Sambil memuji usaha agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah, Zulkifli menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu melihat kepada kesenangan yang bersifat sementara tetapi natijah daripada perbuatan mereka itu serta bagaimana akan berhadapan dengan Allah di akhirat kelak.
“Dalam sejarah kejatuhan kota Baghdad pada 656 Hijrah misalnya, tentera Mongol dan Tartar yang diketuai Hulagu Khan dengan mudah ‘menganyang’ umat Islam dan bilangan kematian hampir sejuta orang mengikut andaian Ibn Kathir dan Ibn al-Athir dalam kitab masingmasing, al-Bidaya wal Nihaya dan al-Kamil fil Tarikh. Salah satu puncanya adalah rasuah,” katanya.

 

 

MINGGUAN: Mengikut Islam, apakah pengertian rasuah?

ZULKIFLI: Dalam Islam kita sebut 'risywah’, daripada kalimah 'rasya’. Makna asalnya seseorang memberi kepada orang yang berkuasa atau mereka yang ada kedudukan seperti hakim atau pemerintah untuk mengambil dan memakan harta orang lain dengan cara batil. Itulah maksud 'risywah’ yang disebut dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 188).

Bagaimana Datuk melihat isu rasuah dengan tangkapan yang dilakukan oleh SPRM mutakhir ini?

ZULKIFLI: Yang pertama jelas menunjukkan betapa kesungguhan SPRM dalam menangani isu rasuah sehingga mereka benar-benar mengambil tindakan yang begitu agresif sesuai dengan tanggungjawab yang diberikan bagi menjadikan negara kita sifar rasuah.

Kedua, boleh jadi kerana zaman moden ini melalui pencapaian media massa yang menyebabkan setiap sesuatu yang berlaku itu mudah diketahui dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar dengan pantas.

Saya juga rasa kesedaran masyarakat untuk tampil melaporkan pelaku rasuah semakin meningkat. Mereka melihat segelintir yang tersilap dan tersalah itu tidak boleh dibiarkan. Maka, laporan demi laporan dibuat kepada pihak berkuasa. Begitu juga dengan hal-hal yang menyebabkan mereka mengambil satu tanggungjawab bersama untuk membanteras isu ini.

Sama ada besar, kecil, sederhana, langsung atau tidak langsung terus dinyatakan bahawa ia perkara yang amat keji dan tidak dibolehkan. Maka kita tengoklah hasil kesungguhan SPRM, kerjasama orang ramai, maka berlakulah sebahagian yang dapat kita lihat mutakhir ini.

Walaupun rasuah ini jelas haram dalam Islam dan salah di sisi undang-undang, tetapi melihat kepada penahanan oleh SPRM, umat Islam seolah-olah tidak menganggap rasuah sebagai satu dosa besar. Apa komen Datuk?

ZULKIFLI: Boleh jadi sebab kefahaman dan takrifan rasuah itu yang dikatakan mungkin bagi mereka ini tidak apa. Ini kerana rasuah itu banyak diganti dengan nama seperti sekadar hadiah, buah tangan atau dalam bahasa Arab disebut ‘baksheeh’. Ini ‘baksheeh’ sikit-sikit sajalah atau ini duit kopi sedikit sahaja. Inilah nama-nama yang digunakan untuk cuba lari daripada makna rasuah sedangkan itulah maknanya.

Baru-baru ini SPRM melancarkan Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) dan Kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle) bagi mendapatkan sokongan daripada semua pihak untuk memerangi rasuah di negara ini. Pada pandangan Datuk, apakah cara yang paling berkesan dari perspektif Islam yang boleh dilaksanakan oleh SPRM?

ZULKIFLI: Biasanya Islam memang datang dalam dua bentuk. Pertama suruh dan kedua jangan. Jadi SPRM sebagai agensi menentang dan membasmi rasuah, kalimah jangan itu tidak lari daripada bidang tugasannya. Kecuali dari segi kaedah psikologi, bila jangan itu, ia membawa satu impak yang menunjukkan berlaku penentangan jiwa, syahwat dan nafsu.

Tapi dalam bentuk pujukan, boleh jadi dengan cara kita menggunakan beberapa istilah yang lebih lunak. Cuma keadaan semua manusia tak sama; tabiat dan habit. Ada orang suka kepada pujian dan orang yang suka kepada ajakan dan dakwah. Tapi ada orang, walaupun guna kaedah pujukan, ajakan dan dakwah, dia tak ‘makan’ tetapi memerlukan satu hukuman yang keras dan tegas.

Jadi usaha-usaha seperti ini adalah salah satu ijtihad SPRM dalam menangani isu-isu rasuah. Bagi saya ini percubaan yang baik dan boleh dikembangkan dan difikirkan dari semasa ke semasa. Sebagaimana yang dinyatakan (sabda Rasulullah SAW) “Hikmah itu adalah barang kehilangan bagi orang yang beriman. Di mana dia jumpa, dia berhak mengambilnya.” Maknanya, apa sahaja idea baharu yang tuntas dan baik termasuk kempen yang membawa kesedaran, maka semuanya tidak menjadi satu kesalahan. Inilah sifat yang sebaiknya, kita mencuba dan sanggup untuk meredah serta melakukan perubahan.

Mungkin Datuk ada cadangan tentang pendekatan yang boleh digunakan untuk memerangi rasuah.

ZULKIFLI: Apa yang penting juga, kita tanamkan dalam minda masyarakat sejak tadika lagi bahawa rasuah ini satu gambaran yang jijik, keji, kotor dan tidak baik. Jangan nampak kereta atau rumah yang besar tapi nampak natijah yang sangat buruk. Kita tanamkan gambaran seperti itu.

Sebagai contoh kalau kita cakap dalam konteks masyarakat Islam, sejak nenek-moyang kita sampai sekarang, bila sebut babi sahaja memang berat benar. Tak boleh langsung. Maknanya, tak makan dan apa-apa benda sebut khinzir tak boleh. Memang teruk sangat.

Tetapi dalam bab-bab yang lain pun kita kena ambil pendekatan yang hampir sama. Kita nampakkan rasuah adalah satu jenayah yang boleh menghancurkan kehidupan seseorang, institusi kekeluargaan, masyarakat, peradaban dan negara.

Dalam sejarah kejatuhan kota Baghdad pada 656 Hijrah misalnya, tentera Mongol dan Tartar yang diketuai Hulagu Khan dengan mudah ‘menganyang’ umat Islam dan bilangan kematian hampir sejuta orang mengikut andaian Ibn Kathir dan Ibn al-Athir dalam kitab masing-masing, al-Bidaya wal Nihaya dan al-Kamil fil Tarikh. Salah satu puncanya adalah rasuah.

Mereka yang ditangkap oleh SPRM ada yang berjawatan tinggi dan berpangkat Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri. Malah ada juga orang berpendidikan agama terlibat dalam penyelewengan wang zakat dan tanah wakaf. Di mana silapnya?

ZULKIFLI: Dalam bahasa mudah, salah satu makna rasuah ialah harta, duit, wang atau yang dapat ditukar daripada itu untuk menghasilkan apa yang dihajati. Bila keadaan macam itu, ini merupakan jalan pintas untuk dapat apa yang dihajati. Maka dia akan buat walau macam mana pun.

Contoh, dengan kerja macam itu, mungkin kita hanya akan dapat beli rumah berharga RM300,000 dan hampir pencen baru habis bayar. Tetapi dengan cara rasuah, mungkin boleh beli rumah berharga RM3 juta dan habis dibayar dalam masa yang begitu pendek.

Perbuatan seperti itu sebenarnya adalah pertarungan dalam jiwa seseorang sama ada dia boleh mengawal nafsu atau tidak. Orang yang terlalu kasih kepada harta tidak akan lagi melihat kepada natijah tetapi mereka nampak sebuah kesenangan yang bersifat amat sementara sedangkan terpalit pelbagai isu.

Perkara seperti ini tidak pelik kalau kita tidak ada iman walaupun kita seorang ustaz atau mufti. Bagi saya pendekatan agama adalah amat penting. Kita cuba tanamkan pendekatan agama dan kita faham itu.

Kita tengok kisah ketika Rasulullah SAW menyampaikan dakwah di kota Mekah. Orang bukan Islam menawarkan harta dan mahu mengangkat baginda sebagai ketua jika Rasulullah SAW berhenti berdakwah. Tapi Rasulullah SAW tolak.

Bila diuji terlalu banyak, baginda mengatakan "kalaulah mereka sanggup letak matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, untuk aku tinggalkan urusan ini, demi Allah aku tidak akan tinggalkannya sehingga aku mati."

Kita tengok juga macam mana sejarah Salaf al-Salih zaman dahulu, walaupun ditawar pelbagai ganjaran mereka tidak kisah pun.

Manusia mulia kerana maruah dan prinsip dirinya. Manusia yang hilang maruah atau prinsip dirinya, tidak kira siapa dia dan apa watak dia, dia rebah kerana tidak ada lagi izzah atau kemuliaan.

Apakah pesanan Datuk kepada mereka yang masih leka melakukan jenayah rasuah dan juga kepada mereka yang telah ditangkap?

ZULKIFLI: Kita mesti bertegas dalam isu seperti ini, bukan kerana kita takut semata-mata kepada undang-undang. Undang-undang rasuah (hukumannya) empat tahun, 15 tahun atau 20 tahun duduk dalam penjara. Makan percuma dan kalau sakit pun dihantar ke hospital atau klinik. Boleh rehat dan tidur sahaja. Kalau fikir macam itu, kita tak selesai. Kita perlu berfikir bagaimana kita berdepan dengan Tuhan di akhirat kelak.

Bila tengok rasuah, kita perlu lihat dalam skala yang besar. Rasuah menjahanamkan negara, rasuah menjadikan ekonomi merudum, keyakinan pelabur kurang, hilangnya penghormatan terhadap seseorang, kehormatan akan jatuh, hilangnya maruah dan pandangan yang begitu teruk terhadap seseorang itu. Tidak ada satu pun gambaran yang baik tentang rasuah.

Tengok sejarah membuktikan syarikat gergasi seperti Enron dikatakan jatuh sebab rasuah. Ini semua memberi satu pengajaran dan petunjuk yang baik kepada kita supaya kita wajib meninggalkan rasuah. Allah SWT tidak mensyariatkan atau melarang sesuatu kecuali maslahah itu terwujud bagi manusia dan inilah sifat syariah Islamiah. Ia diperakui oleh fitrah dan naluri manusia bahawa memang rasuah adalah tidak baik dan amat keji serta jijik.

Mengikut Islam, apakah hukuman yang paling sesuai bagi pesalah rasuah dan apakah ia sudah dilaksanakan di negara ini?

ZULKIFLI: Ini termasuk dalam kaedah yang dibuat oleh imam atau pemerintah sebagai takzir. Kalau di tempat itu terlalu banyak isu rasuah, mungkin kadar hukuman itu boleh dikerasi tetapi bila (rasuah) kurang, mungkin boleh dikurangkan. Ikut keperluan semasa dan kebijaksanaan siasah pemerintah di satu-satu masa dan tempat.

 

Ada pihak berpandangan ahli-ahli agama termasuk ulama dan mufti kurang bersuara dalam isu memerangi rasuah.

ZULKIFLI: Hendak kata kurang sangat pun tak, hendak kata kuat sangat pun tak. Pertama, masalah ini biasanya kadang-kadang ia timbul sekali-sekala dalam bersaiz mega dan besar dalam media. Apa yang saya tahu, adanya kerjasama antara SPRM dan jabatan agama Islam dalam khutbah-khutbah tentang menjauhi rasuah.

Cuma pada saya, dalam isu seperti ini, tidak perlu kita menuding jari kepada orang itu atau orang ini. Ia bersifat keseluruhan, iaitu semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.

Pemimpin kena tegas dengan dasar-dasar antirasuah, para ulama menyampaikannya dan disampaikan di mimbar-mimbar. Buat kempen dalam televisyen, buat sketsa tentang akibat dan natijah rasuah, radio dan akhbar memberitahu implikasi rasuah. Semua akan terbabit dan boleh dibuat sama ada bersifat berkala, mingguan, bulanan atau tahunan.

Mungkin kita buat Minggu Antirasuah, Bulan Antirasuah dan Hari Tanpa Rasuah. Bukan maksud saya hari lain boleh lakukan rasuah tetapi penonjolan utama atau fokus yang menunjukkan kesungguhan dan keseriusan kita menangani rasuah. Maka para guru, pensyarah, imam, bilal dan orang biasa boleh bercakap tentang rasuah.

Bagi saya, kalau cakap orang ini tidak bercakap dan orang itu tidak bercakap, isu ini tidak akan selesai. Banyak benda kita nampak, orang suka menuding jari.

Baik semua pihak buat kerja. Masing-masing perlu bersiap siaga menangani sebarang isu dan ambil ruang serta posisi yang diizinkan dan menggunakan semaksimumkan mungkin untuk sama-sama bersepadu bagi menyelesaikan isu ini.

Apakah pandangan Datuk tentang tindakan agresif oleh SPRM di bawah pimpinan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad dalam memerangi rasuah?

ZULKIFLI: Saya ucap syabas kepada Datuk Dzulkifli. Sekalipun saya belum bertemu secara langsung lagi tetapi saya pernah terserempak dengan beliau dalam satu majlis pertemuan dengan wakil Syeikhul Azhar Universiti al-Azhar, Syeikh Prof. Dr. Abbas Syuman di sebuah hotel. Maka berbuallah sekejap.

Tetapi apa yang kita fahami, bermula dari permulaan jawatannya dan saya tengok kenyataan-kenyataannya, sikapnya serta sedikit latar belakangnya dan juga tindakan-tindakan yang dilakukannya, nampak sangat keseriusan dan kesungguhan serta tanggungjawab yang amat baik telah dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Saya ucapkan syabas dan mudah-mudahan beliau dengan warga SPRM terus-menerus akan menjalankan amanah dengan jayanya.

Saya katakan kepada beliau dan warga SPRM, jalanlah kamu di atas keberkatan Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kepada kita taufik dan hidayah, menyebabkan dasar-dasar yang dilakukan boleh membawa kepada sifar rasuah di negara kita atau dengan erti kata lain, rasuah akan terhapus dan mati dalam kehidupan ummah di Malaysia.