Rakyat Bhutan memanggil negara itu sebagai Drukyul.

Dalam bahasa Dzongkha yang dipertutur oleh rakyat Bhutan, Drukyul bermaksud “Tanah Naga Halilintar”. Asal-usul nama Bhutan mungkin berasal daripada bahasa Sanskrit, Bhu-attan yang bermaksud dataran tinggi atau Bhotanta yang bermakna hujung dari Tibet.

Ketua negara Bhutan digelar Druk Gyalpo yang bermaksud Raja Nagara atau secara mudahnya, Raja Bhutan. Ia adalah satu-satunya negara Buddha yang masih ada di dunia hari ini.

Bhutan mengamalkan sistem monarki mutlak sehinggalah Jigme Singye Wangchuck yang memerintah sejak 1972 melepaskan takhta kepada anaknya, Jigme Khesar Namgyel Wangchuck pada 2006 dan turut mengarahkan pilihan raya diadakan pada 2008.

Di bawah pemerintahan Jigme Khesar yang menaiki takhta ketika berusia 26 tahun, Bhutan semakin dikenali di dunia. Ini disebabkan usaha-usaha kemanusiaan dan personaliti beliau yang down to earth atau rendah hati.

Walaupun bergelar raja, Jigme Khesar yang kini berusia 37 tahun, bukanlah seperti raja yang kita bayangkan. Raja kelima Bhutan itu amat disenangi rakyat kerana tidak kekok untuk turun dari singgahsana untuk menyelami kesusahan hidup rakyat biasa.

Sama seperti bapanya, Jigme Khesar percaya monarki perlu dikawal. Atas sebab itulah beliau mahu memperluaskan amalan demokrasi di negara itu. Menjadi harapan beliau untuk melihat sistem monarki dapat wujud secara harmoni bersama sistem demokrasi di Bhutan.

Walaupun rakyat Bhutan sukakan sistem pemerintahan beraja, beliau bersusah-payah menjelajah ke seluruh negara bagi menggesa rakyat keluar mengundi memilih wakil rakyat mereka semasa pilihan raya pertama negara itu pada 2008.

Lebih mendapat pujian, beliau yang digelar sebagai “Raja Rakyat” secara peribadi telah berjumpa dengan hampir setiap orang rakyatnya yang berjumlah lebih 800,000 orang.

Nilai kemanusiaan

Beliau menjelajah dengan berjalan kaki dan berbasikal ke seluruh pelusuk negara dengan keluasan 38,394 kilometer persegi itu untuk berjumpa dengan rakyat. Malah, beliau turut bermalam di rumah rakyat dan menyediakan masakan untuk mereka.

Pintu istananya juga sentiasa terbuka kepada setiap rakyat, tidak kiralah apa status mereka dalam masyarakat, sama ada untuk datang bertandang mengadu masalah atau sekadar berbual mesra.

Malah, Jigme Khesar menyambut hari ulang tahun kelahirannya di dalam wad Hospital Nasional Jigme Dorji Wangchuck dengan berkongsi kek dan alat permainan dengan pesakit kanak-kanak.

Usahkan raja, orang biasa pun biasanya akan meraikan ulang tahun mereka dalam majlis yang meriah bersama rakan-rakan dan ahli keluarga. Tetapi bagi, Raja Bhutan, sambutan ulang tahun kelahiran bermaksud berdoa untuk kemakmuran negara.

Semasa menyambut kelahiran anak pertamanya pada 5 Februari 2016, Jigme Khesar meraikannya dengan bersama-sama rakyat menanam 108,000 batang pokok di seluruh negara.

Pada awal tahun lalu, Raja Bhutan itu sekali lagi memenangi hati rakyatnya dan penduduk dunia apabila gambarnya sedang memotong bawang dan cili semasa menyediakan masakan untuk Sekolah Komuniti di Mongar tular di laman media sosial.

Jigme Khesar bukan sekadar “berlakon” untuk gambarnya dirakam demi tatapan umum tetapi beliau sendiri yang memasak juadah untuk sekolah tersebut.

Druk Gyalpo juga pernah berhenti bermain sebagai penjaga gol dalam sukan bola sepak apabila menyedari tidak ada rakyatnya yang berani menjaringkan gol. Beliau beralih arah kepada sukan bola keranjang yang lebih pantas dan sukar untuk pemain membezakan raja dan orang biasa.

Jika hendak disenaraikan satu-persatu nilai-nilai dan usaha-usaha murni beliau, sudah tentu terlalu banyak. Namun, yang jelas Raja Naga memimpin rakyat jelatanya melalui teladan. Raja seperti beliau mungkin tidak akan dapat ditemukan di mana-mana negara di seluruh dunia pun.

Bagi sebuah negara yang meletakkan Kebahagiaan Kebangsaan Kasar (GNH) sebagai kayu pengukur kemajuan negaranya berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang digunakan oleh negara-negara lain, usaha Jigme Khesar untuk membawa keamanan dan kemajuan kepada rakyat Bhutan wajar dipuji.

Ia bukan sekadar satu pengajaran dalam soal urus tadbir, malah adalah satu pengajaran dalam nilai-nilai kemanusiaan.