Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

RASIONAL KONGRES BUDAYA 2017

sebahagian orang ramai yang menghadiri Prakongres Pembudayaan
SEBAHAGIAN orang ramai yang menghadiri Prakongres Pembudayaan Tamadun Tinggi Dalam Transformasi Nasional (TN50), bertempat di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur semalam.

Kongres Kebudayaan peringkat nasional terakhir diadakan adalah pada tahun 1971 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak. Intipati kongres 1971 itu mengiktiraf kebudayaan masyarakat Malaysia ditunjangi oleh budaya masyarakat rantau ini sambil mengiktiraf kebudayaan lain-lain kaum yang mewakili kaum masing-masing.

Mengadakan Kongres Budaya 46 tahun kemudian, pada hari ini, 15 April 2017 adalah berasaskan kepada keperluan dan tuntutan berikut:

Kehidupan berbudaya tinggi dalam pengertian mengamalkan nilai-nilai murni lagi mulia dan kehidupan luhur amat perlu diarus perdanakan dalam melestari tamadun negara bangsa Malaysia.

Kehidupan seharian yang ditunjangi politik, pendidikan, pentadbiran, interaksi hidup pelbagai kaum adalah di antara sebab-sebab kenapa kongres budaya 2017 ini diadakan. Dalam tempoh 46 tahun kebelakangan ini rakyat Malaysia telah dirempuh oleh pelbagai pengaruh sosiobudaya sehingga masyarakat kita tampak dicorakkan oleh anasir-anasir luaran yang menukar asas-asas pembudayaan sendiri.

• Dalam tempoh 46 tahun itu terlalu banyak perlakuan dan pengaruh luaran yang dialami rakyat negara ini yang pada ­keseluruhannya tidak mendokong kehidupan berbudaya tinggi berasaskan nilai-nilai dan amalan budaya masyarakat Malaysia.

• Kongres kebudayaan 1971 mengetengahkan konsep kebudayaan rakyat rantau ini sebagai asas kebudayaan nasional, sementara kaum-kaum lain dibenarkan mengamalkan kebudayaan kaum sendiri. Budaya tinggi yakni yang membawakan kehidupan bernilai tinggi yang mampu mencorakkan tamadun luhur dan bersifat membina negara bangsa masih belum tercapai.

• Budaya tinggi di sini bermakna cara hidup bertamadun tinggi yang mengamalkan konsep serta perlakuan berasaskan nilai-nilai mulia lagi tinggi martabatnya yang berupaya membentuk negara bangsa yang mulia dan dihormati; prinsip-prinsip Rukun Negara yang dianggap sebagai tiang kenegaraan wajib ­disemarakkan dan diberi nafas baru melalui kuatkuasa perundangan.

• Orang Melayu sebagai masyarakat majoriti Malaysia sedang ditimpa kolonialisasi budaya luaran yang secara pantas menukar keperibadian mereka, adat mereka dan hala tuju kemasyarakatan. Proses penjajahan budaya luaran ini melalui bahasa dan komunikasi media sosial khasnya sudah menukar ke­peribadian, cara berfikir dan cara bertindak masyarakat masing-masing kaum. Bagi orang Melayu khasnya deklarasi asas Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan Malaysia sudah pun dicabul ­melalui kerosakan bahasa Melayu dan pengabaian adat.

• Budaya tinggi amat perlu diarus perdanakan dalam melestari tamadun negara bangsa Malaysia. Kehidupan seharian yang ditunjangi politik, pendidikan, pemerintahan, pentadbiran, interaksi hidup pelbagai kaum adalah di antara sebab mengapa Kongres Budaya 2017 diadakan. Kerajaan dan Majlis Raja-raja harus mengambil perhatian dan bertindak berasaskan alasan-alasan konkrit.

• Perimbangan yang saksama antara kemajuan fizikal dan aspek bukan fizikal (hidup berbudaya) mesti dipedulikan secara serius jika negara bangsa Malaysia mahu diwujudkan di tahap beridentiti kebangsaan.

• Transformasi Nasional 2050 (TN50) perlu mengandungi roh budaya tinggi jika hendak mempaksikan kehidupan berimbang menjelang tahun 2050. Cara dan kaedah pelaksanaan TN50 wajib berteraskan pembudayaan yang menafaskan nilai-nilai tinggi negara bangsa.

• Sejak merdeka 1957 budaya sebagai perangsang negara bangsa sentiasa beroleh tempat terkebelakang berbanding de­ngan kemajuan fizikal. Ini jelas dari agihan peruntukan pentadbiran dan pembangunan oleh kerajaan saban tahun. Aspek budaya hanya dijadikan aspek penampal; Jabatan Kebudayaan hanya dijadikan entiti penyedia persembahan program kepada pelancongan sedangkan ia harus menjadi pemangkin cara hidup dan pembentuk seni negara yang ulung. Pembudayaan masih tidak dianggap sebagai keutamaan bina bangsa. dibandingkan dengan Perancis, China, Jepun dan Korea Selatan: mereka mengutamakan piagam budaya tinggi bersekali dengan industri kreatif negara masing-masing.

• Kepesatan pembangunan dan pengaruh luaran khasnya kemudaratan media sosial, kedatangan kaum upahan melalui pendatang tanpa izin (pati), tenaga kerja upahan luaran yang berjumlah sekitar 3 juta orang, kini memerlukan strategi dan perhitungan semula yang amat mendesak. Persekitaran sosiobudaya Malaysia sedang berubah pantas dan amat merumitkan. rakyat kini tidak lagi bergantung kepada nilai-nilai positif negara bangsa sendiri tetapi bersandar kepada cara hidup luaran dan dikhidmati serta ditatang melalui khidmat orang lain.

• Rakyat golongan mene­ngah Malaysia kini rata-rata bergantung kepada khidmat tenaga manusia dari Indonesia, India, Bangladesh, Vietnam, Kemboja, Burma dan lain-lain. Anak-anak kita tidak lagi mahu cuci pinggan sendiri jauh sekali cuci tandas sendiri. Generasi muda Malaysia memandang sepi terhadap kerja fizikal atau kerja jenis berkolar biru. Anak Malaysia sudah jadi manja dan lembik sahsiah – satu-satunya perkembangan yang sedang membentuk bangsa Malaysia dengan pesatnya. Ini bahaya bagi negara.

• Asakan budaya luaran termasuk media sosial, hiburan, filem, penerbitan dan penyaluran melalui internet sedang merebak menukar pembudayaan hidup warga Malaysia. Ikhtiar dalaman kerajaan tidak menampakkan keupayaan mengimbangi kemaraan nilai-nilai luaran ini sekalipun ada kewujudan pengajaran nilai-nilai agama khasnya melalui islam. Malangnya, pengajaran nilai-nilai murni agama tidak mampu dijadikan perisai atau senjata amali. Ia habis setakat menghafal ayat-ayat suci sahaja sementara bilangan penagih dadah melebihi 350,000, 75% daripadanya mewakili masyarakat Melayu.

• Usaha dalaman mesti diadakan bagi mengimbangi kan­dungan dan perkembangan yang membahayakan ini. Suatu cara adalah memperhebatkan latihan nasional yang diwajibkan dan dilaksanakan oleh profesional, bukan oleh syarikat-syarikat yang berorientasikan keuntungan wang ringgit.

• Pengabaian adat, kebijak­sanaan tempatan yang ­terkandung di dalam budaya lama seperti asuhan budi, perumpamaan, bahasa halus dan indah, peribahasa, pantun dan hidup bergotong royong yang rukun perlu dihidupkan semula melalui latihan dan pengajaran.

• Adat seperti yang dipetuakan di dalam Perkara 160 Perlembagaan Malaysia wajib dicernakan sebagai perjuangan berterusan. Kata pusaka Hang Tuah “tak Melayu hilang di dunia” mungkin menjadi anti-thesis jika pengabai­an pembudayaan tinggi tidak diacuhkan.

• Raja-raja Melayu perlu berperanan membantu menghidupkan semula 7 wasiat raja-raja Me­layu. Jika tidak, raja-raja mungkin kecundang apabila berhadapan dengan rakyat yang merendahkan atau memperlekeh institusi raja berdaulat yang mulia. Raja-raja mesti berasa amat terpanggil untuk berperanan sama di bawah Perkara 160 selain Perkara 152, 153, dan peruntukan-peruntukan perundangan berkaitan Islam dan adat Melayu di negeri masing-masing.

• Pengajaran agama Islam di semua peringkat perlu menumpukan kepada kaedah dan amali Muslim berinteraksi sesama insan. Kehidupan beradab amat dipentingkan sementara guru yang cukup berilmu dan berkebolehan wajib mengajar pembudayaan positif kemanusiaan di samping tuntutan Islam yang lain.

• Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, parti-politik dan semua institusi latihan perlu mempu­nyai kandungan latihan peradaban masing-masing supaya Malaysia tidak mempunyai warganegara kasar dan biadab buat generasi mendatang. Petanda para pemimpin kasar kelakuan kurang budi bahasa di Parlimen sudah meyakinkan bahawa mereka tiada mempunyai asuhan budi. Beragama Islam semata-mata juga tampak tidak membuahkan perlakuan beradab.

• Sukatan pelajaran budi atau bimbingan budaya wajib dimulakan di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi. Tidak cukup hanya berteriak Rukun Negara sekali setahun menyambut merdeka atau menuliskan Rukun Negara di belakang buku latihan murid. Rukun Negara mesti diajar dan diterjemahkan amalannya.

• Rukun Negara yang di­cipta pada 1971 susulan peristiwa 13 Mei 1968 perlu perjuangkan pemahaman dan latihannya ­melalui satu bentuk undang-undang sepertimana pancasila di Indonesia menjadi tiang seri kenegaraan dan negara bangsa.

• Rukun Negara mesti diupayakan untuk mewujudkan perpaduan kaum melalui sistem pendidikan yang semestinya membumbungi satu matlamat kebangsaan Malaysia. Kaum-kaum yang tidak belajar bersama, tidak bermain bersama dan tidak makan bersama tidak akan bersatu dalam erti kata sebenar.

• Tiadanya pelaksanaan dasar jelas tentang bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perdagangan, perundangan dan pembelajaran tinggi menyebabkan bahasa kebangsaan tanah air berada di tahap cacamarba. Nilai utiliti atau nilai kepenggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menyebabkan aspek cinta negara dan cinta negara bangsa merosot. Orang Melayu sendiri ramai tidak boleh bercakap bahasa Melayu dengan betul. Bahasa Melayu kini boleh dianggap sebagai bahasa Melayu Inggeris yang mencerminkan kerosakan pembahasaannya yang amat serius. Dasar dual language policy (DLP) tampak hanya memperhebat bahasa Inggeris sementara bahasa Melayu tidak berjaya digalakkan. Lantaran tiada pembelaan bersungguh-sungguh, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perdagangan terus terabai. Keadaan ini akan melarat kepada keadaan di mana tanah air hilang identiti asas dan kepentingan bahasa sendiri.

• Kini Kementerian Pendidikan hanya berorientasikan nilai-nilai murni secara sambilan. Sebagai institusi latihan insan yang utama Kementerian Pendidikan tidak jelas dengan kandungan nilai-nilai murni dan amalan luhur yang membawa kepada kebersihan, sahsiah jitu sejak di ­peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti. Asuhan kebersihan, gotong-royong, asuhan budi, hormat menghormati antara lain-lain amalan mesti dijitukan di semua sekolah sebagai latihan wajib.

• Tiadanya latihan budi dan adab dan budaya positif kemanusiaan bagi guru yang seharusnya mengajarkan mata pelajaran berkaitan sahsiah dan budaya tinggi secara lengkap.

• Para pemimpin ketiadaan latihan dalam lapangan masing-masing. Kuasa harus dilampini seni pimpinan yang tinggi mutu dan berjiwa besar, bebas rasuah, bebas salahguna kuasa dan sebarang perlakuan pentingkan diri. Realiti hidup sudah terbukti: “bila berkuasa penuh, individu itu akan berasuah penuh” mesti dihindari melalui latihan dan kuatkuasa undang-undang.

• Keadaan terbiar alam sekitar dari segi pemeliharaan, pencemaran sungai, tandas awam di sekolah, surau dan masjid yang masih kotor menandakan bahawa ajaran keagamaan semata-mata dan pelbagai ajaran luaran tidak berkesan mewujudkan budaya tinggi.

• Keterbiaran vokasi, promosi dan pelaksanaan budaya tinggi, kepedulian warisan dan seni menyebabkan Malaysia defisit dan janggal budaya. Industri teksi, urusan kebersihan tandas awam dan alam sungai-sungai kita jelas mencerminkan defisit ini.

• Ketinggalan bidang-bidang seni kreatif, penulisan kreatif yang berunsur sastera menyebabkan generasi mendatang tiada roh sosial yang membina tamadun tinggi.

Perkara-perkara tersebut di atas mesti dihalusi dan diambil tindakan pemulihan oleh semua pihak terutama Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan Majlis Raja-Raja. Jawatankuasa Kongres budaya 2017 hendaklah menghadap raja-raja dan mengunjungi Perdana Menteri untuk menyampaikan resolusi kongres ini sambil memohon pelaksanaan resolusi-resolusi asas kongres.

Usaha mewujudkan suatu Majlis Penasihat Pembudayaan Tinggi Nasional yang bertanggungjawab kepada Raja-raja Melayu dan Perdana Menteri harus dipertimbangkan.

TAN SRI DR. RAIS YATIM ialah Penasihat Khas Sosiobudaya kepada kerajaan dan Pengerusi Kongres Budaya 2017. Teks ini dibentangkan di sesi Prakongres Ke arah Mewujudkan Budaya Tinggi di Universiti Malaya, semalam.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain