Mesej yang hendak disampaikan adalah pengundi sudah tidak mahu berkompromi dengan amalan politik perkauman dan kebencian, tidak mahu lagi bertolak ansur dengan politik rasuah, kontroversi dan skandal, sebaliknya mengharapkan budaya politik yang lebih matang, berintegriti dan profesional dari semua parti dan ahli politik di negara ini.

PRU-14 sudah pun berakhir dan kita bersyukur peralihan kuasa te­lah berlaku dalam suasana cukup tenang dan aman. Jadi sudah semestinya perhatian dan tumpuan rakyat sekarang terarah kepada soal sejauh mana kedua-dua pihak iaitu parti pemerintah dan juga pembangkang dapat membudayakan dan mengamalkan politik yang matang supaya sama-sama dapat memajukan rakyat dan negara.

Walaupun adat bertanding ada pihak menang dan satu pihak lagi kalah tetapi harus diingatkan kedua-duanya mempunyai pe­ranan besar dalam sistem peme­rintahan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Lazimnya tumpuan banyak di­berikan kepada yang menang apatah lagi dalam hal ini buat pertama kalinya dalam sejarah negara ini parti selain dari Barisan Nasional (BN) menjadi parti pemerintah. Kemenangan Pakatan Harapan walaupun mengejutkan hampir semua penganalisis dan pemerhati politik baik dalam mahupun luar negara namun hakikatnya rakyat telah membuat keputusan dan mahu mereka mengambil alih dari BN sekurang-kurangnya untuk lima tahun yang akan datang.

Maka kita boleh bayangkan betapa tinggi dan besarnya harapan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Harapan ini apatah lagi ia diketuai oleh tokoh yang tidak asing lagi iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut mencipta sejarah menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua.

Namun demikian penulis ya­kin dalam konteks senario politik era baharu ini rakyat sudah tidak mahu terlalu membezakan antara yang menang dengan yang kalah ataupun antara kerajaan dengan pembangkang. Apa yang di­harapkan, tidak kira sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang, kedua-dua pihak perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara dengan budaya politik yang lebih matang dan profesional.

Secara umumnya budaya politik matang yang diimpikan oleh rakyat adalah sistem pentadbiran yang profesional, berintegriti, adil dan saksama, menjauhi amalan politik perkauman dan kebencian, tidak lagi taksub dengan politik kepartian sehingga melebihi kehendak dan keperluan rakyat, menjauhi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, tidak mengamalkan politik dendam serta tidak menganiaya dan menghukum mana-mana individu atau kelompok hanya kerana perbezaan pendapat dan ideologi politik. Percaya atau tidak perkara-perkara inilah boleh menyebabkan rakyat marah terhadap sesuatu parti ataupun individu ahli politik.

Generasi yang ada pada hari ini terutamanya golongan belia sudah banyak mendapat pendedahan tentang budaya politik matang yang berlaku dunia luar. Justeru mereka dapat membuat perban­dingan secara ilmiah dan juga profesional dengan apa yang berlaku dalam sistem politik negara ini.

Golongan ini jelas menolak budaya politik sempit yang dilihat akhir­nya merosakkan masyarakat dan negara. Jadi ahli politik juga perlu bijak memahami kehendak rakyat ini. Mereka tidak boleh lagi mengamalkan budaya politik lama dan yang telah sebati dengan diri mereka selama ini. Kalau tidak mahu berubah, rakyat akan menggunakan kuasa untuk mengubahnya.

Jadi kita berharap kerajaan baharu mampu memenuhi tuntutan dan harapan rakyat ini. Buktikan anda layak mendapat peluang ini, dan buktikan mampu memerintah dengan lebih baik dari sebelum ini. Ingat, lima tahun bukanlah suatu tempoh yang terlalu lama jadi kerajaan perlu bertindak segera. Tunjuk contoh dan teladan baik dengan meraikan perbezaan ideologi.

Pembangkang tidak boleh dilihat sebagai musuh sebaliknya perlu dijadikan mata dan telinga untuk kerajaan sentiasa berhati-hati serta memperbaiki kelemahan yang ada. Elak juga sebarang perasaan dendam sebaliknya be­rilah layanan yang profesional dan sama rata kepada semua.

Begitu juga halnya dengan pihak pembangkang, rakyat juga mahu melihat negara ini mempunyai blok pembangkang yang konstruktif dan profesional dengan membudayakan amalan politik yang matang demi kemajuan bersama. Janganlah kerana namanya pembangkang semua perkara hendak dibangkang secara membuta tuli dan terlalu mencari kesalahan kerajaan. Buktikan parti pembangkang juga mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Jika pihak kerajaan melaksanakan program yang baik dan bermanfaat kepada rakyat maka wajarlah memberi sokongan yang padu. Sebaliknya jika berlaku kepincangan maka tegurlah de­ngan secara profesional tanpa rasa dendam. Malah kemukakanlah cadangan dan idea yang membina secara berterusan kepada pihak kerajaan demi ke­sejahteraan rakyat. Dalam erti kata lain pastikan proses semak dan imbang itu dapat dilaksanakan dengan matang dan profesional.

Zaman kerajaan tahu semua sudah lama berlalu, maka kerajaan mahupun pembangkang perlu berlapang dada mengakui kelemahan dan kekurangan yang ada. Terimalah kenyataan kita tidak sempurna dan tidak mahir dalam semua perkara. Jadi kepada pihak kerajaan dan juga pembangkang kurangkanlah masa untuk berpolitik sebaliknya berganding bahu membina sebuah negara baharu milik bangsa Malaysia yang progresif, maju dan berdaya saing.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).