Sebagai respons kepada ketegasan Perdana Menteri itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa Dr. Mahathir tidak dapat maklumat tepat apabila mendakwa pilihan raya PBT boleh mengundang masalah antara kaum.

Ini kerana pemimpin veteran itu yang dikatakan pejuang utama isu berkenaan menegaskan, masalah polarisasi kaum agak mustahil akan terjadi kerana ia telah diperbetulkan berdasarkan statistik pada 2010.

Jika dilihat kepada perbandingan fakta yang ‘diangkat’ Kit Siang itu, agak janggal apabila ia disandarkan kepada maklumat dalam tempoh hampir satu dekad. Dan sudah tentu dalam tempoh lapan tahun ini, pertambahan penduduk akan berlaku dengan pesatnya terutama melibatkan jumlah penduduk di bandar-bandar besar.

Kebimbangan Dr. Mahathir itu ada asasnya. Jika langkah mengadakan pilihan raya PBT diadakan, ia boleh menghasilkan keputusan yang salah antara bandar dan luar bandar sekali gus berkemungkinan mewujudkan konflik disebabkan perbezaan kaum.

Perkara itu turut diakui Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pro­f. Datuk Dr. Teo Kok Seong yang menyatakan Malaysia belum bersedia untuk mengembalikan pilihan raya PBT yang telah dihentikan hampir 55 tahun lalu.

Walaupun negara ini berasaskan masyarakat majmuk, tahap perpaduan antara kaum dan etnik masih belum mencapai graf memuaskan. Jika langkah ini mahu diteruskan, ia akan memburukkan lagi hubungan sesama masyarakat sekali gus tidak mungkin akan mencapai matlamat pendemokrasian seperti apa yang diperjuangkan pemimpin parti politik tertentu.

“Negara kita belum bersedia untuk mewujudkan semula pilihan raya PBT kerana ia akan menjejaskan hubungan antara etnik yang pada masa ini kurang baik. Apa yang paling utama, kita perlu memperbaiki dahulu perpaduan kita. Jadi memadailah pilihan raya diadakan untuk pemilihan di peringkat pusat dan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Memang benar, langkah mewujudkan pilihan raya PBT ini adalah sebagai memenuhi amalan sistem demokrasi baik apabila rakyat sebagai pembayar cukai berhak menentukan siapakah yang akan bertanggungjawab menggerakkan sistem pentadbiran di kawasan yang mereka tinggal.

Namun, jika melihat kepada senario kependudukan di negara ini terutama di bandar, majoritinya dikuasai satu kaum sahaja. Jika sesuatu kawasan itu dikuasai Cina, maka sudah tentu perwakilan peringkat PBT akan dikuasai kaum berkenaan sekiranya pilihan raya diadakan.

Dan situasi ini tidak baik kerana tidak wujud keseimbangan antara kaum dalam matlamat perkongsian kuasa. Kok Seong turut membangkitkan kecenderungan berpihak kepada kaum-kaum tertentu tidak dinafikan akan timbul, selain berlaku percanggahan ideologi yang boleh mengakibatkan masalah pentadbiran kucar-kacir.

“Kalau kawasan Cina, merekalah yang akan berkuasa dan ini sudah tentu tidak baik sebab kita nak lihat pihak yang berkuasa itu seimbang dari segi perkongsian kuasa antara kaum seperti sekarang ini dalam membentuk kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof turut mengulas berhubung dakwaan dan rasional untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Pertama, berhubung salah guna kuasa apabila ketiadaan pilihan raya PBT. Pemilihan yang dilaksanakan melalui lantikan kerajaan didakwa mengurangkan tahap akauntabiliti.

Walaupun dakwaan ini ada asasnya, ia boleh diatasi dengan melantik wakil-wakil parti politik yang memerintah kerajaan negeri menjadi anggota majlis PBT.

Kedua, dari sudut pembaziran. Sesuatu pilihan raya tentunya memerlukan perbelanjaan besar dan sudah tentu wang itu datang daripada rakyat.

Pihak yang akan bertanding dalam pilihan raya PBT akan terlibat dalam kempen dan sebagainya sekali gus mendorong mereka menyalahgunakan aset, kemudahan, media dan jentera kerajaan untuk tujuan meraih undi. Semua ini tidak akan menguntungkan rakyat.

Ketiga, ialah berhubung nisbah perwakilan untuk rakyat. Realitinya, kebanyakan rakyat sudah pun diwakili oleh dua orang wakil rakyat. Penambahan seorang lagi wakil rakyat melalui pilihan raya PBT kelihatan tidak perlu.

Keempat, bandar adalah milik semua. Ia bukan milik penduduk tinggal di bandar sahaja, tetapi turut dimiliki penduduk luar bandar atau pinggir bandar yang setiap hari datang bekerja di kawasan itu.

Oleh itu, penduduk di bandar tidak mempunyai hak eksklusif untuk menentukan siapa yang layak menguruskan bandar. Dari perspektif penempatan mengikut kaum, Muhammad Fathi turut mengakui sebahagian besar penduduk di bandar adalah kaum Cina.

Jika dilaksanakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur misalnya, calon Melayu dan India lebih sukar mendapat sokongan. Sedangkan hakikatnya, ramai orang Melayu dan India juga menjadi penduduk setia Kuala Lumpur khususnya pada waktu bekerja.

Mereka turut menjadi sebahagian warga kota yang menghabiskan sebahagian masa dan wang mereka di sini. Justeru, adalah lebih wajar jika kepimpinan PBT ditentukan kerajaan bagi memastikan keseimbangan dalam ketetapan dasar serta keadilan untuk semua.