Walaupun dalam kebanyakan masa, kami warga media 'tidak kalis cuti’ kerana harus bertugas juga pada hari cuti umum, maka penggiliran kerja perlu dilaksanakan dengan jitu. Jika tidak, nescaya akan ada yang datang bekerja dengan muka semasam-masamnya.

Tentu ramai yang sudah meneliti kalendar sejak bulan lepas. Pasti ada yang sudah membeli tiket penerbangan. Jadi bila cuti tidak diluluskan, boleh guna alasan tiket pesawat sudah dibeli, rugi jika tidak digunakan. Sakit jiwa bos hendak melepaskan setelah ditekan dengan situasi sedemikian.

Bab orang ke luar negara ini, sudah menjadi trend sekarang. Ia sesuatu yang bagus kerana peluang sudah ada diberikan oleh pelbagai syarikat penerbangan murah untuk mengangkut anda ke destinasi pilihan, pada harga yang cukup rendah.

Hakikat ini diperkukuhkan lagi oleh sebuah portal carian penginapan global, Hotels.com yang mengumumkan penemuan hasil kaji selidik terbaharunya.

"Ramai rakyat Malaysia melancong ke destinasi popular di luar negara pada cuti sempena Tahun Baharu Cina ini’’, menurut data carian Hotels.com.

Bangkok menggantikan Melaka sebagai destinasi percutian pada Tahun Baharu Cina paling popular bagi pelancong Malaysia pada tahun ini, susulan ringgit yang mengukuh, ketika ini.

Cuti hujung minggu yang panjang sempena perayaan Tahun Baru Cina memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk bercuti bersama keluarga mereka dan yang tersayang, dan peningkatan yang ketara dapat dilihat dari segi minat pelancong terhadap destinasi serantau di luar negara untuk tempoh tersebut pada tahun ini.

Destinasi seperti Bangkok, Singapura dan Tokyo adalah antara destinasi paling popular pada tahun ini, menunjukkan peningkatan kedudukan yang ketara berbanding keputusan tahun lepas.

Bangkok, yang merupakan destinasi keenam paling popular pada tahun lepas, adalah destinasi paling popular pada tahun ini, manakala Singapura naik enam anak tangga untuk menyertai 10 yang teratas.

Kedua-dua bandar raya tersebut dikenali sebagai destinasi membeli-belah yang utama di rantau ini, dari kawasan membeli-belah Orchard Road yang ikonik di Singapura hingga ke Siam Paragon di Bangkok, yang lengkap dengan bilik pameran Porsche dan Jaguar.

Hatyai, yang baru-baru ini mencatatkan peningkatan dari segi hubungan udara selepas pengenalan penerbangan terus tambahan yang menghubungkan bandar sempadan popular itu dengan Kuala Lumpur, meningkat dua anak tangga kepada kedudukan keenam.

Berada pada kedudukan ke-12 tahun ini, Tokyo menerima minat yang tinggi daripada pelancong Malaysia.

Menurut beberapa kenalan, Tokyo adalah destinasi 'terhampir', 'termurah' dan 'selamat' untuk rakyat Malaysia menikmati salji musim sejuk! Tokyo hanya tujuh jam penerbangan berbanding Eropah yang dua kali ganda tempoh penerbangan.

Dan lagi, bandar raya Tokyo boleh dikatakan 'paling selamat' di dunia sebab anda tidak akan terasa terancam walaupun kelibat polis kadang-kadang sahaja dilihat. Orang-orangnya pun ramah bila diminta tolong tunjuk arah.

Satu cara yang Merrepak pernah buat untuk meninjau secara dekat Tokyo ialah 'menyesatkan' diri menggunakan subway iaitu sehingga ke hujung stesen, yang lazimnya di pinggiran Tokyo. Di situ, pekannya lebih tenang berbanding di tengah-tengah kota seperti Shibuya atau Ginza.

Jadi kembali kepada Bangkok. Apa yang menarik di Bangkok? Pertamanya, dari segi tukaran mata wang, Ringgit masih 'tewas' 20 sen berbanding Thai Baht atau RM1 bersamaan dengan 8.07 Thai Baht. Cuma, ramai tahu kos melancong di Bangkok boleh dikatakan sama seperti di Kuala Lumpur, bermakna ia dalam kawalan bajet dan pengetahuan.

Secara ringkasnya, hotel bertaraf lima bintang di Silom, Bangkok tidak jauh beza dengan kadar di Kuala Lumpur. Hendak murah lagi pun ada, tetapi jangan terkejut jika ada jualan 'akuarium manusia' di dalamnya.

Bangkok adalah ibu kota seks dunia, pandai-pandailah jaga diri, terutama anda yang membawa ahli keluarga ke sana.

Di sebalik itu, Bangkok sebenarnya menawarkan pelbagai kelebihan dan tarikan seperti pusat beli-belah, makanan dan kuil-kuil purba. Selain orang-orangnya yang mesra dan lemah lembut bahasa, ia juga syurga membeli-belah. Cuma jika anda mementingkan ketulenan, anda berdepan dengan cabaran.

Yang saya hairan, Singapura masih berada dalam 10 destinasi utama pelancong Malaysia. Saya syak orang kita kemaruk melawat Universal Studio, yang sememangnya menyeronokkan untuk 'orang’ seperti saya. Jika hendak dikata asyik membeli-belah, tukaran wang ringgit dengan dolar Singapura masih di tahap sama iaitu S$1 bersamaan RM3 yang dikategorikan 'tidak murah’.

Bagaimana pula di Malaysia sendiri? Apakah destinasi dalam negara yang paling popular menurut Hotels.com? Lokasinya ialah Langkawi, Port Dickson dan Pulau Pinang merupakan tiga destinasi domestik paling dicari pada cuti sempena Tahun Baharu Cina ini.

Jadi, anda pula bagaimana? Rasanya saya akan ke Taiping dan Arau sahaja minggu tersebut, jika lebuh raya tidak sesak. Kalau sesak, duduk rumah sahajalah.

Destinasi paling dicari pada Tahun Baharu Cina bagi pelancong Malaysia:

1. Bangkok

2. Langkawi

3. Port Dickson

4. Pulau Pinang

5. Melaka

6. HatYai

7. Kuala Lumpur

8. Ipoh

9. Singapura

10. Kota Kinabalu.

Sumber: Hotels.com