Walaupun PKR mengekalkan penguasaan di kerusi Indera Mahkota dua penggal berturut-turut, namun kawasan berkenaan bukanlah kubu kuat parti berkenaan. Pada PRU-13, calon PKR memenangi kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti 7,523 undi manakala pada pilihan raya umum sebelum itu, hanya menang dengan majoriti 1,027 undi. 


Rekod juga menunjukkan calon BN pernah menang dengan majoriti 14,229 undi pada Pilihan Raya Umum 2004 sekali gus menjadikan Parlimen Indera Mahkota sebagai sasaran realistik untuk kembali ditawan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Begitu juga dengan DUN Beserah dan Semambu yang masing-masing dimenangi pembangkang dengan majoriti 3,987 serta 3,200 undi pada pilihan raya umum lalu.


Benteng yang dibina PKR untuk mempertahankan Indera Mahkota pada pilihan raya umum kali ini yang sehingga September tahun lalu mempunyai kira-kira 76,000 jumlah pengundi, yang mana 66.6 peratus adalah Melayu juga dilihat semakin rapuh apabila seteru kuatnya pada PRU-13 iaitu Pas tidak lagi bersama mereka. Bahkan Pas sendiri sudah mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Indera Mahkota selain semestinya berusaha mempertahankan DUN Beserah.


Namun ahli-ahli BN tentunya menyedari bahawa pertembungan tiga penjuru bukan satu laluan mudah untuk mencapai kemenangan apatah lagi di kerusi yang dikuasai pembangkang. Sudah berulang kali diingatkan agar tidak harus berasa selesa bahawa pertandingan tiga penjuru lebih mudah daripada dua penjuru.


Sebaliknya, semua peringkat jentera BN perlu bekerja kuat dan turun bertemu rakyat serta pengundi selain mengelakkan pergeseran dan perbalahan sesama sendiri.


Pada masa sama, seluruh ahli dan kepemimpinan BN perlu menyokong siapa sahaja calon dipilih untuk bertanding di ketiga-ketiga kerusi itu kerana apa yang penting adalah bukan individu tetapi kemenangan parti.


Bagi Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid, jentera parti itu sudah melakukan persediaan rapi bagi menghadapi PRU-14 dan pihaknya bekerja keras sejak beberapa tahun lalu untuk kembali merampas ketiga-tiga kerusi berkenaan.


Sepanjang tempoh itu, pelbagai program turun padang, kebajikan dan bertemu rakyat diadakan antaranya membaik pulih rumah serta bantuan awal persekolahan demi manfaat penduduk. 


Malah, isu yang sering dilaungkan pembangkang di kawasan itu dengan memainkan sentimen antipembangunan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) ditangani dan sudah dijawab dengan jelas sama ada oleh pemimpin setempat atau Kerajaan Pahang sendiri.


Perpaduan dan persefahaman dalam kalangan pemimpin peringkat bahagian tersebut ketika ini adalah baik. Penubuhan cawangan-cawangan baharu UMNO yang kini berjumlah 79 buah kesemuanya terutama di kawasan yang sebelum ini sukar ditembusi turut memberi gambaran bahawa parti berkenaan semakin kuat di Indera Mahkota.


“Selepas PRU-13, kita menggerakkan pusat daerah mengundi (PDM) dan memantapkan cawangan-cawanagn UMNO. Kita juga berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat dan berkerja keras mendekati mereka,” katanya.


Menyerahkan soal pemilihan calon kepada pucuk kepemimpinan BN, Mustaffar bagaimanapun berharap calon itu mestilah daripada Jawatankuasa Bahagian Indera Mahkota.


Kata beliau, bahagian tersebut mempunyai tokoh-tokoh pemimpin yang berwibawa dan dikenali rakyat untuk diketengahkan sekali gus tidak memerlukan calon ‘payung terjun’ yang hanya muncul ketika musim pilihan raya. Beliau mengingatkan supaya apa yang berlaku pada pilihan raya umum lalu di kawasan berkenaan menjadi iktibar.


“Calon yang diketengahkan perlu mengikut kehendak akar umbi. Dia mesti dikenali dan memiliki ciri-ciri pemimpin yang disukai serta menjadi cita rasa rakyat. Sebab itu kita menolak calon payung terjun. 


“Jika kita mengekalkan perpaduan yang ada ketika ini, berterusan turun padang bertemu rakyat dan meletakkan calon yang tepat, insya-Allah ia menjadi ramuan yang boleh membantu BN berkuasa semula di Indera Mahkota,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE