Namun bagi agama Islam, kehidupan yang bertaraf sederhana lebih diutamakan bagi menjamin kehidupan yang baik seperti Firman Allah SWT yang bermaksud:”Dan (termasuk hamba-hamba Tuhan Yang Maha pemurah) orang yang apabila menginfakkan (harta), mereka tidak berlebihan dan tidak (pula) kikir, sebaliknya perbelanjaan mereka adalah secara wajar dan sederhana (antara boros dan kikir itu) “(Surah Al-Furqan : 67)

Dalam mengejar harta dan wang ringgit, kita seharus­nya tidak terjebak dengan pelbagai gejala yang tidak sihat antaranya rasuah. Rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu melakukan sesuatu perbuatan berkaitan.

Menurut Laman Portal Rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu meminta/menerima rasuah (Seksyen 16 dan 17(a) Akta SPRM 2009) Kedua, menawar/memberi suapan (Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009) Ketiga, mengemukakan tuntutan palsu (Seksyen 18 Akta SPRM 2009) dan keempat ialah menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam (Seksyen 23 Akta SPRM 2009).

Gejala ini adalah suatu perkara yang salah di sisi undang-undang negara. Tidak mengira pangkat, darjat ataupun keturunan seseorang itu, jika disabit kesalahan berkaitan ra­suah maka seseorang itu akan diambil tindakan oleh pihak yang berkaitan.

Pastinya hukuman pen­jara dan denda wang tunai tidak boleh lari daripada setiap pesalah yang terjebak dengan rasuah. Wajarnya, hukuman dan denda yang lebih berat dijatuhkan kepada pesalah-pesalah agar memberi kesedaran kepada masyarakat betapa rasuah adalah satu perkara yang wajib dihindari dalam kehidupan seharian kita.

Menurut Islam juga, rasuah adalah sesuatu yang haram dan ditegah sama sekali oleh agama. Allah SWT berfirman yang bermaksud:”Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian dari harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahuinya.”(Surah Al-Baqarah : 188)

Mutakhir ini, kita dapat melihat dan mendengar gejala rasuah yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat kita dan yang paling banyak dihebahkan adalah berkaitan wang. Benarlah, wang mempunyai kuasa untuk membeli pangkat dan kedudukan serta segala kemahuan yang diperlukan.

Namun, perlu diingatkan bahawa wang bukan jaminan untuk kekal hidup bahagia kerana jika silap langkah, kita boleh jadi hamba kepada wang yang disembah oleh individu-individu yang bersikap tamak dan rakus. Daripada Muazd bin Jabal r.a berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama, maka jangan kamu mengambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya,” (Hadis riwayat AT-Tabrani dan Abu Nuaim)

Golongan yang terlalu memikirkan kemewahan dan kekayaan ini akan sentiasa berfikir bahawa wang adalah segala-galanya dan wang juga dapat membeli apa sahaja yang diinginkannya hatta pangkat dan gelaran juga boleh dimiliki dengan mudah sekali. Dengan sebab itu, rasuah wajib dijauhi oleh masyarakat terutamanya bagi kita yang beragama Islam kerana ia akan mendatangkan banyak kemudaratan kepada kita.

Tidak kira sama ada kita memberi, kita sebagai penerima mahupun sebagai orang tengah yang terlibat di antara pemberi dan juga penerima, maka kita akan disabitkan kesalahan atas kes rasuah. Dalam sebuah hadis, daripada Thauban katanya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaraan.”(Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Oleh yang demikian, kita hendaklah berusaha mencari rezeki kehidupan kita dengan cara yang baik dan halal. Jangan sesekali mendekati apatah lagi melibatkan diri dengan rasuah semata-mata untuk mencapai kemahuan mahupun kesenangan dalam kehidupan. Biar kita susah tetapi tiada masalah berbanding mewah tetapi hidup ­merana gara-gara dikelilingi dengan rasuah.

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Johor.