Ibadah puasa tidak seperti ibadah-ibadah lain dalam Islam. Ibadah lain sifatnya ialah melakukan sesuatu tetapi ibadah puasa ini menahan daripada melakukan beberapa perkara yang membatalkan puasa. Jika kita lihat ibadah solat misalnya, orang boleh nampak kita solat dan kita boleh menunjuk-nunjuk kepada orang bahawa kita solat. Begitu juga zakat, haji, sedekah dan amalan-amalan lain semuanya kita boleh tunjukkan kepada orang kita ­melakukan ibadah tersebut. Tetapi puasa, tiada siapa yang tahu dan nampak kita berpuasa.

Kita boleh sahaja mendakwa berpuasa tetapi hakikatnya telah makan ketika bersendirian tanpa diketahui orang lain. Jadi bagi orang yang benar-benar berpuasa memang sepatutnya Allah SWT sendiri yang memberikan ganjaran pahala kerana dia berpuasa ikhlas semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT tanpa mengharapkan pujian manusia.

Dalam kehidupan masyarakat hari ini, kita sudah terbiasa dengan pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) di banyak tempat, seperti di bank dan bangunan-bangunan lain. Tujuan CCTV itu antara lain untuk menjadi bukti dan menangkap mereka melakukan kesalahan di premis berkenaan. Ramadan adalah bulan melatih bahawa Allah SWT itu Maha Melihat, Allah SWT itu memiliki CCTV yang memantau setiap perlakuan kita sama ada ketika bersendirian atau ramai. Walau ketika bersendirian pun kita tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa kerana menyedari Allah SWT sedang memerhati kita. Justeru kenapa selepas Ramadan perasaan diawasi itu tidak diteruskan?

Allah SWT bukan wujud hanya di bulan Ramadan tetapi sepanjang masa dan memerhati setiap ketika. Sepatutnya, bagi mereka yang menjalani ibadah Ramadan dan lulus madrasah Ramadan ini mereka akan memiliki satu sifat iaitu ‘merasa sentiasa diawasi oleh Allah’ sepanjang masa dan ketika. Inilah sifat orang bertakwa seperti mana ditunjukkan oleh para Salafussoleh.

Kisah yang sering kita dengar berhubung seorang ibu yang berbincang dengan anak gadisnya tentang susu kambing yang sedikit mereka peroleh hari itu kerana suasana kemarau lalu si ibu mencadangkan dicampur dengan air. Namun dibantah oleh anak gadisnya kerana itu menipu dan Khalifah Umar ibn al-Khattab telah mengarahkan jangan menipu. Lalu ibu menjawab tidak mengapa kerana tiada yang melihat dan Khalifah Umar juga tiada. Namun jawab anak gadis tersebut yang tinggi sifat merasa diawasi atau muraqabah menyebut: “Benar wahai ibuku, Umar tidak melihat tetapi Tuhan Umar Maha Melihat!”. Perbualan tersebut didengari oleh Khalifah Umar yang kebetulan meronda setiap malam seperti kelaziman beliau, lalu kagum dengan anak gadis tersebut dan keesokan harinya mencadangkan kepada anak lelakinya agar mengambil gadis tersebut sebagai isterinya.

Begitu juga kita pernah men­dengar kisah bagaimana Umar ibn Abdul Aziz memadamkan pelita hak milik negara dan menyalakan pelitanya sendiri apabila berbicara tentang perihal keluarganya dan hal persendirian kerana tidak mahu berdosa menggunakan pe­lita negara yang bukan hak milikinya. Kisah ini masyhur tetapi sekadar kisah dalam lipatan sejarah, tidak diteladani dan dicontohi oleh kita umat Islam hari ini. Harta-harta bukan miliki kita, milik syarikat atau milik pejabat kita rakus menggunakannya seolah-olah harta tersebut milik diri sendiri dan lupa bahawa nanti akan dipersoalkan oleh Allah SWT.

Banyak lagi kisah para solihin yang menunjukkan bagaimana sepatutnya sikap orang yang bertakwa yang sentiasa merasakan dirinya diawasi oleh Allah SWT. Jika kita mampu membawa perasaan diawasi oleh Allah SWT ini keluar dari bulan Ramadan hingga ke bulan-bulan lain, nescaya kita akan berjaya menjadi hamba bertakwa seperti mana yang dikehendaki melalui matlamat berpuasa ini. Jika tidak, kita hanyalah menjadi orang yang ‘soleh’ di bulan Ramadan, tetapi tidak di bulan-bulan lain. Jika itulah sikap dan akhlak kita, maka kita belum mencapai matlamat Ramadan yang sebenar iaitu melahirkan insan-insan yang bertakwa kepada Allah SWT.

Kesimpulannya, Ramadan ini melatih kita berasa dekat dengan Allah, sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT lalu kita perlu menjadi sebaik-baik manusia kerana diperhatikan oleh Tuhan Pencipta Sekalian Alam. Kalau CCTV yang perhati pun, sudah begitu beradab apatah lagi Tuhan yang memerhati kita.

Lalu ia menjadikan kita sebagai insan yang terbaik dalam semua keadaan, sebagai pekerja terbaik, sebagai ibu bapa terbaik, sebagai pelajar terbaik dan sebagai apa sahaja kita lakukan terbaik kerana dengan itu sahajalah diterima Allah seperti mana hadis Nabi SAW: “Allah itu terbaik dan tidak me­nerima melainkan yang terbaik.”

DR. NIK ROSKIMAN ABDUL SAMAD 
ialah Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).