Walaupun secara umumnya ramai maklum Mercedes AMG adalah gabungan kepakaran Jerman dan United Kingdom, pasukan ini diterima sebagai pasukan pilihan bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Faktornya, berkait rapat dengan Petronas iaitu syarikat minyak negara ini. Namun ia mewujudkan situasi tidak selesa kerana sesetengah pihak di negara ini beranggapan Petronas sekadar menumpangkan pelekat jenama semata-mata pada kereta lumba F1.

"Ini salah tafsiran. Ini kita mahu jelaskan bahawa Petronas adalah lebih daripada itu,’’ kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, DATUK WAN ZULKIFLEE WAN ARIFFIN dalam sesi wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, JOHARDY IBRAHIM.

"Petronas adalah rakan teknologi kepada Mercedes AMG,’’ kata Wan Zulkiflee ketika ditemui di London baru-baru ini.

MINGGUAN: Seperti syarikat tenaga lain, Petronas telah mengurangkan kos, memberhentikan pekerja dan menunda pelaburan untuk mengimbangi penurunan harga minyak mentah.</strong> <strong>Petronas telah memperuntukkan lebih AS$11.2 bilion (RM45.57 bilion) daripada pemotongan perbelanjaan modal dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang dan sedang berusaha memaksimumkan aliran pendapatan lain. Mengapa pembabitan dalam lumba F1 ini tidak termasuk dalam langkah tersebut?

WAN ZULKIFLEE: Perlu saya jelaskan langkah penjimatan ini membabitkan beberapa kategori. Namun kami tidak potong bajet dalam segmen penyelenggaraan dan keselamatan terutamanya. Langkah penjimatan yang dibuat ialah contohnya, kekerapan perjalanan untuk mengadakan mesyuarat kini telah dikurangkan dengan mesyuarat dijalankan menerusi teknologi maklumat (IT).

Kita potong ketidakcekapan. Tetapi tidak bermakna kita potong keseluruhannya. Kita kena bersedia untuk pemulihan. Ini kerana industri minyak dan gas sedang melalui kitaran menurunnya sekarang.Penyertaan Petronas dalam lumba kereta F1 ini, tidak sekadar 'menaja’ pasukan. Ia memberi manfaat kepada Petronas sebagai sebuah syarikat multinasional di pentas antarabangsa. Dan paling penting meningkatkan keupayaan teknologi teknikal Petronas.

Bagaimanakah yang dimaksudkan 'tidak sekadar menaja pasukan’? Apa peranan Petronas dalam Mercedes AMG Petronas F1?

WAN ZULKIFLEE: Perkongsian dengan Mercedes-Benz dan perlumbaan F1 ini telah memberikan pendedahan jenama Petronas ke peringkat global secara sangat meluas dan turut memacu keupayaan syarikat ini untuk memajukan lagi teknologi bahan api dan minyak pelincir. Faktanya, Petronas kini adalah rakan teknikal di dalam pasukan yang membekalkan minyak pelincir bagi enjin kereta lumba yang dipandu oleh Lewis Hamilton dan Nico Rosberg.

Menerusi kilang milik Petronas berpusat di Turin, Itali iaitu Petronas Lubricants International (PLI), kami memiliki keupayaan teknologi maju di dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bahan api dan minyak pelincir, yang diguna di dalam perlumbaan, dan juga industri serta orang awam. Petronas bukan sekadar meletakkan pelekat nama pada kereta F1 Mercedes AMG. Tanggapan ini salah. Kami adalah rakan teknologi kepada pasukan dalam erti kata sebenar-benarnya.

Jadi, Petronas membekalkan minyak pelincir kepada pasukan Mercedes AMG dan bukan sekadar perlumbaan atas litar?

WAN ZULKIFLEE: Perlumbaan F1 hari ini adalah segala-galanya berkaitan kecekapan. Bagi kami, ia memerlukan kami sentiasa maju di dalam teknologi. Kualiti bahan api dan pelincir memberi perbezaan kepada prestasi kereta lumba.

Ia bukan semata-mata mengenai dua kereta mengelilingi litar. Ia adalah gabungan usaha membabitkan lebih 1,500 kakitangan semua peringkat seperti jurutera dan ahli kimia untuk menghasilkan kereta yang boleh memenangi perlumbaan dalam jarak beberapa saat sahaja antara satu sama lain.

Apakah contoh pelincir yang dimaksudkan?

WAN ZULKIFLEE: Petronas mengguna pakai pendekatan Rumusan Teknologi Cecair (FTS) dengan kerjasama rapat jurutera Mercedes AMG untuk bersama-sama membangunkan bukan sahaja bahan api, pelincir dan cecair fungsional, tetapi juga merekabentuk bersama enjin Hibrid Formula 1 V6 1.6L turbo caj suntikan terus bagi mengeksploit semaksimumnya sinergi antara enjin dengan produk kami.

Bagaimanakah input disalurkan dari pasukan kepada Petronas dalam menghasilkan pelincir yang sesuai?

Jurutera di kilang PLI di Turin, Itali perlu berhubung rapat dengan ibu pejabat pasukan di Brackley dan pusat enjin Mercedes AMG High Performance Powertrains di Brixworth, kedua-duanya di UK.

WAN ZULKIFLEE: Satu fakta menarik ialah PLI juga melantik Lewis Hamilton sebagai Juruperunding Prestasi Teknikal PLI bagi Syntium. Juara dunia itu sememangnya sudah bekerja rapat dengan jurutera PLI dalam F1 daripada segi input dan maklum balas prestasi Syntium di litar lumba.

Produk pelincir Petronas diterima di Eropah?

WAN ZULKIFLEE: Eropah merupakan antara pasaran pelincir utama syarikat, menjana 28 peratus daripada jumlah keseluruhan kumpulan itu sementara Itali adalah pasaran terbesar dan menyumbang 48 peratus daripada jualan Eropah.Di United Kingdom (UK) pada Julai lalu, PLI menjalin kerjasama dengan Halfords Group plc, iaitu peruncit bagi komponen kereta, peralatan berkhemah dan basikal terbesar di UK dan Ireland untuk menjual Petronas Syntium dengan °CoolTech. Halfords memiliki 415 cawangan.

UK adalah pasaran pertumbuhan utama bagi Petronas dan kami memiliki perancangan agreasif untuk meraih lima peratus penguasaan pasaran di UK dan meningkatkan bilangan jualan sebanyak 55 peratus menjelang 2021.

Awal tadi Datuk menyebut 'pendedahan jenama ke peringkat global’? Apakah bentuk pulangan pelaburan (ROI) yang dimaksudkan?

WAN ZULKIFLEE: Menurut kajian Pendedahan Media Global (GME) bagi tahun 2015, perkongsian dengan Mercedes-Benz memberikan Petronas nilai GME AS$901.08 juta atau RM3.7 bilion tahun lalu. GME adalah satu kaedah mengukur nilai yang diraih daripada pendedahan jenama hasil daripada siaran langsung atau ulangan sesuatu perlumbaan dalam kejuaraan yang sangat sengit persaingannya seperti Grand Prix F1 ini.

Impak media terhadap Petronas menerusi pembabitan di dalam F1 adalah hampir empat kali ganda berbanding impak purata media yang diterima oleh syarikat minyak dan gas yang dianggarkan bernilai AS$200 juta. Antara tahun 2012 dan 2015, pendedahan jenama Petronas tumbuh sebanyak 400 peratus, menjadikan ia jenama minyak dan gas nombor satu dalam F1.

Apakah pengiktirafan jenama ini meliputi pengiktirafan terhadap produk Petronas?

WAN ZULKIFLEE: Betul. Pembabitan kita dalam perlumbaan F1 ini jelas telah memberi impak kepada usaha Petronas meluaskan lagi edaran produknya di peringkat global. Di Eropah, jenama Petronas adalah teguh dengan produk-produk khusus seperti Selenia, Tutela, Paraflu dan Urania selain Syntium, Mac 5, Sprinta dan Syntium moto. Bagi pelincir jentera pertanian dan pembinaan pula ialah Akros, Arbor, Ambra dan Akcela.

Bolehkah Datuk nyatakan berapa kos penajaan Petronas setahun dalam F1?

WAN ZULKIFLEE: Itu kita tidak dedahkan. Tetapi yang nyata perkongsian kami dengan Mercedes AMG sejak 2010, adalah sangat berbaloi apabila pasukan ini memenangi kejuaraan F1 bagi 2014 dan 2015 dalam kedua-dua kategori iaitu pemandu dan pembina (Constructor’s) kereta lumba F1.

(Nota Mingguan: Laporan pada 2009 menyatakan penajaan Petronas ddalam Mercedes-Benz F1 adalah £30 juta setahun dan perkongsian tersebut adalah untuk tempoh berjangka lama).

Apakah penajaan Petronas akan disambung?

WAN ZULKIFLEE: Ya. Sejauh yang saya tahu, Mercedes-Benz sangat berpuas hati dengan kerjasama yang wujud dengan kami.