Dan setiap kali menjelang PRU jugalah terkeluar kata-kata: “Masa untuk Kelantan berubah!”. Namun kenyataannya, negeri indah bergelar ‘Serambi Mekah’ itu terus berada di tangan Pas. Akibatnya, hanya penggal pemerintahan bersilih masa tetapi kemajuannya tidaklah seberapa.

Jangan tanyakan punca dan salah siapa. Yang pastinya rakyat Kelantan sendiri membuat pilihan. Mereka yang mengundi menentukan pembentukan kerajaan. Cuma barangkali sesuai sekadar menanyakan, apakah mereka benar-benar ikhlas untuk melihat Kelantan berubah dan nasib rak­yat negeri itu lebih terbela atau terus lena, terbuai mimpi tak sudah dengan kerajaan negeri yang ada?

Semua orang tahu, Kelantan berpotensi besar untuk maju. Negeri itu memiliki segala keistimewaan, keunikan dan sumber asas yang kaya dan tersendiri. Untuk memaju dan mengembangkan potensi ini perlu suatu gagasan pemerintahan kuat, kukuh, berpaksikan kuasa politik yang selari dengan Kerajaan Persekutuan.

Hakikat ini tidak perlu dinafikan. Meskipun selama ini Kelantan tidak pernah ‘dianaktirikan’ oleh Kerajaan Pusat dalam me­nyalurkan segala bentuk bantuan dan kemudahan demi kesejahte­raan rakyat negeri itu, namun tempo dan keselarasan pada erti kata lebih ‘sebati’ tetap berbeza.

Landskap politik Kelantan per­lu berubah jika mahu melihat negeri itu maju dan kehidupan rakyatnya lebih selesa. Janji ha­nya boleh ditunaikan jika ada kekuatan sebenar, termasuk kemantapan pakatan politik, ekonomi serta pengurusan yang cekap, bersistematik dan berwawasan.

Di Kelantan sudah terdapat beberapa institusi pengajian tinggi yang mampu melahirkan ramai tenaga kerja berkelulusan akademik dan berkemahiran. Sudah ada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang sedang berkembang pesat termasuk dalam bidang keusahawanan. Juga sudah ada cawangan Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian serta cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Machang.

Saban tahun pelajar-pelajar di peringkat pengajian sekolah rendah dan menengah pun ramai yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Wujud pusat-pusat tahfiz. Dan terbayang pula bertambah hebatnya nanti dengan tertubuhnya sebuah Universiti al-Quran di negeri itu.

Segala ini perlu disahut oleh penyediaan peluang pekerjaan yang banyak dengan pelbagai bidang merangkumi skop penghidupan yang luas. Sebab itu Kelantan perlu diurus dan diba­ngunkan secara lebih mantap dan lengkap untuk menjana peluang-peluang pekerjaan yang sesuai.

Negeri yang memiliki warga terkenal gigih dan kreatif termasuk kaum wanitanya itu perlu menghidangkan suasana lebih kondusif bersama prasarana lengkap dan efisien bagi menggamit kedata­ngan pelabur dan pelancong.

Semoga cik mek molek, akok berkedut, akok berlauk, murtabak raja, jala emas, ayam percik, nekbat, lompat tikam, serunding, nasi tumpang, nasi kerabu dan lain-lain akan mendapat pasaran lebih meluas.

Di bazar menjual batik, songket dan barangan ukiran perak pula biarlah kelihatan pelayan-pelayan kedainya sentiasa sebuk melayan pengunjung dan pelanggan, bukan hanya menghabiskan banyak masa menunggu pelanggan berkunjung datang.

Biar gedombak beralun, gemersik rebab, dikir barat menghimpun suara, gema rebana ubi menggemuruh suasana agar semuanya sebagai memberi tanda atau simbolik bahawa rakyat Kelantan sudah mahu berubah, ‘melepas hawa’ dan sedia me­nerima suasana baharu yang le­bih indah, meriah dan gemilang.

‘Melepas hawa’ dalam istilah masyarakat Kelantan adalah mencari suatu suasana baharu yang lebih segar dan melegakan. Pernah dikaitkan istilah ini dengan suasana untuk ‘melepas rindu’ di kala si teruna dan dara dapat sesekali bertemu atau bersua menyapa.

Rakyat Kelantan mampu memperoleh suasana lebih baik dan selesa. Pilihan mereka perlu tepat dan sesuai terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini. Tentukan Kelantan diterajui kuasa politik yang seiring dengan peneraju di peringkat Persekutuan. Kelak, segalanya akan berjalan lebih lancar dan berkesan.

Baik bagi mereka yang sudah menetap di Kelantan, mahu pun yang masih merantau ‘di negeri orang’, pulanglah menterjemahkan perasaan gembira untuk melihat ‘Kelantan berubah’ dalam erti kata situasi yang sebaiknya.

Rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu perlu bersedia me­re­but peluang memajukan pe­nghidupan dengan terbinanya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Dan wajah luar bandar Kelantan tentunya akan turut berubah dengan siap terbinanya jajaran lebuh raya Kota Bharu-Kuala Lumpur melalui Kuala Krai dan Gua Musang. Bak kata pepatah, “perahu sudah di air, dayung sudah di tangan...!”

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.