Dua wacana mengenainya yang berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan juga di Dewan Utusan Melayu sebelum itu adalah pemula kepada wacana yang lebih besar iaitu kongres yang dijangka berlangsung pada Mei nanti.

Tan Sri Dr. Rais Yatim, Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), merangkap Penasihat Sosiobudaya Kerajaan dalam rasional pendahuluannya di majlis itu menyatakan kita sedia menyedari sekian lama bahawa budaya dalam erti kata cara hidup yang mencakup warisan dan seni serta amalan nilai tinggi melalui budi telah tidak dikete­ngahkan sebagai unsur utama kehidupan di Malaysia.

Katanya lagi, rakyat Malaysia dan orang Melayu sudah sekian lama sebati dengan cara hidup luaran melalui pelbagai jurusan dan bidang kehidupan. Bahasa dan cara berfikir dan arus didikan barat memancang kehidupan seolah-olah kita tidak lagi berupaya mewarnainya dengan sistem budaya sendiri.

Beliau tidak menafikan sebahagian besar cara hidup dan tamadun Barat ini amat berguna kepada pembangunan, ekonomi, perundangan, sains dan teknologi serta ilmu pengetahuan. Cuma dalam kemaraan tamadun Barat dengan segala sifat dan cirinya, masyarakat kita melupakan sebahagian besar cara dan falsafah hidup kita sendiri sehingga kini dirasakan budaya Melayu sudah terpesong dan menghilang.

Antaranya yang merosot dan mula menghilang ialah bahasa Melayu, adat Melayu, budi, kebijaksanaan falsafah Melayu melalui pantun, perumpamaan, peribahasa, seni pertukangan, ukiran, semangat cintakan alam tabii, sikap patriotisme terhadap negara, raja, jawi sebagai skrip agama dan budaya serta puluhan lagi aspek kemelayuan yang kini seolah-olah tiada lagi.

Tambahnya lagi usaha mengekalkan amalan dan kebijaksanaan generasi lampau yang memperkenalkan identiti bangsa tidak dikandungkan dalam ke­giatan atau program membuda­yakan kehidupan nilai tinggi. Pada masa sama sukatan pelajaran hanya mengajar mata pelajaran vernakular untuk lulus peperiksaan dan bukan pembudayaan murni. Beliau berpendirian sistem pendidikan menjadi fokus yang paling utama membentuk generasi penerus supaya menjadi manusia budiman yang sifatnya menyantuni.

Rukun Negara yang sudah berusia 47 tahun seharusnya menjadi pegangan kehidupan pelbagai kaum. Sekian ramai warganegara yang bukan saja tidak kenal apa itu Rukun Negara, me­nyanyikan Negaraku pun mereka tidak boleh.

Rukun Negara kini hanya tinggal sebagai kegiatan bermusim di sekolah dan jabatan kerajaan dilaungkan sekali sekala di musim menyam­but Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia. Diakui, Rukun Negara dan Negaraku adalah bahan patrio­tisme. Tetapi ia juga intisari budaya kekitaan bagi rakyat Malaysia.

Pada hemat penulis ada perkara penting yang seharusnya menjadi perhatian ketika merangka kurikulum pendidikan adalah memasukkan nilai etika, adab dan kesantunan yang tinggi dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya wujud rasa tertib dan pekerti teratur sekali gus merintis jalan ke arah budaya tinggi dan tamadun.

Pendidikan bukan hanya suatu proses pemindahan maklumat dan kemahiran daripada guru kepada murid secara kognitif (pemikiran) tetapi terkandung fikrah yang bakal membentuk akal budi insan. Pengaruh Islam dalam membangun akal budi insan terlalu nyata. Sifat ikhlas, lemah-lembut, muafakat dan gotong-royong dalam budaya Melayu adalah pancaran al-Quran dan as-Sunnah dan dipusakai zaman berzaman.

Di samping itu, perlu wujud sinergi yang mendukung jalur ketamadunan Islam dengan faktor Melayu supaya simbiosis ini sifatnya ummatik.

Faktor yang menyebabkan tamadun Islam lahir pada suatu ketika dulu perlu dijadikan renungan;

l Sinergi umara dan ulama. Berlaku di zaman al Makmun, al Mansur, Harun al Rashid, Omar Ab. Aziz dan ramai lagi. Proses keilmuan berlaku secara integratif iaitu pendekatan dalam al-Quran menjadi pedoman utama ilmuwan tersohor seperti Ibnu Sina, Ibnu Haytham, Al Khuwa­rizmi, Abu al-Qasim Az-Zahrawi dan ramai lagi yang hafiz di usia muda lantas menghasilkan kitab-kitab utama dalam pelbagai disip­lin ilmu.

l Tradisi kecendekiawanan mengambil pendekatan tadabbur, kajian dan penyelidikan menyebabkan kitab dalam pelbagai disiplin ilmu terhasil. Kitab Ibn Sina Qanun Fit Tib digunakan di Eropah lebih 600 tahun sebagai sumber rujukan utama ilmu per­ubatan. Al Biruni menjelajah ke India dan menguasai bahasa Hind untuk meneroka saripati ilmu yang mempunyai faedah berbanding yang tinggi dalam bidang astronomi, perubatan, falsafah, matematik dan sains.

Justeru tekad mengadakan Kongres Budaya 2017 tidak menolak manfaat budaya dan tamadun pihak lain yang sifatnya menyum­bang. Kekuatan bahasa Melayu antara lain terdapatnya lebih 2000 kosa kata bahasa al-Quran yang disebut oleh sesete­ngah sarjana sebagai bahasa Islam.

Bayangkan sekiranya bahasa Melayu di rantau ini diucapkan oleh lebih 300 juta penduduk, disinergikan dengan nilai Islam dan pancaran etika dan budi yang tinggi, pasti menjadi rujukan Barat dan Timur.

Sinergi ini kalau dapat diolah dengan bijaksana secara kontekstual bakal menghubungkan faktor bangsa dengan perkongsian akal budi dan nilai murni yang memantapkan makna bangsa yang berbudi dengan proses kekenalan terhadap nilai alamiah yang sifatnya menyumbang untuk kesejahteraan umat manusia.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).