Atas asas itu Pergerakan Pemuda Wilayah Persekutuan mengambil keputusan membuat laporan polis pada 2 Januari lalu bagi membolehkan satu siasatan dibuat terhadap Dr. Mahathir.
Bersama-sama wartawan Utusan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD, Ketuanya, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkongsi pandangannya berhubung tindakan tersebut.

 

APA yang mendorong Datuk sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan membuat laporan polis berhubung beberapa kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilihat mahu menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak demokratik?

MOHD. RAZLAN: Langkah yang diambil oleh Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, sekali gus mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Pusat adalah untuk memastikan sistem demokrasi di negara ini sentiasa terpelihara dan tidak dirosakkan oleh mana-mana individu. Kita mempunyai sistem yang sah dan seharusnya mana-mana parti yang ada termasuk individu terlibat patuh dengan sistem ini. Yang pasti, tindakan dilakukan Dr. Mahathir ini tidak demokratik dan tidak berperlembagaan. Malah, bagi saya ini adalah satu jenayah. Sebab itu kami membuat laporan polis kerana perbuatan Dr. Mahathir adalah satu bentuk jenayah serius sewajarnya disiasat secara terperinci oleh pihak polis dan Jabatan Peguam Negara.

Sejauh mana kesannya tindakan Dr. Mahathir ini terhadap rakyat dan negara?

Seperti saya katakan sebelum ini, apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir ini adalah satu perbuatan jenayah yang cukup serius kerana jelas kenyataan-ke­nyataannya untuk menggu­lingkan Perdana Menteri sejak dahulu sehinggalah sekarang semata-mata mahu mempengaruhi orang ramai agar turut bersama-sama menjayakan agenda tersebut. Bagi kami daripada Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, perbuatan ini perlu dihentikan. Apa pun saya tetap percaya sebahagian besar rakyat sukar untuk me­nerima tuduhan-tuduhan melulu yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir terhadap Perdana Menteri. Saya yakin de­ngan kebijaksanaan mereka dalam membuat penilaian. Mereka lebih tahu mana yang benar dan mana yang salah.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda, Senator Khairul Azwan Harun memberi komen bahawa tindakan Dr. Mahathir itu hanya atas sebab peribadi iaitu mahu menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Perdana Menteri. Apa pandangan Datuk?

Saya amat bersetuju de­ngan kenyataan saudara Khairul Az­wan dan sememangnya segala rancangan Dr. Mahathir terutama cita-citanya untuk menggulingkan Perdana Menteri didasari atas sebab peribadi dan dendam kesumat. Bukannya atas perjuangan parti. Dendam itu bermula sejak Mukhriz gagal dalam persai­ngannya merebut jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti pada 2013 lalu.

Sungguhpun beliau kalah da­lam perebutan jawatan tersebut, pucuk pimpinan UMNO tetap memberi peluang kepadanya un­tuk terus menerajui Kedah sehinggalah beliau akhirnya meletak jawatan pada 2016. Selepas itu bermulalah gerakan Dr. Mahathir untuk mengangkat semula anaknya, Mukhriz menjadi seorang pemimpin walaupun kita tahu Mukhriz dalam rekodnya sebagai Menteri Besar tidaklah begitu cemerlang. Mukhriz gagal menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin hebat. Bayangkan ketika beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar, berapa ramai penyokong-penyokongnya hadir untuk memberi sokongan. Ada sampai 10,000 orang atau 20,000 orang? Hakikatnya, tidak ramai hadir untuk menyatakan sokongan. Sekiranya beliau seorang pemimpin yang digemari sudah tentu perkara sebaliknya berlaku.

Secara umumnya, apa pandangan Datuk terhadap Dr. Mahathir kini?

Pada hemat saya, Dr. Mahathir seorang ahli politik yang tidak berprinsip. Oleh itu tidak hairanlah jika setiap pandangan dan kenyataan beliau ketika ini lebih bersifat mengelirukan. Lebih menyedihkan, kata-katanya yang ber­sifat maki hamun semata-mata mahu menjatuhkan dan menggulingkan Perdana Menteri. Keadaan ini menyebabkan rakyat semakin benci dengan politik. Bukannya sebab politik tetapi di­sebabkan oleh orang politik seperti Dr. Mahathir, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Mereka melihat bagaimana ketiga-tiga ini boleh berbaik sedangkan satu masa dahulu masing-masing bermusuhan. Mereka sanggup jilat ludah sendiri. Mereka sanggup menggadai prinsip, maruah diri, moral dan etika atas kerjasama mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

Apa pun saya menghargai cara Najib menangani serangan-serangan ini. Beliau tidak mudah melenting, sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha membela rakyat serta pembangunan melalui program-program yang telah ditetapkan. Mereka ini bagi saya seumpama langau.

Apakah harapan Datuk terhadap laporan polis yang dibuat ini?

Polis dan Jabatan Peguam Negara wajar meneliti laporan ini sebaik-baiknya kerana bagi kami Dr. Mahathir telah melakukan satu perbuatan jenayah yang cukup serius. Kita tidak mahu perbuatan seumpama ini dibiarkan kerana kesannya amat buruk kepada negara. Justeru, sekiranya polis mendapati ada kes, kami amat berharap Dr. Mahathir segera dihadapkan ke mahkamah untuk diadili. Saya difahamkan jika di negara luar, mereka yang bertindak seperti Dr. Mahathir ini sudah lama dikenakan tindakan undang-undang.