Siapa jadi pilihan terpulanglah kepada Najib sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) setelah menerima perkenan Sultan Kedah. Cuma pelantikan MB yang baharu ini tidaklah semudah yang dijangka, tidak seperti pelantikan MB baharu Terengganu pada Mei 2014. Dalam kes Terengganu, isu ini selesai de­ngan baik walaupun ketika itu timbul ura-ura BN boleh bertukar menjadi pembangkang jika dua wakil rak­yatnya berpaling tadah. Jawatan MB di Terengganu selesai dalam masa yang singkat, siang Ahmad Said meletak jawatan, malamnya sudah dilantik MB baharu, Ahmad Razif Abdul Rahman. Begitulah peralihan kepemimpinan di Terengganu selepas setahun Ahmad Said menjadi MB bagi penggal kedua.

Di Kedah, suasana amat berbeza apabila pemimpin UMNO hilang kepercayaan kepada Mukhriz. Di atas kertas, jika parti menguasai kerajaan, Mukhriz terpaksa diundurkan dan orang baharu akan dilantik. Adakah pemimpin UMNO Kedah telah melakukan kesilapan, tergesa-gesa mengisytiharkan me­reka hilang kepercayaan kepada Mukhriz? Jika diselak kembali sebelum ini, belum pun genap setahun selepas berakhirnya PRU, sudah keluar senarai tujuh MB yang bakal digantikan termasuklah Ahmad Said dan Mukhriz. Adakah selepas ini timbul lagi cerita penyingkiran MB ini? Giliran siapa pula? Begitulah politik yang melanda negara. Isu untuk menyingkirkan Mukhriz sudah lama timbul. Mukhriz diminta menyatakan sokongan kepada PM atau meletak jawatan. Mukhriz tidak ‘peduli’ desakan itu. Menyelak kembali apa yang berlaku ketika itu, Mukhriz mendapat sokongan UMNO Kedah. Ingat lagi Sabtu, 18 April 2015, UMNO Kedah yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Bashah Md Hanipah me­nyatakan sokongan kepada Najib dan Mukhriz sebagai PM dan MB.

“UMNO Kedah menyokong pe­nuh tanpa belah bahagi terhadap kepemimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan Mukhriz sebagai Menteri Besar yang diberi kepercayaan beliau,’’ kata Ahmad Bashah selepas mesyuarat khas di kediaman rasmi MB. Hampir kesemua ADUN BN hadir kecuali seorang sementara semua ketua bahagian hadir kecuali tiga ketua. Itu peristiwa 2015. Keadaan selepas itu nampak tenang. Adakah ketika itu hanya sandiwara politik? Jika berlaku sebarang krisis dalaman, adakah tidak ada sebarang langkah untuk memperbaiki keadaan? Adakah Mukhriz diberi tempoh untuk memperbetulkan keadaan sekiranya ada rasa tidak puas hati? Semuanya ini menimbulkan persoalan sejauh mana keikhlasan 18 April 2015. Kini keadaan berubah apabila 20 Januari 2016, orang No.2 dalam UMNO Kedah juga mengadakan sidang akhbar. Cuma kandu­ngan kenyataannya jauh berbeza. Kehadiran juga berbeza. Ada wakil rakyat BN di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak hadir.

Sebagai orang No.2, Ahmad Ba­shah juga bertanggungjawab untuk menyatakan kebimbangan me­ngenai kedudukan UMNO dalam menghadapi PRU-14 jika Mukhriz melakukan ‘kesilapan’ dalam mentadbir UMNO dan kerajaan ne­geri di Kedah. Apabila ketua-ketua bahagian UMNO Kedah tidak lagi memberi sokongan, sudah tentu Mukhriz tidak mampu menjalankan tugasnya dalam parti jika beliau kekal sebagai MB. Memang sukar untuk menjalankan tanggungjawab Pengerusi Perhubungan UMNO sekiranya tidak mendapat soko­ngan. Bagaimana pula jika ada usaha untuk memanggil mesyuarat DUN untuk menentukan kedudukannya? Mampukah Mukhriz ditolak di dalam DUN atau bertahan?

Isu ini perlu diselesaikan segera sebelum setiap orang yang dikatakan berpeluang menjadi MB menjadi ‘lebih buruk’ pada pandangan rakyat Kedah khususnya. Pihak yang tidak menyokong calon tertentu akan mencari keburukan personaliti berkenaan. Begitulah sebaliknya. Akhirnya orang akan nampak perkara atau peribadi yang tidak baik. Apabila semua keburukan didedahkan, ia pasti memberi kesan kepada pemimpin berkenaan yang mungkin diperlukan lagi di peringkat kerjaan negeri atau pusat. Akhirnya keburukan itu menjejaskan imej UMNO sendiri. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap dan tindakan buruk padah­nya. Jangan buang masa dengan kerenah politik. Dalam situasi yang ada pada hari ini, masih banyak masalah yang perlu dihadapi dan diselesaikan bagi memenangi hati rakyat. Walaupun apa yang berlaku hari ini melibatkan ‘rumah tangga’ UMNO tetapi sedikit sebanyak boleh menjejaskan BN. Inilah yang perlu di­elakkan. BN tidak boleh membiarkan masalah dalaman parti menjejaskan keyakinan rakyat.

Ingatkah ahli-ahli politik, bahawa mereka sedang memasuki tahun ketiga selepas PRU-13? Masa semakin suntuk kerana suasana politik sekarang bukan lagi berada di dalam zon selesa. Tidak sampai tiga tahun lagi akan berlangsung PRU-14. Adakah BN akan kehila­ngan kuasa seperti yang berlaku pada 2008? Jangan menang sorak kampung tergadai. Kedah jatuh ke tangan pembangkang pada PRU-12 apabila Pas memenangi 16 kerusi, PKR (4), DAP (1) sementara BN menang 14 kerusi. Kekalahan BN ini pula disebabkan oleh tsunami politik, masalah dalaman, sabotaj ahli serta pemimpin UMNO dan masalah pemilihan calon. Dengan tempoh yang berbaki sekarang, UMNO Kedah perlu memulihkan semula keadaan supaya bukan setakat ketua bahagian boleh bersatu tetapi juga anggota-anggota parti di peringkat bawah atau akar umbi.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana kekuatan UMNO Kedah selepas ini. Jika Mukhriz diturunkan, adakah penggantinya benar-benar memenuhi kriteria yang diharap­kan? Apakah jaminan tidak ada lagi sabotaj selepas ini? Adakah keikhlasan, kejujuran dan ketelusan mempertahankan parti menjadi keutamaan, bukan sekadar ‘manis di mulut?’. BN khususnya UMNO tidak boleh membiarkan parti itu menyertai masalah yang melanda Pas berikutan terbentuknya PAN. Jangan sesekali membiarkan ‘rambut terputus dan tepung bersele­rak’!