Satu malam, saya 'terserempak’ dengan siri baharu ketika itu, Ray Donovan. Watak utamanya, Liev Schreiber yang dikenali sebelum ini dalam filem X-Men Origin: Wolverine, Manchurian Candidate, Salt dan The Sum of All Fears.

Pelakon dikenali, kata hati yang mengizinkan saya terus menonton. Dan sejak itu, saya sedaya-upaya pulang sebelum siri bermula iaitu 11.30 malam Isnin. Sekarang siri itu berhenti sebentar sementara menanti musim baharu diperkenalkan.

Secara ringkasnya, watak Ray Donovan ialah seorang fixer atau seseorang yang menyelesaikan masalah bagi golongan elit di Hollywood. Semua artis, atlet dan jutawan yang bermasalah dengan undang-undang atau penjenayah, akan mendapatkan khidmatnya. Donovan bukan mafia. Ini aspek yang membezakan siri ini daripada yang lain.

Sebaliknya, dialah yang pergi kepada mafia (dalam realiti semasa, mafia Rusia dan bukan lagi Itali) untuk menyelesaikan masalah. Ada masanya dia kena bertempur dengan mereka. Acapkali tewas tetapi biasanya menang dengan kecederaan besar. Ini menambahkan elemen realisik.

Konflik dalaman yang dihadapi Donovan bukan terhad kepada pelanggan semata-mata, tetapi juga ahli keluarganya seperti bapanya yang memang kaki penipu dan baru dibebaskan dari hukuman penjara 20 tahun, dan adik-beradiknya yang sentiasa perlu dibantu.

Secara tanpa sedar, saya menyukai siri Ray Donovan ini, mungkin disebabkan dalam kerjaya sebagai wartawan, saya pernah bertemu individu yang mirip kepada watak Donovan sebagai 'penyelesai masalah’. Tidaklah sampai ke tahap ekstrem bertembak berbunuh seperti siri tv tersebut, tetapi seseorang yang 'menyelesaikan masalah’.

Dari satu sudut, mungkin anda terbayang dia mungkin begitu kuat dan berkuasa, berani dan berpengaruh. Ini kerana jika hendak menyelesaikan masalah, kesemua elemen itu amat diperlukan. Beritahu saja nama, orang yang dihubungi itu tahu reputasinya. Jika berterusan tidak mahu bekerjasama, baharulah Donovan tampil. Tetapi bila sudah tampil, tiada lagi pendekatan secara diplomasi. Pilihan di tangan anda.

Individu sebegini tidak boleh dicipta sekelip mata. Tiada juga borang mencari kerja boleh ditemui. Kerana jawatan ini tiada ditawarkan sesiapa. Watak Donovan membina namanya sebagai samseng besar Boston sebelum berhijrah ke Los Angeles. Jadi apabila sesiapa mahu memeriksa latar belakangnya, rekod jenayah dan 'prestasi’ di Boston akan mengesahkan locus standi Donovan. Ia bukan dibina secara tidak sengaja, tetapi cukup lama.

Individu yang saya katakan 'mirip Donovan’ pada asalnya saya sangkakan seorang arbitrator atau Jaksa Pendamai. Tetapi setelah mengetahui bahawa urusannya berkisar antara dunia atas dan dunia bawah (underworld), dengan pantas wajah Donovan terpampang di minda.

Dalam siri tv Ray Donovan, dia menjalankan khidmatnya seperti sebuah syarikat. Orang membayar untuk mendapatkan khidmatnya. Berbeza dengan mafia, mereka berkhidmat, dapat duit kemudian disalurkan ke atas untuk dinikmati oleh ketua-ketuanya. Kesetiaan mereka ialah kepada organisasi mafia. Donovan tidak. Hasil diperolehnya adalah untuk kesinambungan hidup keluarganya. Ini menceritakan moral Donovan berbeza daripada kelaziman samseng mafia.

Merrepak ingin bertanya kepada anda. Pernahkah anda bersua dengan individu seumpama Donovan ini? Ya, tidaklah sampai standard berpistol dan berbunuhan. Individu itu mungkin rakan sepejabat atau orang di seberang jalan atau jiran di hujung simpang.

 

Mencari

Contohnya, anda perlu mendapatkan bekalan telur penyu kerana isteri anda yang hamil mengidam untuk memakannya. Telur penyu sekarang adalah bahan terkawal. Amat sulit untuk mencarinya kerana ia tidak dijual secara meluas. Di Terengganu pun, kawalan amat ketat bagi memelihara spesies haiwan kian pupus itu.

Apa ikhtiar anda? Anda hubungi 'Donovan’ yang anda kenali ini dan beritahu situasi anda. Dia usahakan dalam seminggu dua. Memang payah, mungkin membabitkan kaedah menyeludup. Tetapi dia dapat mengadakan tiga biji telur penyu untuk isteri anda. Ini contoh sahaja ya.

Contoh kedua. Kereta anda bermasalah. Gaji pula tiga minggu lagi. Tak disenggara, memang akan rosak tengah jalan. Lalu anda jumpa 'Donovan’ yang anda kenali. Dia kata usah risau. Pergi ke bengkel ini, dan beritahu mekanik nama dia 'Donovan’. Tidak perlu bayar tunai. Sudah siap, bawa kereta. Tiga minggu lagi, bayar terus kepada Donovan. Pernah berlaku kepada anda?

Sebenarnya, anda sendiri boleh menjadi Donovan jika bersedia. Ambil elemen positif pada Donovan iaitu mahu membantu menyelesaikan masalah. Sisihkan kaedah Donovan yang menggunakan sistem 'selesai isu guna apa cara sekali pun’. Kita guna cara diplomasi dan keikhlasan.

Ini kerana zaman serba individualistik hari ini, kita semakin segan hendak meminta bantuan orang. Ini kerana orang pun barangkali tidak sudi memberi bantuan. Kita cuba ubah keadaan ini. Kita jadi 'Donovan’ iaitu kita bersedia menyelesaikan masalah, kita sentiasa mahu tolong. Jangan minta duit pula. Tolong kena ikhlas.

Harap-harap anda memahami apa yang saya merrepak hari ini. Tidak faham pun tidak mengapa. Anggap ini hanya bacaan santai dan ringan di hari Ahad semata-mata.