Isu 1 ​: Sama ada ICC menggugat kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh didakwa atas kapasiti peribadi baginda kecuali di Mahkamah Khas menurut Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan.

Isu 2: Sama ada hak kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak tergolong dalam definisi ‘Jenayah Kemanusiaan’ kerana cenderung kepada satu bentuk diskriminasi kaum.

Bagi menjawab isu 1 di atas, saya menyatakan bahawa sudut pandang kebanyakan masyarakat yang bimbang dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong seperti di atas adalah berdasarkan kepada kedudukan baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan menurut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka bimbang sebarang tindakan ketenteraan Malaysia akan memprejudiskan kedudukan Yang di-Pertuan Agong untuk didakwa di ICC atas kapasiti baginda sebagai Field Marshall Angkatan Tentera Malaysia.

DISKRIMINASI KAUM

Namun suka saya menjelaskan kepada masyarakat yang bimbang dengan isu pertama ini bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara kuasa ketenteraan dan dasar luar Malaysia sejak merdeka adalah sentiasa mengambil pendekatan berkecuali dalam apa jua konflik dunia.

Malaysia sentiasa menyertai pasukan kedamaian dan menjadi pasukan tentera pendamai di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Oleh itu, kebimbangan seperti isu 1 di atas adalah tidak berasaskan realiti Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang menjadi destinasi 10 negara selamat untuk pelancongan di bawah senarai yang dikeluarkan Euromonitor Internasional.

Oleh itu, saya tidak melihat ada kecenderungan Angkatan Tentera Malaysia di bawah pemerintahan Seri Paduka akan secara tiba-tiba di masa hadapan, mengambil tindakan berkonflik dengan negara lain dengan menggunakan kuasa ketenteraan kerana tiada langsung tanda-tanda Malaysia meningkatkan peruntukan bajet tahunan negara untuk sektor ketenteraan berbanding sektor pendidikan dan kesihatan.

Bagi menjawab isu 2 pula, suka saya menjelaskan bahawa tidak pernah direkodkan lagi sejak merdeka ada kaum-kaum lain di Malaysia yang terseksa atau mati kebuluran kerana hak untuk hidup dinafikan kerana kewujudan apa-apa dasar afirmatif kerajaan selaras dengan Hak Keistimewaan Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak menurut perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu bentuk ‘diskriminasi kaum’. Ia digubal berdasarkan sejarah kemerdekaan negara oleh Suruhanjaya Reid bagi mengiktiraf kedudukan bangsa asal Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia berbanding kaum mendatang yang diberikan taraf kewarganegaraan.

Oleh itu, kebimbangan ini juga tidak mempunyai asas melainkan satu prasangka perkauman untuk menggugat keharmonian negara yang telah dibina dengan asas Kontrak Sosial yang menjamin keadilan untuk semua kaum dan agama.

RUMUSAN

Oleh itu, saya merumuskan bahawa kemungkinan disebabkan isu raktifikasi ICERD yang telah mencetuskan demonstrasi terbesar tahun lalu menyebabkan mood rakyat bercampur baur dengan ratifikasi Statut Rom ini pula.

Bukan semua ratifikasi perjanjian antarabangsa tidak baik untuk Malaysia. ICERD ternyata berbeza dengan ICC. Dalam konteks ini saya tidak melihat apa-apa masalah ancaman kedaulatan negara dengan Malaysia meratifikasikan Statut Rom untuk iktiraf kewujudan ICC.

Hanya negara diperintah pemimpin diktator yang berkecenderungan menzalimi rakyatnya yang wajar bimbang dengan kewujudan ICC ini.

Malaysia masih mengekal Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara menurut Perkara 4 Perlembagaan.

Dan sedikit sebanyak masalah pentadbiran di negara kita, boleh diselesaikan dengan menggunakan undang-undang tempatan tanpa perlu melibatkan campur tangan pihak luar.

MOHD. KHAIRUL AZAM ABDUL AZIZ ialah seorang pengamal undang-undang.

byline