Tindakan SPRM itu adalah tepat dalam usaha membanteras perbuatan memberi rasuah kepada anggota-anggota agensi penguat kuasa. Hakikatnya, kelompok inilah yang bertanggungjawab mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selagi kelompok seumpama ini wujud, ia akan membantutkan usaha pihak berkuasa dalam membanteras apa yang dipanggil jenayah ‘empat serangkai’ iaitu judi, pelacuran, pemerdagangan manusia dan ah long.

Ini memandangkan kegiatan jenayah itu bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi negara khususnya dari segi pungutan cukai tetapi juga mendatangkan natijah amat buruk kepada masyarakat.

Individu yang bersedia memberi rasuah harus diburu habis-habisan tidak kira siapa pun mereka.

Kita sudah bosan mendengar dan melihat bagaimana PDRM dikaitkan dengan rasuah, sedangkan yang melakukan perbuatan itu serta sanggup menjadi ‘balaci’ kepada sindiket hanya segelintir sahaja.

Tindakan tegas itu sebagai peringatan kepada orang lain yang cuba melindungi kegiatan haram dengan cara memberi dan menerima rasuah. Kita mahu menghentikan segala tanggapan negatif kepada PDRM sebab terlalu banyak andaian dan persepsi yang berlaku.

Apa yang terjadi di Melaka termasuk dakwaan ada individu tertentu boleh mencampuri urusan pengurusan PDRM harus dihentikan.

Mungkin tuduhan itu tidak benar tetapi inilah persepsi atau khabar yang berlegar dalam kalangan orang ramai sehingga sekarang, lebih menarik ada pula cerita-cerita, individu seumpama itu turut wujud di beberapa negeri.

Sama ada individu ber­kenaan benar-benar wujud atau tidak, biarlah pihak berkuasa menyiasat. Ini memandangkan penulis difahamkan, mereka sememangnya sudah ada dalam ‘radar’ SPRM.

Hanya siasatan sahaja boleh menentukan sama ada dakwaan ke atas mereka benar atau tidak.

Mereka bukan sahaja dikaitkan dengan aktiviti jenayah empat serangkai tetapi didakwa mempunyai ‘kehebatan’ untuk mengatur pertukaran pegawai-pegawai di jabatan-jabatan kritikal dalam agensi penguat kuasa.

Mungkin ini sekadar dakwaan atau tohmahan, namun ia tidak boleh dibiarkan kerana memberi persepsi amat buruk kepada agensi terlibat. Mungkin atas sebab itulah juga ramai tidak terkejut kalau ada cerita-cerita penguat kuasa terlepas pandang pusat judi yang terletak tidak jauh daripada pejabat agensi itu.

Individu tersebut tidak boleh menjadi bahan perbualan dalam kalangan orang ramai kerana melibatkan maruah dan integriti agensi berkenaan.

Ini memandangkan maruah mana-mana agensi penguat kuasa tidak akan tercemar dan tiada mana-mana pegawai atau anggota agensi tersebut akan menjadi ‘hamba’ kepada sindiket serta bersedia menjamah wang haram, jika tiada pemberi.

Prinsip membanteras rasuah mudah, tiada pemberi, tiadalah penerima!

Oleh itu, pembanterasan jenayah empat serangkai perlu diperhebatkan dan faktor utama yang mendorong jenayah tersebut terus berleluasa biarpun pihak polis sering melakukan operasi ialah rasuah.

Dan rasuah terjadi kerana ada sindiket sanggup mengeluarkan ‘secebis’ hasil kegiatan haram mereka untuk disumbatkan ke dalam mulut anggota agensi penguat kuasa yang korup.

Dalam hal ini, penulis yakin SPRM tahu apa yang perlu dilakukan biar apa pun cabarannya.