Kesedihan dan kepiluan ­pas­­tinya akan mengiringi golongan yang beriman kerana Ramadan ada­lah bulan yang memberi peluang le­bih meluas kepada manusia untuk beribadah dan mempertingkatkan amal kebaikan semata-mata ke­rana Allah SWT. Mereka juga akan merasai keseronokan dan kegembiraan dalam suasana bertaqarrub dengan Allah SWT. Tambahan, di dalam bulan ini Syaitan juga dibelenggu oleh Allah SWT semata-mata untuk memberi peluang kepada umat manusia untuk fokus dalam beribadah.

Terdapat janji agung daripada Allah SWT yang menambahkan kegembiraan orang yang beriman iaitu sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan pas­tinya akan diampunkan dosanya dan akan terlepas daripada azab seksaan api neraka yang sentiasa menanti kehadiran manusia ingkar kepada perintah dan larangan penciptanya Yang Maha Esa.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW ber­sabda yang bermaksud:”Barang siapa ber­puasa pada bulan Ramadan akan diampunkan dosanya yang telah lalu,” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Bagi mereka yang tidak menghiraukan tentang amal ibadah pula, saat dan detik berlalunya Ra­madan akan disambut dengan kegembiraan kerana segala perkara yang dilarang pada waktu siang mahupun dalam bulan ini keseluruhannya dapat dilakukan. Pada ketika ini juga kita dapat melihat suasana persiapan dan kemeriahan sambutan hari raya akan menjangkaui dan mengatasi kesungguhan dalam beribadah yang semakin hari semakin hilang di penghujung Ramadan ini.

Islam tidak melarang sebaliknya menggalakkan umatnya menzahirkan kegembiraan dalam menghadapi Aidilfitri yang penuh bermakna untuk diraikan oleh umat Islam. Namun pada masa sama, bersungguh-sungguh me­ningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT agar tergolong di dalam golonga bertakwa dan diampunkan dosa-dosa lalu lebih-lebih pada 10 malam terakhir ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka ia dari Allah (datangnya) kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepada-Nyalah kamu ­meraung meminta pertolongan.” (Surah An-Nahl : 53)

Apa yang merisaukan adalah masyarakat Islam kita akan dibuai dengan kegembiraan pelbagai pro­mosi jualan hari raya pada peng­hujung Ramadan ini yang menyalahi dan bercanggah dengan hakikat kegembiraan yang diajarkan oleh Islam. Bukan promosi itu yang salah tetapi cara kita yang kadang kala menyebabkan kita lalai sujud beribadah kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, ada juga segelintir masyarakat Islam yang terlalu memikirkan mengenai persiapan hari raya sehingga terlupa akan kewajipan yang perlu dilaksanakan sebagai seorang Islam seperti menunaikan solat fardu dan membayar zakat.

Perkara sebegini yang perlu dielakkan dalam memastikan selepas berakhirnya Ramadan kita akan memperoleh nilai ketakwaan yang tinggi di sisi Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Islam sama sekali tidak melarang umatnya menzahirkan ke­gembiraan menyambut hari raya tetapi biarlah dilakukan pada hari lebaran tersebut. Manfaatkanlah 10 malam terakhir Ramadan ini dengan mempertingkatkan amal ibadah dan ketakwaan kepada Allah SWT. Pada saat dan ketika ini kita disarankan bersungguh-sungguh dalam beribadah agar kita tergolong dalam kumpulan orang yang diampunkan dosa dan tersenarai sebagai bakal penghuni syurga Allah SWT.

Begitulah keadaan dan suasana di penghujung Ramadan pada saban tahun. Bagi yang merindukan dan bersungguh-sungguh mahukan syurga pasti akan sentiasa berfikir adakah masih diberi ke­sempatan untuk bertemu dengan Ramadan tahun hadapan?

Mungkin kesihatan kita pada Ramadan kali ini memberi peluang untuk beribadah tetapi tiada jaminan kesihatan bagi kita pada Ramadan akan datang. Mungkin juga kita dapat berpuasa bersama-sama dengan ahli keluarga pada tahun ini tetapi tiada jaminan untuk kita pada masa akan datang. Persoalan yang paling utama adalah masih adakah lagi Ramadan untuk kita pada tahun depan?

Natijah pengakhirannya, hendaklah kita sentiasa berdoa agar Allah SWT memanjangkan umur dan memberi kesempatan kepada kita lagi untuk bertemu dengan bulan Ramadan akan datang yang pastinya akan dirindui selama setahun ini. Semoga ketelusan hati kita dalam ibadah yang dipupuk pada bulan Ramadan ini akan te­rus mekar dan subur dalam bu­lan-bulan berikutnya. Juga ni­lai-nilai murni yang diterapkan se­harian sepanjang berpuasa ini dapat dikekalkan dan diteruskan dalam kehidupan kita seharian.

Mudah-mudahan Ramadan tahun ini memberikan kegembiraan kerana kesempatan dan keadaan yang kita peroleh untuk beribadah. Sebaliknya janganlah kesedihan yang kita rasai akibat kesempatan yang diberi tetapi tidak dimanfaatkan dengan sebenarnya.

Perbanyakkan berdoa: ”Ya Allah! Panjangkanlah usiaku dan usia keluargaku agar dapat mene­mui Ramadan pada tahun akan datang,” Ya Allah! Tetapkanlah imanku agar terus tunduk dan patuh kepada perintah-Mu. Moga diriku tergolong dalam kalangan orang yang beriman kelak.”

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor.