Malaysia adalah antara kira-kira 40 negara yang masih mengamalkan sistem beraja dengan konsep Raja Berperlembagaan iaitu jawatan Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong akan dipilih dalam kalangan sembilan raja-raja negeri Melayu untuk setiap tempoh lima tahun.

Namun hasil kemajuan teknologi serta penga­gungan terhadap demokrasi, membuatkan sesiapa sahaja semakin berani mempersoalkan sehingga memperlekehkan institusi raja. Ini bertambah buruk apabila terdapat dalam kalangan pemimpin berprofil tinggi sendiri seolah-oleh memberi tekanan dan mempersendakan sejarah serta kuasa yang dimiliki oleh golongan kerabat.

Dalam mendepani cabaran tersebut, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai tiang pendidikan tinggi bumiputera khususnya orang Melayu menubuhkan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu bagi membolehkan rakyat lebih memahami fungsi dan kepentingan raja-raja Melayu.

Wartawan Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD dan FADZIL ZAINOL dan jurugambar ABD. RAZAK AID berkesempatan mengadakan temu bual dengan Penyandang kursi, PROF. EMERITUS DATUK DR. ZAINAL KLING untuk mendapatkan pandangan beliau tentang cabaran yang dihadapi oleh sistem beraja di negara ini atau Kesultanan Melayu.

MINGGUAN: Boleh terangkan secara umum sejarah institusi raja di negara ini?

Dr. Zainal: Terdapat bukti bertulis sistem kerajaan Melayu wujud sejak kurun ketujuh Masihi lagi, iaitu Kerajaan Sriwijaya di Pulau Sumatera. Selepas itu muncul pula beberapa kerajaan baharu dalam alam Melayu seperti Kerajaan Majapahit. Raja di Sriwijaya kemudian itu berpindah ke Temasek (Singapura) dan kemudian ke Melaka. Kerajaan Sriwijaya yang sama itu juga mempunyai kaitan dengan kerajaan awal di Kedah dan Melaka. Kedatangan Islam melahirkan Kesultanan Melaka dan Kesultanan Kedah. Oleh itu, asas penting yang semua rakyat harus tahu Institusi Raja Melayu bukan dicipta pada zaman Kemerdekaan, ia adalah sebuah institusi berusia ribuan tahun.

Apabila kita mahu mencapai Kemerdekaan pada 1957, penggubalan Perlembagaan Persekutuan oleh Suruhanjaya Reid yang turut melibatkan Raja-raja Melayu, parti politik UMNO pada masa itu dan Kerajaan British, ketiga-tiga pihak bersetuju terhadap perakuan-perakuan yang membentuk Perlembagaan Persekutuaan termasuk memberi tempat dan kedudukan tinggi kepada Raja-raja. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Raja adalah orang nombor satu dalam negara.

Diperkatakan raja memayungi rakyat, apa signifikannya?

Dr. Zainal: Sejak Kesultanan Melaka lagi, malah dalam semua konsep yang digunakan oleh raja-raja Melayu dan kesultanan Melayu, ada konsep yang diambil daripada pengajaran yang tercatat dalam dua tiga ayat al-Quran (termasuk surah An-Nisa ayat 59) mengenai pemerintahan dan penguasaan. Raja-raja Melayu walaupun dahulu berasaskan kepada konsep agama Buddha dan Hindu, tetapi apabila datangnya Islam, maka kesahihan sistem beraja Melayu itu diasaskan kepada ajaran Islam. Kalau kita baca Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang, beberapa wasiat menyatakan raja dan rakyat itu umpama sebatang pohon. Raja itu tidak wujud tanpa rakyat (akar) dan akar tidak hidup tanpa daunnya (raja). Walaupun zaman Kesultanan Melaka dikatakan sebagai sistem raja mutlak, tetapi baginda sentiasa berunding dengan pembesar-pembesar mengenai hal ehwal kerajaan dan rakyat. Rakyat tidak mempunyai kuasa dan memerlukan kerajaan untuk dilindungi.

Institusi raja benteng kepada negara dan rakyat, itu bagaimana?

Dr. Zainal: Institusi raja mempunyai kesinambungan berpanjangan yang melindungi segala adat istiadat, tradisi, dan segala ciri-ciri kebudayaan dan kehidupan kita. Demikian juga dalam soal agama kerana kadang-kala agama itu dilanggar dan tidak dipedulikan. Kita memerlukan kerajaan dan negara untuk melindunginya. Jadi fungsi raja sebagai pemimpin adalah untuk memastikan rakyat boleh mengamalkan agamanya dengan aman damai, teratur dan mengikut peraturan. Kalau pemimpin tiada di situ, kita dapati akan berlaku amalan Islam yang kurang sahih, tidak menentu dan berpecah. Selain itu sistem pengurusan dan pentadbiran negara datangnya daripada raja. Raja berada di puncak birokrasi.

Walaupun raja nampak jauh daripada rakyat kerana tidak berinteraksi secara umum, tetapi dari sudut pengurusan negara raja itu mempunyai hubungan langsung. Misalnya, selalu tertulis Urusan Seri Paduka Baginda pada sampul surat kerajaan. Semua menteri, exco bertindak atas nama raja atau Yang di-Pertuan Agong. Kadang-kadang orang tidak menyedari, tetapi bagi kita yang meneliti undang-undang, semua pentadbiran itu atas nama Yang di-Pertuan Agong atau di negeri atas nama sultan. Begitu juga dalam konteks ketenteraan iaitu raja sebagai Ketua Pemerintah Tentera kerana kita tidak boleh beri kepada orang politik kerana orang politik sentiasa bergolak dalam kalangan mereka. Raja tidak mempunyai sebab untuk menggunakan tentera sewenang-wenangnya melainkan untuk melindungi negara dan rakyat.

Dalam media sosial institusi raja-raja Melayu nampak begitu dicabar, apa komen Datuk?

Dr. Zainal: Sekarang kita dalam sistem demokrasi yang memberikan kuasa kepada rakyat untuk melantik pemimpin menguruskan negara. Tetapi ramai yang salah faham dengan menganggap adanya kuasa rakyat, maka rakyat boleh melakukan apa sahaja. Hal ini tidak boleh, kerana akan menyebabkan kacau-bilau dan akhirnya menjadi anarki. Sebenarnya dalam undang-undang demokrasi tindakan rakyat juga dikawal. Kita tidak boleh bersikap biadab dan tidak terkawal. Apabila ada rakyat yang ingin kebebasan dan melampau dan bertindak di luar peraturan dan undang-undang sehingga menjatuhkan martabatkan raja dan pemimpin kita termasuk perdana menteri sendiri. Sebab itu, kita ada undang-undang yang kita kata hasutan (Akta Hasutan 1948) ini supaya orang tidak menghasut sesama sendiri dan tidak menghasut mengenai pemimpin dan ketua negara.

Ada yang membandingkan bagaimana Thailand mempunyai undang-undang ketat bagi melindungi sistem beraja di negara itu. Adakah perbandingan itu wajar dilakukan?

Dr. Zainal: Kita tidak boleh membandingkan sangat kerana Malaysia hampir sepenuhnya demokratik dan raja itu dikawal peranan, kedudukan dan fungsinya oleh Perlembagaan Persekutuan. Raja tidak boleh buat sesuka hati, tetapi mesti ikut undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh lebih daripada itu. Jadi keadaan di Thailand tidak sepenuhnya begitu, kerana agama dikatakan Buddha di Thailand mengangkat rajanya lebih tinggi lagi, lebih mulia dan suci.

Kita tidak mengangkat raja kita ke tahap sedemikian. Islam tidak membenarkan itu. Islam itu asas kerajaan kita. Apabila orang hendak menghadap raja Thailand terpaksa duduk dan merangkak, tetapi kita tidak. Kita sekadar sembah sedikit sebagai tanda kemuliaan, itupun ada raja yang tidak suka disembah, maka kita tunduk sahaja untuk menghormati seorang yang lebih atas daripada kita. Barangkali suasana di Thailand itu dijadikan peringatan, paling tidak kita wajib menghormati pemimpin dan ketua negara kita.

Tetapi kebelakangan ini, kita dapati ada yang biadab terhadap raja terutama menggunakan akaun media sosial?

Dr. Zainal: Kita boleh kawal perkara ini, kerana undang-undang sudah ada. Tetapi ada orang awam itu apabila dilantik menjadi pemimpin, masih membawa fahaman orang awam dan terlupa ada undang-undang yang mengawal perilaku mereka. Inilah sebabnya berlaku peristiwa 13 Mei. Apabila kita mempersoalkan keadaan-keadaan dalam undang-undang asas negara kita seperti Perlembagaan Persekutuan, maka kita melaga-lagakan antara satu sama lain sehingga melahirkan pergaduhan dan pergolakan itu. Pertama kedudukan Raja-raja jangan dipersoalkan, kedua peruntukan hak istimewa bumiputera, ketiga peruntukan seperti Bahasa Kebangsaan, tanah rizab Melayu dan askar Melayu. Terpenting tidak boleh persoal kerakyatan negara kita. Tetapi ini kadang-kadang orang lupa.

Adakah ini bermakna Akta Hasutan 1948 perlu dikekalkan?

Dr. Zainal: Wajib kekal. Kadang-kadang mereka yang mahu hapuskan undang-undang ini tidak sedar diri kerana ia perlu untuk mem­per­tahankan semua orang ter­ma­suk kelompok yang dikatakan ‘pen­datang’. Ada dalam kalangan mereka mendakwa perkara itu diperse­tu­jui oleh datuk nenek mereka, te­ta­pi kalau datuk nenek tidak mahu berada di Tanah Melayu, generasi yang kemudian tidak akan jadi orang Malaysia.

Mereka pun mendapat persetujaan daripada Majlis Raja-Raja?

Dr. Zainal: Ya, kerana Perlembagaan Persekutuan itu tidak boleh lulus tanpa kelulusan Majlis Raja-Raja. Apabila Perlembagaan itu dibuat, raja itu yang paling penting, sebab baginda-baginda yang paling berkuasa yang adalah lambang kekuasaan dan kedaulatan negara.

Ada dalam kalangan mereka yang menjadi pemimpin sendiri terpalit mempersoalkan raja-raja. Apa peranan yang sepatutnya mereka mainkan?

Dr. Zainal: Apabila mereka ini diberi mandat untuk menjadi memimpin, pemikiran mereka masih seperti rakyat. Mereka tidak bertindak seperti pemimpin yang harus memahami seorang pemimpin itu apabila menjadi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau menteri malah perdana menteri, mereka dituntut melaksanakan tugasnya dan melindungi Perlembagaan Persekutuan mengikut ikrar dan sumpah yang dilafazkan. Mereka mesti faham Perlembagaan negara atau negeri. Kalau mereka sendiri melanggarnya, kita boleh bertindak. Malah Perlembagaan memperuntukkan mengkritik raja sehingga sampai ke tahap menghapuskan sistem yang ada, kita boleh bertindak. Kita harap kerajaan pada setiap masa melindungi perkara ini kerana itu adalah syarat dan ikrar sebagai pemimpin. Mereka mesti menghormati Perlembagaan Persekutuan. Kalau tidak hormat akan berlaku anarki dan akhirnya boleh menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal.

Ada yang memperlekehkan bahawa sistem monarki (beraja) sebagai kuno?

Dr. Zainal: Dalam urus tadbir sesebuah negara, mesti ada struktur susunan pimpinan yang dinamakan sebagai ketua negara. itu wajib, Apa bentuk sekali pun hendak namakan sebagai Presiden, Amir, Malik atau Pengerusi, struktur pimpinan kena ada. Negara tidak wujud tanpa susunan pimpinan. Kalau kata sistem beraja kuno, republik pun kuno kerana diambil daripada zaman Yunani. Ini bermakna walaupun sesuatu sistem itu dianggap kuno, selagi ia membolehkan rakyat hidup aman dan damai maka sistem itu baik.

Misalnya, negara demokrasi terbesar seperti Amerka Syarikat dan Perancis pun berdepan krisis pentabiran apabila presiden dikatakan bertindak seperti raja. Raja kita tidak sebegitu kerana baginda-baginda menerima nasihat pentadbir. Orang politk sentiasa berdepan pergolakan, maka raja ada ketika boleh memerintah untuk memghentikan ketidaktentuan. Misalnya, sewaktu kerajaan digantung sementara menunggu pilihan raya umum. Raja punca kestabilan.

Bagaimana insitusi beraja negara perlu dilihat pada zaman moden ini?

Dr. Zainal: Sekarang kita memberi lebih banyak kuasa kepada rakyat, mereka boleh tentukan pemimpin-pemimpin negara dan corak pemerintahan negara. Maka raja sebagai ketua negara pun perlu menghormati dan memahami keadaan itu. Sentiasa rapat dengan rakyat. Raja sentiasa perlu memahami perilaku dan keingingan mereka, sebolehnya tidak melebihi apa yang perlu. Raja boleh terlibat dalam aktiviti kebajikan beriadah bersama rakyat supaya tidak berlaku jurang antara raja dengan rakyat. Kehidupan yang rapat ini akan melahirkan penghormatan itu. Raja pada abad ke-21 ini, baginda sentiasa memikirkan raja berjiwa rakyat. Pada masa sama rakyat juga harus sedar negara perlunya pemimpin supaya tidak berada dalam keadaan kacau-bilau.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16. Bagaimana Datuk melihat perkembangan ini?

Dr. Zainal: Ini keputusan Majlis Raja-Raja. Kelihatan sebulat suara memperkenankan pelantikan Sultan Abdullah dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Semua rakyat menyambut baik dan mudah-mudahan kita mendapat berkat dan negara terus membangun, memandangkan kita kini berdepan pelbagai cabaran dan pergolakan antarabangsa seperti krisis China-AS, pergolakan di Eropah yang amat hebat yang boleh mengancam negara.

Apakah fungsi dan komitmen Kursi institusi raja-raja Melayu yang diketuai Datuk?

Dr. Zainal: Kursi ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditubuhkan secara khusus sejak Julai 2018. Fungsi kursi ini untuk memahami peranan, kedudukan dan fungsi raja dalam masyarakat dan undang-undang dan menyebarkan kefahaman itu kepada masyarakat sama ada secara formal melalui sistem pendidikan atau tidak formal menerusi penerbitan dalam pelbagai platform.

Selain itu, kami sedang membina modul-modul pendidikan kepada mahasiswa tentang sistem beraja ini dan meniliti pendidikan kenegaraan di sekolah dengan memasukkan elemen Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Elemen-elemen perlu ini diajar semasa di bangku sekolah lagi supaya sentiasa membentuk fikiran bahawa kita duduk dalam sebuah negara sebagai warganegara.