Ratifikasi dan adaptasi boleh dilakukan terhadap ­keseluruhan perkara dalam mana-mana konvensyen atau sesebuah negara boleh juga hanya meratifikasikan sebahagian sahaja dengan membuat pensyaratan (reservation). Ia bergantung kepada negara terbabit.

Sudah menjadi amalan mana-mana negara berdau­lat, undang-undang yang diamalkan di luar negara tidak mengikat sesebuah negara. Begitu jugalah dengan Malaysia. Konvensyen antarabangsa hanya akan terpakai sekiranya Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk me­ratifikasi konvensyen terbabit dan kemudiannya Parlimen menggubal undang-undang tersebut.

Namun perlu diingatkan mana-mana undang-undang adalah tertakluk kepada Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan. Lantaran itu, mana-mana perkara yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan adalah mustahil untuk dikuatkuasakan. Misalnya sekiranya terdapat kon­vensyen yang me­ngiktiraf perkahwinan sejenis adalah mustahil untuk diterima pakai apabila merujuk kepada naratif perundangan dan sosial tempatan.

Bagi Malaysia, bu­kanlah sesuatu yang janggal untuk meratifikasi konvensyen antarabangsa dengan pensyaratan. Contohnya, semasa Malaysia menerima Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) pada 28 Disember 1994, negara ini telah membuat pensyaratan terhadap beberapa fasal dalam konvensyen tersebut kerana didapati bertentangan dengan amalan dan polisi yang diamalkan dalam negara ini.

Setelah itu terdapat juga keadaan apabila pensyaratan ini dikaji semula dan ada yang telah ditarik balik. Rentetan daripada itu, satu undang-undang yang menyeluruh telah digubal melalui Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Akta 611 merupakan cerminan bagi semangat konvensyen yang telah diratifikasi oleh Malaysia.

Lantaran itu, apabila kerajaan mengumumkan untuk meratifikasi konvensyen antarabangsa, terdapat beberapa perkara perlu diberikan perhatian terlebih dahulu. Perkara pertama yang perlu dilihat adalah sejauh mana keperluan dan kesesuaian sesuatu konvensyen untuk diterima pakai.

Perkara kedua yang perlu diamati adalah sama ada kerajaan akan menerima secara menyeluruh atau menerima dengan beberapa syarat agar sesuai dengan perundangan di dalam negara.

Sekiranya ada yang berhujah bahawa naratif serta amalan antarabangsa ini terpakai tanpa diratifikasi terlebih dahulu, hujahan ini adalah sesuatu yang kurang tepat. Ini boleh disaksikan oleh pendirian mahkamah dalam ke­s Merdeka Universiti v. kerajaan Malaysia.

Dalam kes ini, Hakim Eusoffe Abdool Cader ketika itu menyatakan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) hanyalah pernyataan berkenaan prinsip-prinsip tanpa sebarang karakter obligasi dan tidaklah membentuk sebahagian undang-undang tempatan.

Misalnya, dalam Konvensyen Antarabangsa Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESR), terdapat beberapa perkara yang sesuai untuk diadaptasi oleh kerajaan. Terdapat juga beberapa perkara dalam konvensyen tersebut yang telah pun sedia ada diterjemahkan melalui polisi dan undang-undang tempatan.

Misalnya, dalam Artikel 11(1) ICESR menyatakan bahawa negara-negara anggota mengiktiraf hak untuk mendapat kualiti hidup yang mencukupi untuk diri mereka dan keluarga yang meliputi kecukupan kepada makanan, pakaian dan perumahan serta untuk meningkatkan secara berterusan keadaan hidup.

Selain itu, Artikel 11 ICESR juga dilihat sesuai untuk di­terima pakai. Secara ringkas Artikel 12 menyatakan negara anggota mengiktiraf hak untuk menikmati kualiti kesihatan fizikal dan mental.

Lantaran itu negara-negara anggota perlu mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mencapai kesungguhan ini seperti memberikan perlindungan, rawatan, kawalan penyakit dan sebagainya.

Dua contoh ini jelas menunjukkan sekalipun Malaysia masih belum meratifikasi konvensyen berkenaan, tetapi Kerajaan tetap sudahpun mengambil semangat yang cuba diterapkan dalam beberapa perkara konvensyen terbabit.

Tuntasnya, sebarang keputusan yang ingin diambil oleh kerajaan terutama yang melibatkan konvensyen antarabangsa berkenaan dengan hak asasi perlu sesuai dengan norma dan undang-undang tempatan.

Mahu atau tidak naratif tempatan yang berteraskan kepelbagaian agama yang ditunjangi oleh agama Islam tidak boleh disisihkan dalam membuat keputusan berhubung dengan obligasi antarabangsa. Sebagai masyarakat yang matang kita harus memilih untuk mendahulukan Perlembagaan Persekutuan yang dimaktub berdasarkan sejarah dan harapan bapa-bapa kita terdahulu.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah.