Apakah jumlah pekerjaan tidak mencukupi iaitu pihak berwajib gagal menyediakan peluang pekerjaan atau graduan muda kekurangan kemahiran untuk memenuhi kehendak pasaran kerja. Atau juga graduan terlalu memilih pekerjaan.

Laporan oleh syarikat penilaian kebolehpasaran di beberapa negara di Asia mendapati lebih 80 % graduan bidang kejuruteraan tidak mempunyai kemahiran teknologi baharu diperlukan oleh majikan.

Hal ini turut sama berlaku di Malaysia. Tidak kira apa bidang kemahiran, graduan sukar mendapatkan pekerjaan.

Statistik yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan menyatakan lebih 50,000 graduan gagal dalam persaingan kebolehpasaran mendapatkan pekerjaan.

Lepasan-lepasan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam bidang profesional seperti kejuruteraan ‘terpaksa’ membuat kerja selain bidang mereka untuk menyara hidup.

Ada pihak menyifatkan negara ini sudah membazirkan sejumlah jurutera dan lepasan IPT yang sukar mendapat pekerjaan sesuai.

Peluang kerjaya ternyata tidak menunggu mereka.Beberapa perkara utama dikenalpasti daripada laporan pekerjaan sebagai jurutera:

1. Laporan menyatakan bahawa hanya 3.84 % jurutera mempunyai kemahiran teknikal, kognitif dan linguistik yang diperlukan untuk pekerjaan berkaitan perisian pada peringkat permulaan.

2. Hanya 3 % daripada jurutera mempunyai kemahiran teknologi baharu di kawasan yang kini berkembang pesat seperti artificial intelligence, machine learning, data science dan mobile development.

3. Oleh itu, hanya 1.7 % daripada jurutera mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan baharu.

4. Laporan ini turut memberi sebab utama untuk kebolehpasaran menurun kerana hanya 40 % siswazah kejuruteraan melakukan latihan industri, sementara terdapat hanya 7 % yang melakukan pelbagai latihan.

5. Selain kekurangan latihan, jurutera juga mempunyai kebolehpasaran yang rendah kerana hanya 36 % melakukan projek di luar kurikulum mereka.

Oleh itu, mereka tidak selalu membina kemahiran untuk menyelesaikan masalah dalam pelbagai situasi.

6. Satu lagi masalah yang menambah rendahnya kebolehpasaran jurutera adalah bahawa subjek diajar dengan cara yang sangat teori sahaja - 60 % fakulti tidak memberi penekanan tentang penerapan konsep dalam industri dan hanya 47 % daripada jurutera mengikuti seminar berkaitan dalam industri.

Oleh itu, graduan perlu bijak mengambil segala peluang yang ada sebagai langkah awal untuk masa depan.

Sebagai contoh, graduan dalam bidang kejuruteraan tidak semestinya menjadi jurutera.

Kesediaan graduan dalam mengatasi ketidakbolehpasaran antaranya mereka perlu bersedia untuk mentransformasi diri dengan mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang ada sepenuhnya untuk majikan.

PROF. EMERITUS TAN SRI SAHOL HAMID ABU BAKAR ialah Naib Canselor Crescent University, Chennai, India dan profesor pakar tebatan banjir di University of Stuttgart, Jerman.