Kita harus sedar bahawa nikmat kemerdekaan ini tidak mungkin dapat dirasai tanpa kesepakatan, permuafakatan dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat. Justeru, saya melihat kepada keamanan dan komitmen penuh setiap seorang daripada kita adalah dua prasyarat utama untuk sesebuah negara itu berkembang maju dan progresif.

Ia berkait rapat dengan sifat serta amalan toleransi, hormat-menghormati dan saling bantu-membantu yang mesti terus disuburkan. Malah, ia mesti sentiasa dipupuk, agar tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Maka atas sebab itu, kita mesti berjiwa patriotik. Patrio­tik dalam menterjemahkan erti kemerdekaan itu demi kelangsungan Malaysia yang lebih gemilang. Biar ribut melanda tanah air tercinta. Jatuh bangunnya, kitalah penentu. Kemakmurannya dan kerukunan rak­yatnya, kita jualah menjadi pagar yang menghalang setiap tombak-tombak petualang.

Bersempena tarikh keramat 31 Ogos yang bakal tiba, marilah kita semarakkan rasa cinta dan perbaharui tekad serta iltizam untuk mempertahankan negara ini, walau apa jua halangan dan dugaan menimpa. Jika dahulu onak berduri, cabaran peluru dan letusan meriam menanti sepanjang laluan para pejuang negara.

Hari ini, cabaran yang kita tempuhi mengancam kita dalam bentuk digital, penjajahan minda dan kekangan ekonomi serta persepsi. Malah, ledakan maklumat yang bergerak sepantas kerlipan mata, memungkinkan kita terjajah dek kepalsuan berita. Ketirisan ilmu kita menilai buruk baik dan padah sesuatu, memungkinkan kita dijajah semula dalam bentuk tindakan dan pemikiran. Ia umpama kitalah hamba setia kepada penjajah.

Justeru, kita perlu merungkai semua ini dengan penuh keilmuan, dengan mengisi kemerdekaan itu bersama sikap yang sarat dengan erti merdeka, dengan ilmu yang penuh di dada, minda berkelas dunia dan dengan acuan merdeka yang kita sendiri arcakan.

Kita perlu meraikan kerencaman dalam kalangan kita, pada setiap sudut pandang kita yang berbeza. Tidak kira bangsa dan pegangan agama kerana itulah bangsa Malaysia yang berjiwa merdeka.

Kempen yang saban tahun kita laksanakan iaitu mengajak seluruh rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang, sebagai satu cara meraikan sambutan Hari Kemerdekaan, kembali lagi. Sebahagian daripada kita, mungkin menganggap ini adalah cara paling mudah untuk mempamerkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia, rakyat sebuah negara yang bukan sekadar merdeka, tetapi berjaya dan membangun.

Ada juga yang merasakan mengibarkan Jalur Gemilang adalah aksi patriotik, penzahiran rasa betapa kasih dan cintanya kita kepada tanah air. Sementara, bagi sebahagian pula, ia mungkin tidak mengundang apa-apa rasa dan makna. Ia tidak lebih dari kibaran kosong yang tiada fungsi dan tiada sebarang erti.

Mereka dari kelompok ini hanya melihat kibaran jutaan Jalur Gemilang sekadar pemandangan biasa-biasa dan tidak langsung terbit apa jua perasaan. Kerana alasan itulah, maka saya menyarankan kepada mereka dari kelompok yang tiada perasaan, tiada rasa patriotik dan tiada rasa bangga ini agar di setiap hati dan jiwa nurani mereka, ditiupkan nilai dan kesedaran, disuntik rasa bangga, dijentik rasa cinta pada negara.

Janganlah rasa itu dibiarkan mati, tanpa nilai dan tanpa punya apa-apa getaran kerana Jalur Gemilang itu bukan hanya kain yang dikibar-kibarkan kosong. Ia adalah simbol paling penting untuk negara kita. Ia adalah ‘jiwa nurani’ Malaysia dan tanpanya, apalah makna kehidupan bernegara.

Tiada simbol lain sepenting dan sehebat Jalur Gemilang. Biar berapa kali pun lautan dalam kita terokai, biar berapa kali pun puncak Everest kita mendaki. Namun, tidak sama nilainya dengan selembar Jalur Gemilang. Sebagai mengenang jasa, sebagai tanda bangsa berterima kasih yang tidak terhingga, marilah kita semarakkan pe­rasaan bahawa kita bukan mengibarnya kerana kita sekadar meraikan pesta kemerdekaan.

Kita mengibarkannya, di seluruh pelosok tanah air kerana kita ingin mengajak semua rakyat mengenang tanah air, mengenang pendiri bangsa, mengenang kejayaan kita selama enam dekad, mengenang perjalanan luar biasa Malaysia dan mengenang betapa beruntung­nya kita hidup di Malaysia yang sejahtera.

Mudah-mudahan kita semua terus diberi kekuatan dengan iltizam dan istiqamah untuk Malaysia yang damai sejahtera, maju dan tenteram selamanya. Mudah-mudahan Malaysia terus kekal berdaulat dan merdeka, kekal kukuh selamanya, maju dan makmur rakyatnya. Inilah nikmat kemerdekaan sebenarnya.

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN ialah Menteri Besar Johor.