Gaya kepengarangan SM Zakir, penerima S.E.A Write Award (2011) yang lincah berkarya mirip Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad ini turut mengangkat naratif politik dalam novel terbarunya Ikarus (2018).

Ramalan SM Zakir, anak kepada Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan ini terbukti apabila Ikarus yang mengambil sempena nama ‘Icarus’ (anak kepada Daedalus) watak yang terdapat dalam mitos Greek, berjaya meramal kejatuhan sebuah institusi gergasi politik, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah berkuasa selama lebih 60 tahun memerintah di negara ini.

Menurut SM Zakir, sejarah besar Malaysia yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah ditulis dalam novel terbarunya, Ikarus yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada April 2018 lalu.

“Sejarah politik Malaysia hari ini telah saya ramalkan dan telah saya tuliskan dalam novel Ikarus...dan juga sejarah masa depannya! Kejatuhan ini disebabkan oleh gelombang atau kebangkitan menengah kosmopolitan.

“Cuma pada akhir cerita saya mempertanyakan tentang apakah perubahan ini akan kembali kepada sistem yang asal?” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Melalui novel Ikarus setebal 360 halaman itu SM Zakir meramalkan: “Tetapi kesenyapan rakyat awam mula menimbulkan perasaan yang menjangka suatu perubahan mungkin sedang menunggu untuk berlaku. Sedang menunggu untuk melahar keluar. Sedang menunggu untuk meletup keluar.

“Pada malam Iskandar mengurung dirinya di rumah, membuka televisyen dan mendengar keputusan pengundian. Kesenyapan itu memberikan jawapannya. Satu persatu kawasan parti pemerintah tewas, satu persatu kawasan parti pemerintah jatuh, satu persatu negeri dikuasai parti pemerintah jatuh. Parti pemerintah kehilangan majoriti kerusi di Parlimen. Parti pemerintah yang memerintah sejak merdeka kini telah kalah!” (Ikarus. Hlm.322).

Oleh sebab novel ini ditulis sebagai novel futuristik, meramal masa depan sebuah institusi politik tanah air, beliau berusaha menerbitkannya sebelum berlangsungnya PRU-14.

Akhirnya, novel Ikarus berjaya disiapkan pada penghujung bulan Mac, terus memasuki percetakan pada bulan April 2018 dan di pasarkan sempena Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) yang berlangsung pada 27 April hingga 6 Mei 2018 lalu. Ikarus kini menjadi novel bestseller di Malaysia.

Selain itu, kumpulan cerpen ‘20 Cerita Tentang Tuhan’ karya SM Zakir turut memenangi Anugerah Buku Negara sempena PBAKL 2018.

SM Zakir melalui Instagramnya bertarikh 10 Mei 2018 sejurus selepas keputusan PRU-14 diumumkan, beliau mencatatkan: “Bacalah dan fahami tentang apa yang berlaku hari ini dalam novel Ikarus dan mungkin juga berlaku di masa akan datang...”.

SM Zakir menceritakan, novel Ikarus mencatatkan riak-riak politik yang berlaku di Kuala Lumpur terutama kegelisahan dan penentangan terhadap kuasa Barisan Nasional sejak tahun 2010.

“Riak-riak politik ini bermula dengan gelombang anak-anak muda kota di Kuala Lumpur terutama yang terisi dalam forum-forum anti-establisment dan gerakan budaya di luar arus perdana.

Ideologi liberal kosmopolitan boleh dikatakan sebagai pemacu kepada gerakan anti-establishment yang ditujukan khusus kepada kuasa BN,” katanya.

SM Zakir menjelaskan, sebenarnya ada terma psikologi yang disebut ‘Icarus Complex’ atau kompleksiti Icarus iaitu tentang manusia yang bercita-cita tinggi.

“Tapi saya mengambil konteks manusia yang ingin keluar daripada kejahatan atau keburukan tetapi tidak berdaya kerana berada dalam sistem yang sangat berkuasa sehingga menimbulkan pergolakan jiwa bawah sedar yang kronik.

“Pemerhatian saya (kisah yang ditulis dalam novel Ikarus) terhadap riak-riak yang semakin membesar ini terutama dengan UMNO yang semakin tenat dengan rasuah dan penyelewengan.

“Rakyat yang terbeban dengan GST, kos sara hidup yang meningkat dan ekonomi yang menyeksa golongan menengah dan bawahan di kota, melalui novel Ikarus saya meramalkan bahawa BN akan jatuh dalam PRU-14,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana idea menulis novel ini boleh timbul, SM Zakir memberitahu Ikarus memakan masa hampir dua tahun untuk beliau siapkan manuskripnya yang mendapat ilham ketika mengikuti program ‘Writer-in-Residence’ di Taiwan pada Oktober 2017.

“Selama berada sebulan di Taiwan, timbul ilham menulis novel Ikarus. Lalu, saya terus menulis bab pertama dan tanpa disangka saya berjaya siapkan tiga bab dan saya sambung menghabiskan bab empat dan bab lima seterusnya setelah balik ke Kuala Lumpur,” cerita SM Zakir.

Pengagum Franz Kafka yang terkenal dengan novel The Metamorphosis ini pernah membuat pengakuan mengapa beliau ingin menjadi penulis dalam cerpennya yang terkenal “Cerita Untuk Teman-Teman” yang diterbitkan dalam Kumpulan cerpen Bidadari Burung (2012).

“Ketika Kafka ditanya mengapa dia ingin menjadi penulis, dia berkata: Aku ingin menjadi penulis kerana aku ingin menjadi raja, pahlawan, hulubalang, pendeta, guru, petani, askar dan... Terilham oleh Kafka, aku ingin menjadi penulis kerana aku mahu menjadi ahli silap mata!” (dipetik daripada Cerita Untuk Teman-Teman (2012).

Sehingga kini, SM Zakir telah menghasilkan tiga buah novel, lapan buah kumpulan cerpen, empat buah kumpulan sajak, sebuah buku biografi dan tujuh buah kumpulan esei sastera, budaya, teater, filem, falsafah dan politik.

Karyanya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris ialah kumpulan cerpen Bird Nymph (ITBM 2015) dan beberapa karya eceran dalam antologi antarabangsa. SM Zakir pernah menjadi Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sejak tahun 2006 sehingga tahun 2016 serta Munsyi Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (2011).