Seperti yang dijelaskan oleh Pengerusi PPK, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam sidang akhbar bersama media tempatan di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, penubuhan RCI itu membolehkan rakyat diberi penjelasan tentang punca sebenar yang menyebabkan kerugian tersebut. Ikuti sedutan sidang akhbar yang turut dihadiri wartawan Mingguan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan FADZIL ZAINOL serta jurugambar, AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN.

 

 

MINGGUAN: Apakah perasaan Tan Sri apabila diminta oleh kerajaan untuk mengetuai PPK?

SIDEK: Ia adalah tugasan yang mencabar namun sebagai seorang bekas pegawai kerajaan, ia merupakan tanggungjawab yang telah diberikan.

Saya mahu melaksanakan tugasan ini dengan sebaik-baiknya mengikut kemampuan saya dengan mencari kebenaran berdasarkan integriti yang tinggi supaya tidak ada pihak yang akan mempersoalkan proses siasatan.

Saya sentiasa mengutamakan integriti dan terus menerapkan amalan itu dalam tugasan yang digalas.

Apakah cabaran yang dihadapi PPK memandangkan kes ini telah lama berlaku?

SIDEK: Mungkin ramai yang terlibat dalam kes ini sudah tiada lagi. Malah, PPK ada kekangan tersendiri kerana ia ditubuhkan secara pentadbiran sahaja dan tidak diletakkan di bawah mana-mana badan perundangan yang membolehkan kami mendapatkan sebarang dokumen atau meminta mana-mana individu memberikan maklumat.

Namun, pendedahan yang dibuat menyatakan bahawa nilai kerugian akibat aktiviti ini adalah besar dan saya fikir, rakyat perlukan penjelasan. Sehubungan itu, kerajaan memutuskan bahawa siasatan perlu dilakukan.

Ada tiga terma rujukan yang diberikan kepada PPK. Pertama, meneliti jumlah kerugian. Kedua, menyiasat sama ada tindakan menyembunyikan nilai kerugian sebenar dilakukan atau tidak. Ketiga, berdasarkan kepada siasatan awal, bentuk tindakan lanjut yang boleh disyorkan termasuk keperluan menubuhkan RCI.

Apakah memang benar jumlah kerugian lebih besar daripada apa yang dimaklumkan?

SIDEK: Setelah mendapatkan keterangan individu-individu yang dipanggil serta penelitian dokumen-dokumen yang juga boleh diakses oleh orang awam seperti Laporan Tahunan BNM serta rundingan antara BNM dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), PPK mendapati bahawa jumlah kerugian adalah berbeza dan lebih besar berbanding laporan terdahulu yang dimaklumkan kepada Parlimen dan Kabinet.

Adakah nilai kerugian itu lebih besar daripada AS$10 bilion (RM42.8 bilion)?

SIDEK: Mengenai kerugian itu, kita tidak dapat pastikan jumlahnya, tetapi ia lebih besar daripada apa yang dimaklumkan sebelum ini.

Adakah RCI mempunyai kuasa untuk mendapatkan dokumen atau mendapatkan keterangan daripada mana-mana individu?

SIDEK: Ya, RCI mempunyai kuasa kerana ia boleh meminta dokumen-dokumen daripada Menteri Kewangan dan BNM di mana perkara itu tidak boleh dilakukan oleh PPK.

Bagaimana tentang proses yang digunakan PPK ketika menemu bual beberapa individu yang terlibat?

SIDEK: Kita tidak boleh memaksa mereka hadir memberi keterangan. Jika mereka hadir sekali pun tetapi enggan memberi sebarang jawapan, ia tidak menjadi isu kerana mereka diberitahu bahawa kehadiran mereka adalah secara sukarela dan boleh memilih sama ada mahu memberi jawapan atau tidak.

Apabila mereka memberi kenyataan sekali pun, mereka tidak dianggap membuat akuan bersumpah. Justeru sukar untuk menentukan sama ada jawapan mereka betul atau tidak. Sebab itulah RCI adalah lebih baik.

Adakah bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz turut dipanggil?

SIDEK: Ya, beliau hadir dan memberikan kerjasama. Secara keseluruhan, sebanyak 12 individu yang hadir.

Ada yang sudah meninggal dunia, seperti bekas Gabenor BNM, Tan Sri Jaffar Hussein. Bagaimana PPK boleh mendapatkan maklumat?

SIDEK: Saya kira perkara itu penting tetapi dalam melaksanakan tugas, PPK tetap fokus kepada tiga terma rujukan yang diberikan.

Berkenaan terma rujukan pertama, adakah kerugian hanya berlaku di atas kertas atau kerugian sebenar?

SIDEK: Perkara itu perlu dinilai oleh RCI.

BNM menyatakan mereka telah menetapkan dasar supaya kegiatan spekulasi matawang asing ini tidak dilakukan lagi. Pandangan Tan Sri?

SIDEK: Saya melihat BNM sebagai sebuah institusi yang dihormati bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

Berapa syor yang dikemukakan oleh PPK?

SIDEK: Satu sahaja. Kami mencadangkan penubuhan RCI supaya kes ini benar-benar diselesaikan. Kalau tidak buat sekarang, perkara ini akan sentiasa berlarutan dan sentiasa berbangkit tanpa kesudahannya.

Kes ini berlaku hampir 25 tahun lalu tetapi PPK mengambil masa kurang daripada empat bulan sahaja sebelum mengesyorkan penubuhan RCI?

SIDEK: Terma rujukan PPK sangat jelas. Jadi apabila kita telah memenuhi pelaksanaan terma rujukan ketiga, cukuplah. Kita hanya menentukan sama ada wujud prima facie atau tidak. Kesemua tujuh ahli PPK berpendapat bahawa kami telah melaksanakan tanggungjawab dan berpuas hati dengan tahap integriti yang diamalkan.

Apakah benar dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa BNM masih membayar balik jumlah kerugian akibat kegiatan spekulasi mata wang tersebut?

SIDEK: Mengikut laporan tahunan BNM, jumlah kerugian telah dibayar balik dalam tempoh 10 tahun, mulai 1994.

Tan Sri menyatakan BNM adalah sangat dihormati tetapi adakah siasatan ini menjejaskan imej BNM?

SIDEK: Saya tidak merasakan begitu. BNM sangat dihormati. PPK tiada niat untuk menjejaskan imej BNM. Semua ahli PPK merupakan orang yang mempunyai kredibiliti. Contohnya, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Tan Sri Ranjit Ajit Singh. Kami menghormati institusi ini. Oleh itu, kita tidak mahu BNM berdepan lagi dengan masalah.

Adakah BNM kini berada dalam kedudukan yang semakin baik?

SIDEK: PPK tidak diarahkan untuk menilai perkara ini.

Adakah semua yang menganggotai PPK akan menyertai RCI?

SIDEK: Biarlah kerajaan yang menentukan termasuk bila RCI akan ditubuhkan.

Boleh Tan Sri berkongsi sedikit tentang proses siasatan oleh PPK?

SIDEK: Kami bermesyuarat di Kementerian Kewangan setiap Khamis, mulai pukul 2.30 petang hingga pukul 5.30 petang. Kadang-kadang ambil masa lebih sedikit. Apa yang penting, kami mahu melakukan tugasan yang diberikan dengan baik dan berintegriti supaya hasil siasatan tidak dipersoalkan.

Apakah reaksi Tan Sri apabila melihat jumlah kerugian yang sebenar?

SIDEK: Saya bersikap tenang walaupun jumlah kerugian yang pernah dimaklumkan di Parlimen sebelum ini adalah RM5.7 bilion. Pendekatan saya sama seperti yang dilakukan oleh seekor itik di dalam kolam. Di permukaan nampak tenang namun pada masa sama, kaki pantas mengayuh di dalam air.

Berapakah jumlah yang dibayar dalam tempoh 10 tahun ini?

SIDEK: Banyak perkara perlu dipersoalkan dan disiasat.

Perlukah PPK diberi terma rujukan tambahan?

SIDEK: PPK mempunyai banyak kekangan tetapi keadaan mungkin berbeza jika ada pihak berkuasa lain seperti RCI yang melakukan siasatan. Adalah lebih baik diwujudkan sebuah badan yang benar-benar mempunyai kuasa.