Secara amnya, tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah ama­nah semua pihak iaitu daripada rakyat biasa sehinggalah kepada pemimpin di peringkat negara. Bumi yang kita diami ini bukanlah milik manusia selamanya, tetapi hak milik Allah yang kita pinjamkan untuk kehidupan yang sementara di dunia ini dan manusia berkongsi kehidupan ini dengan makhluk-makhluk Allah yang lain.

Oleh sebab itu, kehadiran manusia di muka bumi ini adalah sebagai pemegang amanah Allah untuk memakmurkannya serta mengambil manfaat daripadanya dan bukanlah untuk memusnahkan alam ini dan mengambil keuntungan peribadi semata-mata. Memusnahkan alam sekitar pada fikiran kita mungkin menggunakan jentera-jentera berat seperti jentolak tetapi kemusnahan terbesar ialah memberi rasuah pada orang-orang yang berkepentingan.

Memetik kisah Tembok Besar Negeri China. Tembok ini adalah benteng pertahanan yang dibina sekitar 200 Sebelum Masihi dan diperkukuhkan antara akhir abad ke-14 sehingga permulaan abad ke-17 semasa Dinasti Ming untuk melindungi utara China daripada serangan puak Mongol dan Turkik.

Bahagian dalam tembok berisi tanah yang bercampur dengan batu-batan manakala bahagian atasnya dibuat jalan utama untuk pasukan berkuda Negara China dengan fungsi utama untuk menahan serangan agar mereka dapat hidup aman dan selamat. Mereka beranggapan tidak ada siapa pun yang dapat memanjat tembok tinggi ini namun hakikatnya dalam 100 tahun pertama sahaja mereka diserang sebanyak tiga kali. Musuh mereka tidak perlu untuk bersusah payah memanjat tembok yang tinggi atau me­runtuhkan tembok tersebut tetapi hanya perlu merasuah pengawal lalu masuk melalui pintu yang dibukakan untuk mereka.

Masyarakat China ketika itu sibuk memikirkan untuk membina tembok kukuh dan panjang sehingga menjangkau 8,851.8 kilometer tetapi terlupa menjaga soal rasuah iaitu jati diri pengawal mereka.

Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 41 memperingatkan: “Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah di lakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan taubat).”

Daripada ayat ini terdapat pe­negasan berkaitan alam sekitar me­ngenai pelbagai kerosakan yang terjadi di daratan dan di lautan disebabkan oleh tangan-tangan manusia. Jika kita lihat dengan teknologi yang ada hari ini, penggerudian bumi di lautan dalam berlaku hampir saban waktu bagi mendapatkan minyak dan gas.

Hal ini hendaklah disedari oleh umat manusia di seluruh dunia bahawa mereka menyebabkan timbulnya kerosakan di lautan de­ngan menggantikan dengan sumber tenaga lain yang bermanfaat untuk kelestarian alam. Selain teknologi yang digunakan, berbagai-bagai cara terjadinya kerosakan di muka bumi ini yang disebabkan oleh tangan manusia dan rasuah adalah salah satu daripada caranya.

Rasuah melibatkan perbuatan pecah amanah. Dosa pertama yang dilakukan oleh manusia adalah kesalahan melanggar amanah dan perkara ini dikisahkan dalam surah Taha ayat 115 yang bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.”

Perintah itu terkandung di dalam surah al-Baqarah ayat 35 yang bermaksud: “Dan Kami berfirman, “wahai Adam! Diamlah bersama isterimu di dalam syurga, dan makanlah daripadanya makanan sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, tetapi janganlah kamu hampiri pokok ini. (Jika kamu menghampirinya) maka kamu akan menjadi sebahagian daripada golongan yang zalim.”

Akhir sekali, kehidupan di dunia ini adalah berkesinambungan dengan kehidupan di akhirat nanti seperti mana firman Allah SWT, surah al-Mu’min ayat 39 yang bermaksud: “Wahai kaum-Ku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.”

Al-Quran dan sunah Rasullulah SAW memberikan peringatan demi peringatan kepada kita supaya tidak melakukan rasuah. Orang yang mengamalkan rasuah dalam kehidupan mereka mungkin dilihat kaya-raya dengan timbunan harta tetapi hakikatnya Allah te­lah mencampakkan kedukaan di dalam hati mereka.

Allah telah berfirman dalam surah Yasin ayat 32 yang bermaksud: “Tidak ada satu makhluk pun melainkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya akan hadir (untuk menerima balasan).”

Dalam surah yang sama ayat 53, Allah berfirman yang bermaksud: “Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta-merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan kami, semuanya dibawa hadir.” Dan akhirnya pada ayat 63 dan 64 Allah berfirman lagi yang bermaksud: “Inilah neraka jahanam, yang dahulunya kamu diancam (kalau kamu tidak mentaati perintah Allah, maka kamu akan memasukinya. Rasalah kamu bakaran­nya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang telah kamu lakukan.”

Ingatlah, rasuah bukan hanya melibatkan persoalan dunia tetapi terkait dengan kehidupan di akhirat nanti.

PENULIS ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).