Seramai 4.2 juta pesakit di seluruh dunia mati setiap tahun dalam tempoh 30 hari selepas menjalani pembedahan manakala kira-kira 1.23 juta lagi mengalami nasib yang sama sebaik sahaja menjalani pembedahan, lapor analisis data yang diperoleh Universiti Birmingham yang melibatkan 29 negara dunia.

Kira-kira 313 juta prosedur pembedahan dilakukan setiap tahun di seluruh dunia laporan Suruhanjaya Lancet Pembedahan Global namun hanya sedikit yang diketahui tentang kualiti pembedahan itu. Secara keseluruhan sebanyak 7.7 peratus kematian di seluruh dunia berlaku dalam tempoh 30 hari selepas pesakit menjalani pembedahan melibatkan penyakit jantung dan angin ahmar yang disifatkan pembunuh utama.

`Komplikasi pascapembedahan’ seperti pendarahan dan jangkitan dilaporkan sebagai punca bagi kebanyakan kematian tersebut.

Ini berlaku kerana kekurangan peruntukan kewangan dan prasarana serta rawatan sewajarnya selepas pesakit menjalani pembedahan sehingga meningkatkan jumlah kematian berkenaan.

Para penyelidik mendakwa, bidang pembedahan `dipinggir dan dianaktirikan daripada kesihatan global’ kerana pihak bertanggungjawab lebih menumpukan perhatian dan peruntukan dana yang besar untuk merawat penyakit berjangkit.

Dr. Dimitri Nepogodiev dari Jabatan Pembedahan dan Kesihatan universiti tersebut yang mengetuai kajian itu memberitahu, bidang pembedahan hanya memperoleh sedikit peruntukan kerana pelaburan kesihatan lebih tertumpu kepada rawatan penyakit berjangkit seperti malaria.

Menurut beliau, walaupun tidak semua kematian pascapembedahan dapat dielakkan namun kebanyakan daripadanya boleh dibendung dengan meningkatkan pelaburan terhadap bidang itu melalui penyelidikan, latihan kakitangan, peralatan dan kemudahan yang lebih baik di hospital.

Sebahagian daripada sejumlah 4.2 juta kematian berlaku selepas pembedahan melibatkan negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Pesakit di negara ini lazimnya terpaksa meneruskan kehidupan tanpa diberi peluang untuk menjalani pembedahan.

Para penyelidik berkenaan menganggarkan seramai 4.8 bilion penduduk di seluruh dunia tidak memiliki akses bagi menjalani pembedahan yang selamat dan sewajarnya.

Jika pembedahan dijalankan, jumlah kematian tahunan selepas pembedahan akan meningkat lebih tinggi sehingga 6.1 juta orang, kata para penyelidik terbabit.

Ini kerana kebanyakan kematian tersebut berpunca daripada komplikasi pascapembedahan dan ada juga akibat kegagalan pembedahan untuk merawat penyakit.

Dr. Nepogodiev berkata, bagi mengelak berjuta-juta pesakit mati selepas pembedahan, akses kepada pembedahan perlu diperluaskan dan perlu seiring dengan pelaburan bagi memperbaiki kualiti pembedahan di seluruh dunia.

Pengerusi Jabatan Pembedahan universiti berkenaan, Profesor Dion Morton pula menegaskan, apabila akses kepada pembedahan diperbaiki maka tahap keselamatan prosedur itu perlu dipertingkatkan.

“Pembedahan dilakukan bagi menyelamatkan nyawa dan mengubah kualiti kehidupan pesakit namun hasil kajian ini menunjukkan sejumlah besar pesakit meninggal dunia dalam tempoh pascapembedahan,’’ katanya.

Tegas beliau, ketika usaha berterusan untuk meningkatkan akses kepada pembedahan di seluruh dunia dilakukan maka keperluan mendesak juga perlu dilakukan terhadap penyelidikan bagi meningkatkan kualiti dan keselamatan pembedahan.