Gambaran peristiwa itu telah dirakamkan dalam satu hadis daripada Abu Hurairah r.a. Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW telah bersabda:”Akan datang suatu zaman yang mana seseorang tidak mempedulikan dari mana dia mendapatkan harta, apakah daripada sumber yang halal ataupun daripada sumber yang haram.”

Dalam satu hadis lain yang dibawa oleh Muaz bin Jabal r.a pula, Rasulullah juga pernah menggambarkan tentang gejala rasuah yang berleluasa di akhir zaman ini. Dalam hadis itu Rasulullah bersabda: ”Ambillah pemberian itu selama mana ia adalah sebagai pemberian. Tetapi apabila pemberian itu sudah menjadi rasuah pada pandangan agama, maka jangan kamu mengambilnya. Namun hakikatnya, kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya.”

Melalui kedua-dua hadis itu, Rasulullah dengan jelas telah memberi mesej kepada kita mengenai keadaan manusia di akhir zaman yang terlalu sibuk mencari kemewahan dunia. Segala yang diraih langsung tidak mencukupi sehingga mendorong mereka melakukan apa sahaja walaupun perbuatan itu jelas bertentangan dengan agama.

Siang malam mereka berusaha mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya tanpa mengira halal atau haram semata-mata mahu memenuhi kehendak nafsu sendiri serta isteri dan anak-anak. Hidup mereka di dunia ini seolah-olah berpaksikan kepada kekayaan dunia tanpa sedikit pun rasa bersalah terhadap Allah SWT.

Ruangan Kalam kali ini sengaja memaparkan dua hadis berkenaan agar kita sedar bahawa Rasulullah telah mengingatkan para umat baginda mengenai keadaan yang bakal berlaku itu lebih 14 abad lalu.

Justeru tidak hairanlah, wujud manusia yang sanggup melakukan rasuah dan penyelewengan kuasa semata-mata mahukan kemewahan dunia. Nilai penyelewengan atau suapan bukannya kecil sebaliknya melibatkan puluhan jutaan ringgit.

Kalau difikir-fikirkan memang kita berasa pelik. Masakan tidak. Beberapa individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan melakukan perbuatan haram itu bukan orang sembarangan tetapi mereka yang bijak, berpendidikan, berpengaruh dan kaya.

Paling menyedihkan sebahagian besar suspek berkenaan terdiri daripada orang Melayu Islam yang sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada penganut agama lain, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan mahupun masyarakat.

Itu satu kisah. Bagaimana pula kisah pekerja yang tidak amanah dalam pekerjaannya. Jangan ingat tanpa melakukan rasuah atau penyelewengan kuasa, pendapatan yang diraih setiap bulan disahkan seratus peratus halal.

Bagaimana dengan kedudukan mereka yang mengambil kertas A4 milik pejabat untuk kegunaan peribadi? Bagaimana pula mereka yang membuat panggilan menggunakan telefon pejabat atas urusan peribadi? Tidak terkecuali mereka yang mengambil alat tulis milik pejabat dan kemudian berikannya kepada anak-anak untuk digunakan di sekolah.

Jika tiba Hari Raya Aidilfitri pula, sibuk menyalin resipi menggunakan mesin fotostat pejabat. Itu belum dikira mereka yang sengaja membuat tuntutan kerja lebih masa atau perbatuan secara tidak jujur. Begitu juga jenis pekerja yang datang lewat, pulang awal. Dengan kata mudah kerja tidak cukup lapan jam.

Sebagai contoh masuk kerja pukul 3 petang, pukul 8 malam sudah balik. Kalau ikutkan tempoh sebenar, pekerja ini wajib balik pada pukul 11 malam. Kalau setakat balik 8 malam atau 9 malam, tempoh kerjanya masih belum cukup. Faktor kerja sudah selesai atau tidak itu isu lain. Yang penting tempoh kerjanya mesti cukup lapan jam.

Agak-agaknya, berkat atau tidak pendapatan yang mereka raih setiap bulan? Penulis enggan menjawabnya kerana percaya setiap daripada kita tahu tentang hukumnya.

Itu yang kadang-kadang gaji beribu-ribu tetapi belum pernah rasa cukup berbanding dengan pakcik yang berpendapatan tidak seberapa, berjaya pula membesarkan anak-anaknya hingga menjadi orang berguna. Fikir-fikirkanlah.