Antara perkara yang sering dirujuk oleh Syria termasuklah sektor perdagangan, pelancongan dan sistem pendidikan tinggi di negara ini yang disifatkan sebagai antara terbaik di dunia.
Tidak cukup dengan itu, Syria juga melahirkan rasa bangga melihat perkembangan Malaysia dari semasa ke semasa terutamanya dalam bidang politik dan ekonomi negara.
Ikutilah wawancara wartawan Utusan Malaysia, ADLINAHANI KHALIL bersama jurugambar, AZLAN HADI ABU BAKAR dengan Charges D’Affaires Syria ke Malaysia, TAMIM MADANI mengenai harapan beliau terhadap hubungan Malaysia-Syria dan juga pandangannya tentang senario politik semasa negara sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

 

Utusan: Terima kasih kerana sudi untuk ditemu bual. Sudah berapa lama tuan berkhidmat di Malaysia?

Tamim: Saya baru setahun berkhidmat di Malaysia, namun pernah beberapa kali melawat negara ini sebelum itu. Kali pertama saya melawat Malaysia adalah pada tahun 2000 dan sejak itu, saya dapat rasakan bahawa rezeki saya dan keluarga ada di sini.

Sepanjang tinggal di sini, banyak perkara yang saya boleh lihat dan pelajari terutamanya budaya yang jauh berbeza berbanding di tempat asal saya.

Keluarga saya juga sukakan Ma­laysia kerana cuacanya yang panas tapi lembap sepanjang tahun tanpa risau akan cuaca kering melampau dan berdebu.

Apa perkara yang paling tuan suka mengenai Malaysia?

Saya pasti sesiapa sahaja yang datang ke Malaysia, mesti mereka akan jatuh cinta dengan pelbagai juadah makanan yang enak. Sehingga kini, saya tidak dapat se—naraikan apa makanan kegemaran saya di sini kerana semuanya sedap.

Lagi satu saya suka Malaysia kerana rakyatnya yang peramah dan boleh menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.

Apakah pandangan tuan mengani senario politik semasa di Malaysia?

Saya berasa kagum dengan senario politik di Malaysia ketika ini, terutamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan sistem demokrasi di negara ini terus kukuh, sekali gus membuktikan bahawa rakyat Malaysia mementingkan politik yang sihat dan terjamin.

Pada pendapat saya, tidak kira pihak mana yang tadbir kerajaan, rakyat Malaysia telah memilih dan semua pihak memainkan pe­ranan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus maju.

Saya yakin bahawa politik Malaysia akan kekal stabil dalam jangka panjang dan memberi ke­lebihan kepada rakyat di negara ini untuk menikmati kehidupan yang selesa dan terjamin.

Bagaimana tuan melihat perubahan politik di Malaysia sejak dari dulu sehingga kini?

Saya sebenarnya tidak layak untuk bercakap soal perubahan politik di negara ini, tetapi apa yang boleh dikatakan, saya kagum dengan Perdana Menteri kini iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kembali dalam dunia politik selepas mentadbir Malaysia selama 22 tahun sebelum ini.

Situasi itu secara tidak langsung menggambarkan bagaimana rakyat mengagumi Dr. Mahathir sebagai pemimpin, selain beliau juga menjadi simbol kepada negara-negara membangun.

Syria juga melihat Perdana Men­­­teri yang berusia 93 tahun itu sebagai seorang tokoh politik negara Islam yang disegani dan dihormati.

Apakah pendapat tuan tentang kerajaan baharu Malaysia ketika ini?

Saya berasa teruja untuk melihat sebarang perubahan yang te­lah dijanjikan oleh kerajaan ba­ha­ru Malaysia dan bagaimana pe­ne­rimaan rakyat terhadapnya.

Saya yakin kerajaan baharu ini akan bertungkus-lumus meme­nuhi keperluan rakyat dan pelbagai pihak lain bagi memastikan Malaysia terus kukuh di mata dunia, selain seiring dengan perkembangan semasa.

Saya juga melihat kerajaan ini lebih ikhlas dalam membantu rakyat dan saya rasa itu adalah perkara yang paling penting untuk meraih kepercayaan serta sokongan daripada rakyat.

Saya ucapkan selamat maju ja­ya kepada kerajaan baharu Malaysia.

Apa kelebihan Malaysia yang tuan lihat berbanding negara lain?

Malaysia sebuah negara Islam se­derhana yang paling menonjol setakat ini, sama ada dari segi ekonomi, politik mahupun sosial dan perkara itu membuka mata dunia mengenai kebolehan Malaysia untuk menerajui pelbagai sektor penting pada masa akan datang.

Secara jujurnya, Malaysia me­rupakan satu daripada negara yang sering dijadikan rujukan atau contoh oleh pentadbiran Syria untuk memajukan pelbagai sektor di negara kami.

Kami juga kagum dengan sektor pelancongan dan pendidik tinggi yang ada di negara ini ke­rana kedua-dua sektor itu dilihat amat berjaya.

Apakah harapan tuan terha­dap hubungan Syria-Malaysia pa­da masa akan datang?

Ketika ini, hubungan kerajaan Malaysia dengan Syria masih aktif biarpun tiada operasi kedutaan di Damsyik susulan konflik yang melanda Syria.

Kedutaan Malaysia di Syria tidak ditutup secara rasmi namun operasinya digantung buat sementara waktu sehingga keadaan benar-benar stabil bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Selain itu, saya sebagai wakil Syria berharap kerajaan Malaysia mempertimbangkan cadangan un­tuk membuka semula kedutaan di Damsyik dan dengan cara itu, rakyat di Malaysia boleh mengetahui keadaan sebenar di Syria.

Setakat ini, sejauh mana perkembangan hubungan dua hala antara Syria dan Malaysia?

Saya masih ingat, perjanjian dua hala terakhir melibatkan Malaysia dan Syria dimeterai pada 2009 dan kami berharap lebih banyak MoU akan ditandatangani selepas ini.

Seperti yang saya nyatakan tadi, kerajaan Malaysia perlu pertimbang usaha untuk membuka semula kedutaan Malaysia di Damsyik bagi merebut peluang untuk memajukan pelbagai sektor melibatkan kedua-dua negara.

Selain itu, langkah tersebut juga memberi ruang dan peluang kepada wakil ke­dua-dua negara saling bertukar pandangan dan tenaga kerja bagi mewujudkan hubungan kerjasama yang menyeluruh dan berkesan.

Ketika ini, tidak banyak pihak tahu situasi sebenar di Syria dan keadaan itu secara tidak langsung menyukarkan kami untuk bangkit semula.

Apakah bidang kerjasama yang boleh ditingkat?

Kami berharap kerajaan Syria dan Malaysia dapat menjalin kerjasama dalam sektor pelancongan dan pendidikan tinggi.

Seperti di Malaysia, Syria juga mempunyai banyak tempat pelancongan yang menarik untuk dikunjungi dan kami boleh mendapatkan khidmat nasihat serta bertukar pandangan dengan Malaysia untuk meningkat sektor pelancongan di negara kami.

Begitu juga dengan sektor pendidikan tinggi yang kini saya lihat Malaysia antara pelopor sistem pendidikan tinggi terbaik di dunia dengan menawarkan pelbagai bidang pengajian bertaraf antarabangsa.

Negara yang maju bermula de­ngan sistem pendidikan yang efektif dan rapi. Selain itu, sektor perdagangan juga memainkan peranan penting dalam hubu­ngan diplomatik semua negara terma­suk Syria dan Malaysia.

Syria sebelum ini mengimport minyak kelapa sawit serta produk berkaitan dengannya.

Apakah yang ingin tuan ucapkan kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia?

Saya ingin ucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia dan anda bertuah kerana dapat me­raikan hari yang penuh bersejarah dan istimewa ini.

Rakyat Malaysia perlu terus bersatu padu dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terjamin. Kestabilan negara bermula dengan rakyat yang sentiasa bertoleransi dan terbuka dalam menerima sebarang penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan.

Saya juga rasa bertuah kerana diberi peluang untuk bersama-sama meraikan hari istimewa ini.