduduk Asia Tenggara lain. Tunjukkan semangat ke­sukanan kepada atlet-atlet negara lain.

Semangat ini termasuklah tidak sesekali melakukan perkara yang menyakitkan hati atlet-atlet negara lain yang merupakan wakil negara mereka. Mereka datang ke Malaysia bukan setakat bertarung untuk negara mereka tetapi juga kerana menghormati Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA kali ini.

Dengan ini, mereka akan mencanang keindahan Malaysia kepada sanak saudara dan rakan-rakan masing-masing sekembalinya mereka ke tanah air. Secara tidak langsung membawa reputasi tinggi Malaysia, sekali gus boleh membawa perkhabaran baik buat sektor pelancongan negara.

Dengan kata lain, penganjuran terbaik KL2017 akan merancakkan lagi sektor pelancongan negara. Inilah yang dikatakan sebagai pelaburan berbaloi ke atas bidang sukan negara yang selama ini banyak menjana pendapatan buat individu atlet dan negara.

Kita perlu melihat bidang sukan bukan hanya melahirkan atlet-atlet terbilang negara tetapi juga meningkatkan nama dan imej negara di peringkat antarabangsa. Ini sudah menjadi trend bagi negara-negara yang menguasai sukan-sukan popular di dunia.

Misalnya di England, sukan bola sepak menjadi antara penyumbang terhadap sektor ekonomi United Kingdom. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa negara-negara maju tidak sesekali mengabaikan pelaburan dalam bidang sukan sehingga menjadi juara dalam setiap kali kejohanan bertaraf dunia.

Bagi mereka, sukan bukan setakat meningkatkan ekonomi atlet dan reputasi negara tetapi juga boleh melahirkan rakyat yang cergas dan sihat. Inilah yang dikatakan sebagai manfaat dalam memberi penekanan terhadap bidang sukan.

Dalam hal ini, Malaysia sejak sekian lama diakui berjaya menjadi penganjur acara sukan bertaraf dunia. Sebab itulah masyarakat dunia terutamanya yang terlibat dalam bidang sukan tidak teragak-agak memilih Malaysia sebagai tuan rumah dalam apa jua acara sukan antarabangsa.

Keyakinan ini disokong oleh kestabilan negara dan kekuatan ekonomi serta kewangan Malaysia yang menggambarkan betapa Malaysia mampu memikul tanggungjawab sebagai penganjur acara sukan antarabangsa.

KL2017 adalah bukti sekian banyak acara sukan antarabangsa yang dianjurkan oleh Malaysia. Justeru, marilah kita berganding bahu dan sehati sejiwa tidak kira di mana jua merealisasikan misi negara menjuarai KL2017. Tanamkan semangat Malaysia boleh! Sama-sama kita juara!

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).